Khamis, Julai 07, 2011

Tanjong Pagar dan jelajah Temasik 3

Nota Temasik # 2
Gedung Kuning

Awalnya saya menjangkakan bangunan ini adalah sebahagian daripada Istana Kampung Glam. Hasil bantuan enjin carian internet, bangunan ini asalnya Gedung Kuning yang menjadi kebanggaan Melayu Singapura suatu ketika dahulu.

Gedung Kuning dipercayai dibina pada 1860 dan dibeli oleh Haji Yusoff bin Haji Mohamed Noor pada 1912 yang dikenali sebagai Haji Yusoff 'Tali Pinggang'. Beliau merupakan usahawan Melayu yang berjaya di Singapura ketika itu dan terkenal dengan sikap pemurahnya kepada orang miskin.

Haji Yusoff menambahbaik Gedung Kuning dengan pelbagai hiasan dan artifak sekitar Kepulauan Melayu, Asia, Eropah dan Afrika. Gedung Kuning menjadi tempat berteduh bagi Haji Yusoff dan tiga generasi berikutnya sehinggalah ia diambil alih oleh kerajaan Singapura.

Pengakhiran milikan generasi Haji Yusof terhadap rumah ini begitu menyedihkan – ibarat ulangan kepada penamat kehebatan dan kegemilangan keluarga Melayu yang ada ketika itu. Akibat pergolakan keluarga yang disebabkan tidak ada kesefahaman dan kesatuan dalam menyatakan hasrat terhadap Gedung Kuning, binaan agam ini terjual (dijual?) kepada kerajaan Singapura pada harga SGD3.6 million untuk tapak seluas 13,254 kaki persegi pada 1999 biarpun ditentang oleh ahli keluarga yang tidak bersetuju. Mereka yang masih berada di Gedung Kuning diarahkan mengosongkannya dan terpaksa mencari penempatan baharu.

Bersama Istana Kampung Gelam, Gedung Kuning diperbaiki dan sebahagian binaan asal dari kayu diruntuhkan dan digantikan dengan konkrit tanpa menjejaskan bentuk asal dan warna kuning yang menjadi identitinya. Kini, gedung Kuning merupakan sebuah restoran yang menyajikan hidangan Melayu kepada para pengunjung.

Begitulah antara maruah-maruah Melayu yang tergadai di Temasik

Tiada ulasan: