Sabtu, September 10, 2011

Libang libu pasca raya



Pasca raya, perbualan berkisar keluhan. Mengeluh harga barang kian naik tetapi gaji tidak naik, mengeluh bonus tak banyak tetapi barang yang nak dibeli kian banyak, anak saudara bertambah saban tahun perlu diberikan duit raya, lebuhraya yang kian sesak biarpun bayar tol, jalan kampung yang berlopak-lopak kerana peruntukan dipotong dek ekonomi tak bagus. Gaji perlu dicatu untuk untuk beli barang-barang sambut raya, ongkos balik kampung, belanja di kampung, beri duit raya. Mengeluh dan merungut.

Ketika memandu ke pasar bagi membeli kuih-muih untuk jamuan raya pejabat yang ringkas (kerana peruntukan dipotong), dia yang duduk di sebelah mula bersuara. Dia ambil kisah saudara mara yang pulang ke kampung. Katanya orang kaya dan orang miskin hidup mereka sangat berbeza. Orang miskin masih mampu menghulur duit raya yang banyak tetapi orang kaya semakin kedekut. Bila buka sampul, cuma ada sehelai wang kertas warna biru. Orang miskin boleh bagi lima helai wang kertas warna biru, atau sehelai wang kertas hijau. Ada yang bernasib baik dapat warna merah.

Lampu trafik berwarna merah dan kereta berhenti. Namun mulutnya tak henti mengeluh. Katanya lagi orang kaya semakin kedekut kerana terlalu bergaya. Beli rumah besar dan kereta besar menyebabkan gaji cukup-cukup untuk makan sampai hujung bulan. Kereta mestilah keluaran luar negeri kerana ada kelas dan eksklusif. Baju mestilah ada nama dan ranggi. Kasut mesti berkilat dan jenama terpampang jelas. Beg tangan kena beli di butik bukannya celup di Jalan Tunku Abdul Rahman. Telefon bimbit selang tiga bulan mesti bertukar dengan keluaran terkini. Makan seminggu sekali mestilah di restoran barat yang sekali makan cecah tiga angka. Gaya mesti ada, hidup mesti selesa. 

Tetapi, katanya lagi, siapa tahu hujung bulan dia makan atau tidak. Bil elektriknya entah berapa bulan tertunggak, Astro cuma ambil pakej paling murah. Mujurlah bil air tak perlu bayar kerana kerajaan negerinya adalah kerajaan berkebajikan. Bila gaji hujung bulan mulai menyusut, kad kredit jadi sasaran. Belanja tetap belanja. Bila rasa kad kredit pun dah cecah paras bahaya, mohon pula pinjaman peribadi. Bukankah bank kata boleh lulus dalam masa dua jam? 

Lampu bertukar hijau. Saya memasukkan gear satu lalu kereta melompat laju. Dia sambung cerita. Ketika di kampung, saudara maranya yang kaya-raya itu cuma sesekali menghulurkan duit untuk belanja dapur sedangkan masakan itu nantinya untuk perut mereka anak beranak mereka juga. Akhirnya, dia juga yang perlu ke pasar, perlu ke kedai, bertungkus lumus di dapur, sedangkan saudara maranya itu pagi keluar beraya, senja baru balik. Malam keluar beraya, tengah malam baru pulang.

Saya membelok ke kiri menghampiri pasar basah yang bukan sahaja menjual sayur, ikan, udang, sotong, tetapi juga kuih-kuih pada kedai sederet menghadap pintu masuk. Dia mengeluh sambil menggelengkan kepala beberapa kali. Saya selesa diam. Kereta buatan tempatan saya itu kadang kala tersengguk-sengguk bila gear bertukar. Dia di sebelah tidak pun mengomel tentang itu. Mungkin dia tahu ini adalah kereta tempatan. Bukan keluaran luar negeri seperti saudara maranya yang ada kelas dan eksklusif itu. 

Kami keluar dari kereta dan dia menyambung lagi. Katanya, mereka yang kaya itu kian miskin budi bahasa. Sudah duduk kota, balik kampung pun mahu bicara guna bahasa orang putih. Cakap sekerat belut sekerat ular. Macamlah pakcik makcik mereka faham apa yang mereka cakap. Sudahnya, pakcik dan makcik mengumpat mereka kembali dalam bahasa Jawa. Sambil bercakap itu pula, katanya lagi, sekejap-sekejap belek telefon yang canggih, sekejap-sekejap senyum dengan telefon, sekejap-sekejap menaip entah apa-apa. Hilang rasa hormat dengan orang tua.

Kami tiba di gerai pertama. Ada kuih warna merah, warna kuning, warna hijau, warna coklat, ada yang di kukus, ada yang di goreng. Bau nasi lemak, sup, kuih laksa, sambal tumis, rendang, teh tarik, kopi pekat dan nescafe berlumba-lumba menerjah deria bau. Dia memuncungkan mulutnya melihat kuih yang kian kecil saiznya. Berapa kira, dia bertanya kepada penjual. Satu empat puluh sen, balas penjual. Lima dua ringgit, sambungnya lagi.

Saya bertanya kepada dia yang mula memasukkan kuih warna hijau putih ke dalam bekas polisterin. Berapa peruntukan kita, soal saya. Dua puluh ringggit. Ini pun spesis orang kaya kedekut, katanya dengan nada marah. Makan pun hendak catu. Kalau nak buat jamuan raya, buatlah betul-betul. takkan nak bagi pelanggan makan kuih sahaja, bebelnya lagi. Saya membalas, tapi kita cuma jemput kakitangan, bukan pelanggan. Dia menjeling saya. Ya, nasib baik kita nasihatkan dia begitu. Kalau tidak, pelanggan makan kuih dengan air sirap, balasnya lagi.

Saya senyum sambil memandang ke arah mee hoon sup yang sedang berasap dibawa pelayan ke meja pelanggan. Selera tiba-tiba terbuka, perut mula berbunyi. Baru saya ingat sejak pagi belum makan apa-apa, kerana mahu makan banyak-banyak ketika jamuan nanti. Kuih pun kuihlah, getus hati saya.

Saya terasa tangan saya di tarik segera ke kereta. Cepat balik ke pejabat, katanya lagi. Kita kena potong kuih ini lebih kecil supaya tetamu dapat rasa semua kuih.

Saya ketawa sambil menghidupkan enjin. Cuma ketawa dalam hati.

Tiada ulasan: