Rabu, Ogos 17, 2011

Buku yang menjadi mangsa prejudis



Dalam banyak-banyak karya SN Arenawati, saya kira tiga novel yang berwarna biru dan kuning seperti dalam gambar itu kurang sekali di sebut orang. Eno, Gelora dan Turina seolah tidak mendapat tempat dihati pembaca, atau mungkin kerana tidak dapat lagi ditemui di mana-mana kedai buku atau jualan gudang. Ketiga-tiga naskhah ini diterbitkan oleh Pustaka Antara ketika SN Arena Wati bekerja penerbitan itu sebagai pengarang. Buku-buku ini sudah berusia empat tahun di rak dan belum ada satu pun yang habis saya baca. Pernah cuba pegang Eno, tapi berbaki separuh. Ya, beli buku hari ini bukan untuk dibaca pada hari ini.

Saya akui karya SN Arena Wati sungguh mencabar untuk dihabiskan. Saya cuma mampu menelaah Sudara yang saya suka kerana aspek sejarahnya, juga menghabiskan Sandera yang berbau politik. Itu pun mengambil masa dua tahun sebelum mencecah halaman akhir. Paksa diri, kalau tidak masuk senarai buku tak habis baca.

Kemudian saya fikir, momentum bacaan saya bergantung kepada tema buku. Andai ia bersangkut paut sejarah, laju sahaja saya habiskan. Jika hal politik, atau falsafah, atau perbahasan yang tidak berjejak, sepuluh kali baca ayat yang sama belum tentu masuk ke otak. Jadi, saya harus ubah paradigma membaca supaya tidak ada perasaan mengenepikan buku kerana perasaan prejudis terhadap isinya. Baca sehinga habis dahulu, baru kritik dan komen

Selasa, Ogos 16, 2011

Kisah yang tidak kisah

Kekadang, kita rasa penat bila sudah bising-bising tetapi tiada kesan satu pun. Penat jadi anjing yang menyalak, bukit tidak bergerak seinci pun.Penat mencurah air pada daun keladi, tidak tersisa walau setitik pun.

Kala itulah, saya menjadi tidak kisah dengan apa yang ada disekeliling saya. Ada orang berjalan dan jatuh longkang, saya tidak ketawa atau memandang. (Jangan pandang, kasihan dia. Buat tak tahu sahaja). Ada isteri bercerita perihal suaminya pada saya: masuk telinga kanan, keluar pun telinga kanan. Ada orang merayu-rayu mohon pinjam duit menerusi SMS, saya buat tak tahu. Saya makan atau tidak ada dia peduli?

Kekadang saya fikir, kepala anginkah saya? Buat hal sendiri tatkala orang lain bergelak sakan di luar sana. Atau bila rasa benci duduk diam-diam terperuk dalam bilik dan melayan blog super serius. Atau bawa dua tiba buah novel dan duduk bersila di tepi taman sambil memerhati manusia bersaiz besar membawa badannya yang gempal keliling padang. Atau membawa kereta hingga ke ceruk-ceruk kampung menuruti apa sahaja arah pada papan tanda. Atau membawa laptop yang berat ini ke kedai makan di bawah rumah, duduk bersama kebisingan dua buah tv disisi pekerja Indonesia yang berkumpul semeja memesan segelas air tapi masing-masing senyap menekan henfon.


Eh, dunia ini indah bila kita tidak hanya memerap dalam bilik dan melayan Astro. Kedai mamak pun ada Astro, bang!

Isnin, Ogos 15, 2011

Bukan usaha satu hari

Sesuatu pertentangan - namakan ia revolusi, demonstrasi, konfrantasi - tidak akan hadir dalam sekelip mata. Ia bukannya hasil usaha sehari malah bukan dilaksana berseorangan. Juga bukan untuk suka-suka.

Saya ketawa sendirian tatkala membaca dua buah buku comel empunya Saharil Hasrin Sanin berjudul Kentang dan Tentang. Ada cerita, ada gambar. Cerita awalnya merapu tetapi dalam sentuhannya. Ada yang tidak logik tetapi diwajarkan pengakhirannya. Setiap satu ditulis bukan semata-mata kerana perlu ditulis. Mesej itu hadir setelah kita faham.

Kentang pada halaman 180 bercerita pengembaraan penulis ke Tunisia. Sejarah negara Afrika ini turut dimuatkan sekali, sekaligus menyebabkan saya rasa perlu mengaitkannya dengan revolusi rakyat yang menumbangkan rejim Presiden Zine El Abidine Ben Ali awal tahun ini. Mungkin tidak sengaja,  revolusi yang ini mempunyai kaitan dengan sedikit sejarah Tunisia yang Saharil tuliskan dalam Kentang.

Dalam peta dunia, Tunisia letaknya di utara Afrika. Ia betul-betul menghadap benua Eropah yang luas khususnya Itali. Ia berjiran dengan Algeria di sebelah kiri dan Libya disebelah kanan. Di bahagian utara, terbentang Laut Mediterranean yang menjadi pemisah benua Eropah dan Afrika - garis pembatas pemegang dua kepercayaan utama dunia, Islam dan Kristian.

Tunisia mendapat kemerdekaan dari Perancis pada 1956. Habib Bourguiba (dalam Arab berbunyi Burqibah) yang menjadi Perdana Menteri Pertama menukar status Tunisia sebagai sebuah republik setahun kemudianya menjadikannya Presiden pertama. Ini memberi peluang kepada Bourguiba menjalankan pemerintahan sesuka hati dengan menjadikan Tunisia sebuah negara sekular bertaraf Turki. Beliau memandang Islam sebagai agama yang membawa kemunduran (klise), lalu menyusun kembali perjalanan politik dan arus sosial Tunisia secara besar-besaran. Hijab ditegah, ahli fikir Muslim di pecat, undang-undang syariah dimansuhkan, institusi Islam dirampas. Islam sekadar pakaian pada nama.

Satu lagi fakta yang tragis saya dengar pagi tadi tatkala Ustaz Hasrizal bersiaran di Ikim. Beliau - secara kebetulan - memetik kisah Presiden Bourguiba. Sesuatu kebetulan yang membina. Sang Presiden menganggap berpuasa itu menyebabkan motivasi dan momentum kerja berkurangan. Masyarakat lemah dan tidak berjaya. Pekerja kurang produktif. Pengasilan negara merudum ketika Ramadhan. Keadaan ini mengukuhkan pandangan beliau yang Islam merencat kemajuan dan kuno. Lantas Bourguiba membuat satu peraturan yang mengejutkan. Beliau menghalang penjaat awam berpuasa. Bagi membuktikan ketegasan, beliau makan di khalayak bersama penjawat awam secara live yang disiarkan di kaca tv seluruh Tunisia.

Selepas itu, Tunisia berubah rupa dari sebuah negara Arab totok kepada Arab bermazhab barat. Banyak perubahan dilakukan semuanya membaratkan Tunisia. Presiden Bourguiba disamatarafkan dengan Mustafa Kamal Ataturk, bapa 'pemodenan' Turki. Lain-lain kisah Tunisia disekularkan boleh dibaca disini.

Kemudian Presiden Bourguiba jatuh sakit dan pada November 1987, doktor mengesahkan yang beliau tidak lagi berupaya menjalankan tugasnya (tulah?). Kesempatan ini diambil oleh Zine El Abidine Ben Ali yang merampas kuasa dan menjadi Presiden berikutnya. Presiden kedua ini rupanya sama sahaja dengan Bourguiba, malah lebih sekular dan liberal. Kemewahan dan kekayaan menjadi agenda pemenrintahan sehinggalah di kesan mengamalkan korupsi sepanjang pentadbiran.

Atas sebab-sebab diatas, tidak hairanlah mengapa rakyat Tunisia akhirnya memberontak. Sudah banyak kisah kita baca betapa gahnya Presiden Ben Ali dan isterinya, Leila hidup senang lenang sedangkan ekonomi Tunisia tidaklah bagus mana. Beliau terang-terangan mengganggu kebebasan media, melanggar hak asasi dan memperlekehkan pilihanraya dimana parti beliau sering menyapu bersih kerusi yang dipertandingkan. Akhirnya, pemerintahan rejim Ben Ali diruntuhkan oleh kadar pengangguran yang tinggi dikalangan belia yang gagal mendapatkan pekerjaan. Mereka memprotes dijalanan sekaligus menyebabkan Ben Ali dan keluaranya menyelamatkan diri ke Arab Saudi.

Sejak Presiden pertama, rakyat Tunisia memendam perasaan terhadap pemerintahan sekular dan mengkesampingkan agama. Meskipun Tunisia sehingga kini 98% berbangsa Arab dan berbahasa Arab, dan 98% juga beragama Islam, dasar sekularisasi Presiden menyebabkan Tunisia menjadi sebah negara barat di Afrika. Selama lebih 60 tahun rakyatnya berdiam diri, akhirnya revolusi besar-besaran Januari lalu berjaya menumbangkan pemerintahan yang tidak disukai. Anggaplah ia penentangan terhadap kerajaan yang tidak mampu memberi kerja yang cukup kepada rakyat, tetapi ketidak puasan hati dalam bergama pastilah menjadi penyebab kepada kemarahan ini.

Sesuatu pertentangan - namakan ia revolusi, demonstrasi, konfrantasi - tidak akan hadir dalam sekelip mata. Ia bukannya hasil usaha sehari malah bukan dilaksana berseorangan. Juga bukan untuk suka-suka.


Jumaat, Ogos 12, 2011

Ramadhan ini

Satu pertiga Ramadhan sudah berlalu. Masuk sepertiga kedua, hujan turun saban petang. Peniaga bazaar adalah mereka yang paling risau. Ketika itu waktu mereka sibuk melayan pelanggan, menggoreng, membungkus, memasak dan memanggang. Hujan waktu itu bisa menghalau pelanggan menjadikan juadah di meja kaku tidak terusik. Keuntungan hari itu sekadar angan-angan.

Saya meneruskan polisi tidak ke bazaar Ramadhan. Kalau tidak memasak pun, berbuka di Masjid Putra yang menyediakan juadah berbuka yang ringkas dan solat tarawih yang tenang. Andai mahu membeli, beli sahaja di gerai atau restoran yang biasa kita singgah. Kata teman, bazaar sekadar membuka selera pada kehendak yang belum kita mahu. Perut pastilah berkeroncong, tekak pastilah mahu, nafsu apatah lagi tetapi akhirnya siapa yang boleh menghabiskan semuanya. Pasti ramai tewas dengan pembuka selera yang menggoda.


Sudah masuk tahun keempat saya menjauhkan bazaar. Bukan tidak pergi langsung, sekali dua itu terjejak juga. Sekadar mencukupkan syarat. Tetapi selalunya hadir dengan rungutan - parkir susah, jalan sesak, membeli pun bersusah payah. Ah, ke gerai biasa sahajalah!

Kalau betul mahu ke bazaar, blog ini ada senarai yang boleh dijadikan panduan walaupun tidak lengkap.

Selamat berpuasa. Usah membazir dalam membeli juadah berbuka!

Khamis, Ogos 04, 2011

Masuk syurga

Dia hanya faham sepatah perkataan, yang di pelajari sejak anak-anak, ketika belajar di sekolah agama di hujung kampung lama dahulu.

"Orang Islam akhirnya semua akan ke syurga."

Begitulah kata ustazah yang di ingat dan di ulang-ulang dalam cepu kepalanya. Oleh kerana dia pun Islam, maka dia tahu dia akan masuk syurga. Dia arif jika dia buat silap, akhirnya nanti dia akan masuk syurga. Dan dia faham sekiranya dia melakukan dosa, dia adalah seorang Islam yang pastinya ke syurga.

Maka tidak hairanlah dia tidak takut mewarnakan rambutnya yang hitam menjadi perang, kukunya panjang berwarna-warni, pakaiannya ala kadar menutup badan, solatnya hanya bila ada keinginan dan puasanya cukup sehari jika tiada setan-setan kecil yang mengajaknya makan sembunyi-sembunyi.

Dia buat begitu kerana dia tahu dia Islam. Dia tahu akhirnya dia akan di bawa ke syurga. Selebihnya dia tak tahu atau tidak mahu tahu. Dia hanya tahu dia seorang Islam seperti yang tertulis pada kad pengenalan, seperti namanya yang Islam dan keluarganya yang beragama Islam.

Dan dia tetap percaya kata-kata ustazahnya bahawa orang Islam akhirnya semua akan ke syurga.