Rabu, Ogos 17, 2011

Buku yang menjadi mangsa prejudis



Dalam banyak-banyak karya SN Arenawati, saya kira tiga novel yang berwarna biru dan kuning seperti dalam gambar itu kurang sekali di sebut orang. Eno, Gelora dan Turina seolah tidak mendapat tempat dihati pembaca, atau mungkin kerana tidak dapat lagi ditemui di mana-mana kedai buku atau jualan gudang. Ketiga-tiga naskhah ini diterbitkan oleh Pustaka Antara ketika SN Arena Wati bekerja penerbitan itu sebagai pengarang. Buku-buku ini sudah berusia empat tahun di rak dan belum ada satu pun yang habis saya baca. Pernah cuba pegang Eno, tapi berbaki separuh. Ya, beli buku hari ini bukan untuk dibaca pada hari ini.

Saya akui karya SN Arena Wati sungguh mencabar untuk dihabiskan. Saya cuma mampu menelaah Sudara yang saya suka kerana aspek sejarahnya, juga menghabiskan Sandera yang berbau politik. Itu pun mengambil masa dua tahun sebelum mencecah halaman akhir. Paksa diri, kalau tidak masuk senarai buku tak habis baca.

Kemudian saya fikir, momentum bacaan saya bergantung kepada tema buku. Andai ia bersangkut paut sejarah, laju sahaja saya habiskan. Jika hal politik, atau falsafah, atau perbahasan yang tidak berjejak, sepuluh kali baca ayat yang sama belum tentu masuk ke otak. Jadi, saya harus ubah paradigma membaca supaya tidak ada perasaan mengenepikan buku kerana perasaan prejudis terhadap isinya. Baca sehinga habis dahulu, baru kritik dan komen

2 ulasan:

Pei Pan berkata...

Hingga saat ini saya masih belum habis membaca Sudara dan Citra. Saya suka Sudara kerana tema sejarahnya dan Citra kerana tema politiknya.

Norziati Mohd Rosman berkata...

Pei Pan,
Saya setuju dengan Sudara. Cantik jalan ceritanya hinga membuatkan saya merasa perlu menjejak leluhur kembali. Tapi Citra belum pernah jumpa pula