Selasa, September 13, 2011

Igau yang kembali menyapa


Saya pulang ke kampung sebaik sahaja selesai waktu pejabat pada petang Jumaat yang disiram hujan renyai-renyai. Sepanjang perjalanan berteman dingin. Hujan tidak berhenti sejak saya mula bertolak. Kabus menutupi pandangan tatkala melewati kawasan berpokok rendang. Kereta membelah senja pada kelajuan sederhana. Jalan licin dan pemandangan terhad boleh mendatangkan kemudaratan sekiranya tidak berhati-hati.

Saya tiba dipintu rumah beberapa minit sebelum azan Maghrib berkumandang. Sebaik memakir kereta, beberapa ekor kucing yang emak bela sudah menanti dan menggeselkan badannya di kaki saya. Pokok kelapa yang sudah tinggi melangit kelihatan dahannya terbuai-buai ditiup angin. Beberapa pelepah kedengaran jatuh mencium tanah. Esok nanti pasti abah akan berpusing sekitar rumah mencari apakah ada kelapa yang gugur, yang nanti boleh emak perah santannya ke dalam lauk-lauk atau kuih muih. Pelepah yang sudah dimakan usia itu akan abah heret ke tempat pembakaran. Apabila kering nanti, abah akan cucuh dengan api. Maraknya cepat sahaja meninggal abu.

Pokok-pokok bunga dalam pasu kelihatan menggigil kesejukan. Pokok bunga kertas yang dicantas rapi sedang ralit mengeluarkan bunga merah. Beberapa kuntum layu jatuh mencium rerumput yang segar menghijau. Pokok puding disebelahnya tunduk memeluk dahan. Titis-titis air hujan pada helaian daunnya turun ke tanah, ke akar yang kian mencengkam ke dasar bumi.

Usai solat Maghrib, saya mencapai pinggan, membuka periuk di dapur. Masakan emak berbeza hari ini daripada biasa kerana dia tahu yang saya biasanya pulang dalam keadaan lapar. Mengenepikan makan tengahari supaya dapat menyantap lauk emak yang lazat. Saya lalu membawa pinggan yang membusut dengan nasi, sayur dan ikan asam pedas ke meja makan.

Sebaik suapan pertama mencecah kerongkong, adik bongsu membuka buku sekolah. Dia menunjukkan kepada emak kerja rumah yang perlu di selesaikan hari ini. Emak yang sedang melipat kain sambil matanya terpaku pada Gerak Khas di kaca tv, melihat buku adik bongsu dengan ekor matanya. Belajar di Sekolah Melayu yang tidak habis kerana sering ponteng, apa sangatlah yang dia tahu akan apa yang tertulis pada buku latihan adik bongsu.

“Minta Along tunjukkan. Emak mana tahu bahasa orang putih ni,” kata emak. Adik bongsu terkial-kial melihat soalan. Saya melihat dari jauh. Emak bukannya tidak tahu membaca atau menulis, tapi tahapnya sekadar dalam bahasa ibunda.

“Macam mana nak buat kerja sekolah kalau soalan dalam Bahasa Inggeris. Emak tak tahu nak ajar. Nak tunggu abah kau, lepas Isyak terus dengar ceramah. Ada kuliah, ada tazkirah, ada kenduri, ada baca Yassin, ada tahlil, ada mesyuarat. Nak suruh adik kau yang lain, menangis tangan budak ni diketuk-ketuknya. Dikata adik bongsunya ni bodohlah, beranganlah, tak pandailah. Semua jenis tak sabar.” Emak berbicara separuh membebel, sekaligus menyimpulkan kesukaran adik bongsu menyiapkan kerja rumah.

Saya mengerti apa yang emak katakan. Abah pernah mencecah sekolah Inggeris tetapi sumber kewangan terhad menyebabkan dia perlu melepaskan pulang belajar tinggi kepada adiknya. Abah boleh mengajar, pernah mengajar sekolah agama rakyat tetapi masa abah pula suntuk. Dua orang adik yang tinggal bersama pun tidak boleh membantu. Bahasa Inggeris, apalah sangat pada kami luar bandar ini?

Kerja rumah matematik yang adik bongsu perlu siapkan itu dalam Bahasa Inggeris. Soalannya tidak susah. Boleh sangat disiapkan. Tetapi siapa yang boleh mengajar mereka di rumah? Siapa yang boleh membantunya membacakan soalan dalam Bahasa Inggeris? Siapa boleh memahamkan soalan? Siapa yang boleh menunjuk ajar?

Emak tidak faham Bahasa Inggeris, abah tahu sedikit-sedikit. Saya yang dahulu belajar sains dan matematik dalam Bahasa Melayu boleh mengajar adik bongsu yang mahu menyiapkan soalan matematik dalam Bahasa Inggeris. Saya dahulu cuma belajar Bahasa Inggeris dalam kelas Bahasa Inggeris. Bukan belajar Bahasa Inggeris dalam kelas sains dan matematik. Saya tidak tahu nanti, apakah adik bongsu faham matematik, sains atau lebih hebat berbicara dalam Bahasa Inggeris.

Saya bukan mahu menentang keberadaan bahasa penjajah itu, tetapi bukankah lebih baik Bahasa Inggeris di ajar dengan lebih menarik dalam matapelajaran Bahasa Inggeris tu sendiri. Bukannya menjadi serampang dua mata dalam matapelajaran sains dan matematik, yang semakin disukarkan pembelajarannya. Yang kian mengundang trauma untuk tahu lebih lanjut akan sains dan matematik.

Saya terus menyuap nasi sambil adik bongsu menanti saya mengajarnya sebentar nanti. Hujan sudah berhenti. Katak mula memanggil hujan kembali. Dingin kian memeluk malam.

Tiada ulasan: