Isnin, September 12, 2011

Bukan sebarang teknik


Ada sesuatu yang menggelitik tangkai hati tatkala membaca tiga buah cerpen dari buku ini. Awalnya saya teruja dengan permulaan yang memikat, kemudian dibuai-buai dengan cerita, dipertengahan pula emosi dimainkan, lalu masuk kedalam jiwa pengarangnya menjadikan saya seorang watak dalam watakk-watak yang ada. Tidak kiralah kerusi, cawan, kereta adau sebatang rokok. Kemudian saya menggambarkan setiap bait kata dalam cerpen ini dan memvisualkan setiap perbualan seolah-olah ia benar-benar berlaku dihadapan mata.

Kemudian berlaku sesuatu dan tamat. Di penghujungnya saya rasa seperti mahu melompat-lompat, atau panjat kerusi dan terjun ke lantai atau berguling-guling di ruang tamu. Kemudian ketawa. Seminit kemudian saya insaf, inilah teknik kepengarangan yang membolehkan pembaca menjiwai cerpen yang dikarangnya. Gaya yang bukan datang secara tiba-tiba, bukan dapat dari kuliah, bukan wujud dari mana-mana buku teks. Kalau ada pun, apakah sama teori dengan kenyataan?

Cerpen Pertemuan berkisar pertemuan seorang teruna dan dara. Dengan gaya seorang gentleman, teruna (saya) mengajak dia makan disebuah Snack Bar saat melihat dia keseorangan menunggu teksi ke rumah kawan. Cerita sekadar di meja makan. Saya berbual-bual dengan dia, memesan makanan sambil membayangkan apa yang mahu dilakukan selepas ini. Agak nakal saya berfantasi dan usai makan, sehelai nota kecil dari pelayan menyebabkan saya terus berdalih untuk menghadiri mesyuarat malam nanti,bukan meneruskan angan-angan nakalnya dengan dia.

Selama sepuluh minit saya berfikir, apakah yang dituliskan dalam nota tersebut? Dia pisau cukur, pelacur, anggota penjenayah terancang, gadis tidak siuman yang cantik ataupun sebenarnya lelaki?

SN Usman Awang membiarkan pembaca menjawabya sendiri.

Cerpen Rimbaku, Air Mataku pula lebih memikat. Watak-watak dalam cerpen ini adalah keluarga rusa yang menjadi mangsa pembangunan. Pembaca hanya akan sedar bapa, ibu, aku, adik dalam cerpen adalah keluarga rusa apabila tiba pada ayat 'sebentar kemudian kulihat bapa mendekati beberapa kelompok pohon lalu memakan pucuk-pucuk yang sedang segar itu.' Pastinya kita kan rasa hairan, manusia spesis apa pula yang makan pucuk segar sebegitu rupa? Kalau pun ulam, ianya dipetik dahulu. Apabila tiba pada ayat seterusnya, lebih membingungkan. 'Aku terkecur juga melihat bapa mengunyah pucuk-pucuk muda yang menjadi idaman dan kegemaran kami itu.' Dari sini pembaca sudah boleh menangkap yang watak tersebut sudah pasti bukan manusia.

Cerpen ini tentang haiwan yang kehilangan habitat tatkala pokok-pokok ditebang dan sungai menjadi lubuk racun. mereka merasa tidak selamat apabila menjadi buruan senapang pemburu, kehilangan sumber makanan dan air yang tidak selamat untuk diminum.Ceritanya ringkas tetapi sarat maksud. Apatah lagi mengangkat watak haiwan, kita sebagai manusia terasa sangat berdosa mengabaikan makhluk Tuhan.

Cerepn ketiga berjudul Betisnya Bunting Padi. Melihat judul, sudah pasti betis itu milik seorang dara. Betis digambarkan sangat indah. Kembang bulat, benar-benar seperti padi bunting. Maka pembaca pun hanyut dalam imaginasi aku yang berhasrat mahu memegang, menyentuh, mengusap malah meramas, menikmati betis yang bulat penuh. Aku mahu merasai kenikmatan itu tetapi belum ada kesempatan. Dia cuma sempat membandingkan dengan betisnya yang berbulu dan gelap dengan betis temannya yang cantik.

Ah, apakah ini, cerita tentang betis, tentang ramas-ramas dan usap-usap pula. Tetapi jangan terperangkap dengan imaginasi sendiri. Si pemilik betis bunting padi digambarkan sebagai seorang yang tidak menghargai kecantikan betisnya yang menurut aku haruslah digunakan dengan bermain bola misalnya. Kaki yang mempunyai betis secantik itu menurut aku mestilah bertuah kalau main bola. Tetapi pada betis itu kemudiannya sebiji mata ikan telah duduk betul-betul pada buah betisnya. Aku diberi peluang menekan kawasan mata ikan, maka aku berpeluang menyentuh betis bunting padi itu.

Sebelum imaginasi penmbaca terbuai jauh, datang pula ayat berikut:

Ketika isterinya keluar membawa dua cawan kopi, sahabatku itu masih lagi melumuri betisnya dengan minyak'

Eh, apakah ini? Isteri bawa kopi, jadi siapa pemilik betis bunting padi? Kemudian ayat berikut:

"Abang Manap memang begitu. Dulu pun bisulnya tumbuh pada betis juga. Entah apa kenanya itu tak tahulah," kata isterinya.

Danggggggggg!!!


Dua perenggan selepas itu kalau tak baca pun tak apa.



Tiada ulasan: