Jumaat, Januari 27, 2012

Seorang Abah

Membaca Sang Pemimpi dan kemudian menonton filemnya kira-kira enam bulan yang lalu membawa saya menjejak sosok seorang lelaki yang menjadi kepala keluarga - ABAH. Berapa banyak saya cerita tentang abah, berapa banyak saya difikirkan tentang abah?

Abah punya sikap tipikal lelaki Melayu - tak banyak bicara. Dalam sehari, sepatah dua sahaja suaranya mencecah cuping telinga kami. Dia bercakap apabila perlu. Dia menegur sepintas lalu. Dia tahu waktu yang sesuai untuk bercakap. Dia tahu apa yang patut diperkatakan. Tapi kami tahu, dia seorang yang abah yang baik, abah yang prihatin, yang sebenar-benar abah buat kami. Dialah tonggak kekuatan keluarga, menjadi tiang utama yang menunjangi kehidupan kami.

Diamnya abah menjadikan saya seperti tidak tahu berbicara apa dan bagaimana dengannya. Sewaktu dibangku sekolah, saat nak menunjukkan buku laporan, saya menjadi tidak keruan untuk mengunjukkan kepadanya meskipun tidak ada keputusan yang mendukacitakan. Nak serah buku, mahu cakap apa? Abah bukannya marah pun. Tapi saya jadi salah tingkah. Maka saya serah begitu sahaja. Dan abah belek depan belakang sebelum tandatangan. Dan sikap diam abah itu kemudian tertumpah banyak pada diri saya.

Selalunya emaklah menjadi orang tengah. Kalau mahu duit untuk beli buku atau bayar yuran, saya beritahu emak dan emak sampaikan pada abah. Abah pun berusaha mencari duit tambahan. Biasanya membawa getah untuk di jual ke luar. Atau mengambil duit mingguan di pejabat yang selalunya abah kumpul hingga hujung bulan. Abah serah pada emak dan emak pun beri pada saya. Lalu komunikasi saya lebih banyak dengan emak meskipun tidaklah banyak mana saya bercakap. Saya sendiri pun senang mengunci mulut, menanam emas sehingga ranum.

Tapi saya tahu, abah lebih dari seorang abah. Pernah juga dia bercerita sekolahnya tak tinggi kerana memberi peluang adiknya belajar. Tapi sempatlah dia habiskan sekolahnya. Mereka cuma dua beradik dari keluarga yang berpisah. Abah kemudian bekerja dari satu tempat ke satu tempat. Tapi saya tahu ilmu abah sangat tinggi.  Adiknya bekerja sebagai pegawai kerajaan dan kini hampir pencen. Kalau abah belajar lebih sikit, pasti dia bukan ditempatnya sekarang. Saya pun entah-entah bukanlah saya sekarang.

Abah pernah jadi guru agama (silibus Johor) ketika kami mula-mula pindah ke tanah rancangan ini. Buku kehadiran pelajarnya selalu saya belek. Dia juga mengajar kami adik beradik mengaji sebelah malam. Ketika itulah kami boleh dengar suaranya, jerit pekiknya kerana kami tak sebut dengan betul. Kami pun tersedu-sedu menangis sama ada kena cubit atau kena tampar. Tapi kami tak pernah pula serik hulur muqaddam esok harinya. Ah, ketika saya mengajar anak jiran mengaji dahulu, cara yang sama saya guna pakai sehingga tersedu-sedu mereka mengaji. Kemudian saya membuat kesimpulan bahawa saya tak boleh jadi cikgu. Itulah jawapan yang untuk orang yang bertanya mengapa saya tak cuba KPLI ketika kawan-kawan sibuk isi borang.

Abah pun arif akan hal ehwal semasa. Bila dia baca suratkhabar, dia boleh buat ulasan hingga saya jadi faham. Dia akan tonton Dunia Jam 10 sebelum melelapkan mata. Dialah yang membuka mata saya akan senario dunia. Sehingga kini, dia boleh patahkan hujah-hujah saya bila kami berbual tentang isu semasa. Tapi sekarang abah dah tak beli suratkhabar atau tonton berita. Meluat katanya.  Dan abah pun tak tonton tv seperti yang biasa orang lain lakukan pada waktu malam sebagai aktiviti keluarga. Kalau dahulu, waktu malam kami sibuk buat kuih. Abah pun tolong sekali. Itulah penambah pendapatan kami yang tak seberapa. Sekarang, dia akan duduk sebentar selepas balik masjid, kemudian masuk tidur. Esok dia bangun awal untuk ke masjid lagi. Kalau tidak pun, dengar ceramah atau kuliah selepas Isyak. Sebab itulah saya pun jadi tak kisah dengan tv, dek tertumpah dengan sifatnya yang tak menjadikan tv sebagai santapan hiburan.

Abah ada banyak kemahiran. Entah dari mana datangnya kepandaiannya, saya tak pernah bertanya. Tapi saya tahu, dia suka mencuba dan tidak putus asa. Itu sikap orang Jawa tulen, yang turut tersimbah pada saya. Saya ingat lagi, abah pernah lukis pemandangan pantai dengan pokok kelapa di sisi kiri menjulang ke langit. Di hujung laut, matahari sudah separuh terbenam. Lukisan besar itu terhampar pada dinding plywood rumah kayu kami. Besarnya dari lantai hingga ke bumbung, lebih tinggi dari ketinggian abah. Enam atau tujuh kaki, mungkin. Menjadi peneman selama beberapa tahun sebelum di robohkan untuk digantikan batu. Saya pun tak kisah bertanya ke mana perginya plywood tersebut. Seperti tidak tahu menilai hasil lukisan besar itu. Bakat melukis ini jatuh pada adik bongsu saya yang memang halus sekali lukisannya.

Pernah juga saya nampak abah ukir kepala burung pada hulu parang yang di bawa ke kebun. Sarung parang pula terukir dedaun yang indah sekali. Seringkali saya belek sebelum abah ke kebun kerana parang itu akan di bawa sekali dalam beg buruknya yang disangkut ke motor. Saya kira, bakat abah ini tertumpah pada angah yang menjadi design architect di sebuah firma arkitek di ibu kota.

Selain itu, saya sering memerhatikan abah selalu mencatat. Setiap kali balik dari kebun, dia akan ambil sebuah diari buruk yang tidak pernah bertukar selama hampir sepuluh tahun. Saya tahu didalamnya abah tuliskan jumlah berat getah beku juga timbangan susu getah yang dihantar ke PMG hari itu. Dari situ, abah boleh buat jangkaan berapa banyak pendapatan bulan itu. Sekurang-kurangnya, abah boleh merancang perbelanjaan untuk keluarga. Nak beli buku, bayar yuran sekolah, duit belanja sekolah, barang dapur dan seribu satu perkara lagi. Bila harga getah jatuh, abah termenung panjang. Bila harga getah naik, ada sedikit calitan senyum di muka abah. Lebihannya akan disimpan. Dia tidak pernah gagal menulis pada setiap hari. Meskipun saya tidak pernah curi-curi baca apa yang ada di dalamnya, saya pasti, ada juga catatan tentang beberapa peristiwa penting yang berlaku dalam keluarga. Hidup berjiran ibarat pasang surut ombak, sesekali terkucil juga. Dan abah pastikan dia membaca suratkhabar setiap hari. Maka kami tidak boleh putus membeli, lalu melanggan akhbar Berita Harian yang sehingga kini menjadikan saya tak boleh baca Utusan Malaysia (meskipun kini dah jarang baca). Abah akan marah kalau tak ada suratkhabar kerana itulah satu-satunya sumber maklumat untuknya. Nak beli buku, tiada kedai yang jual. Duit pun bukannya banyak sangat. Dan saya kita, sifat mencatat dan membacanya itu tertumpah dengan banyak pada diri saya.

Abah juga boleh membaiki kereta dan motor. Dia pernah bekerja di kilang FIAT sebelum kilang tersebut tutup di Johor Bahru. Bersama emak, abah juga pernah bekerja di kilang Steadlear juga di Johor Bharu sebelum dipanggil masuk ke tanah rancangan. Maka kami adik beradik menjadi taksub pada produk Steadler - dengan colour Luna dan pensel 2B belang hitam-kuning hingga kini. Basikal, motor atau kereta selalunya abah perbaiki sendiri. Dia akan hantar ke bengkel hanya apabila kerosakan tersebut memang tidak boleh dibaikinya sendiri. Dan bakat ini tertumpah pada adik ke tiga saya, yang memang jadi tukang pomen motor dan kereta. Cumanya dia tak mahu buka bengkel sendiri. Adik kelima pun sudah menunjukkan bakat yang sama. Motor yang digunakan ke sekolah akan dibaikinya sendiri. Abah yang mengajarnya cara buka dan pasang. Kemudian dia pula buka dan pasang sendiri sehinggalah jadi pandai,

Apa lagi yang ada pada abah? Rumah yang kami duduki sekarang, yang asalnya rumah papan dijadikan batu dengan tulang empat kerat abah. Baru-baru ini dia bercerita pada seorang saudara yang dia buat rumah atas dasar cuba-cuba. Membuat agakkan bancuhan simen, sukatan pasir, air dan kapur. Menyimen sendiri. Naikkan bumbung sendiri. Plaster dinding sendiri. Tapi dengan bantuan adik yang ketiga itulah yang ketika itu baru habis sekolah. Dan dia sekarang selain bergelumang dengan minyak hitam, turut sama bermandi peluh menjadi kontraktor kecil mengambil tawaran menyiapkan rumah di tanah rancangan kami.

Selain kurang bercakap, abah juga kurang berbelanja. Dia sangat penjimat. Dalam almarinya tidak sampai sepuluh helai pun baju. Baju melayu yang dibeli ketika raya, dipakainya untuk ke masjid setiap hari. Itulah menjadi sarung badannya buat beberapa tahun. Baju yang sama,berwarna hijau. Jam yan dipakainya pun sudah retak cerminnya. Asalkan nampak jarum dan betul waktu, abah sarungkan sahaja ke tangan tanpa banyak soal. Ketika saya dapat pinjaman pelajaran, lebihan duit saya belikan jam baru untuk abah. Tapi dia kekok, dan diberinya pada adik. Dia tetap pakai jam lama. Saya belikan juga kemeja supaya dia ada baju untuk ke kenduri kendara, tapi tidak dipakainya dan tersimpan dalam almari dalam tempoh yang agak lama. Dia tidak tahu berbelanja. Kadangkala disuruh beli itu ini, dia tak mahu dan rasa tidak perlu. Cukuplah dengan apa yang ada dibadan. Buat apa berlebih-lebihan. Tertumpah lagi sikapnya pada saya.

Abah juga memperkenalkan saya pada Gila-Gila, satu-satunya hiburan waktu itu. Majalah ini hanya boleh dibeli ketika kami ke bandar dua tiga bulan sekali atau ketika balik kampung dengan bas lompat-lompat bagi membunuh masa akan perjalanan yang panjang. Abah akan baca dan kami ketawa kerana abah sahaja yang faham apa yang dilukiskan. Kami akan baca semula selepas itu. Sehingga kini, Gila-Gila tetap menjadi komik kegemaran walaupun dah tidak membelinya lagi.

Bila dah besar begini, barulah saya boleh berbicara banyak dengan abah. Dan rupanya abah bukanlah seorang pendiam. Dia cuma bercakap apabila perlu. Dan saya jadi rajin untuk bercakap dengannya. Tapi tentang isu semasa, saya masih lagi kelu lidah untuk berhujah. Ada sahaja fakta yang disampaikan hingga mematahkan cubaan saya untuk menandinginya. Meskipun abah bersahabat baik dengan pokok-pokok getah, dia bukanlah peneroka yang bodoh dan diperbodohkan suasana. Dia celik dan faham. Saya bersyukur untuk itu. Dan itulah dia abah saya.


P/s: Adik no 4 bakatnya memasak, datang dari emak. Dia sahaja mewarisi kehebatan emak didapur :-)

8 ulasan:

Mila@Rimbun berkata...

Cerita zeti ni mengingatkan akak pada arwah abah akak. Tapi dia banyak cakap dan suka membebel, kekadang kitorg buat endah tak endah jer kalau dia dah start membebel tuh, tapi bila dia dah tiada, terasa amat rindu dengan bebelannya. Hargailah setiap saat yang ada untuk berbakti dan membahagiakan kedua orang tua kita.

Nowwa Fitri berkata...

Mmmmm..menyebabkan aku rindu pada arwah papa.Orangnya diam tapi sekali berbicara, penuh isinya.Berbaktilah pada mereka selagi mampu Zaiti.Bahagiakan mereka hingga ke hujung nyawa. :)

Norziati Mohd Rosman berkata...

Kak Mila,
Bila tak ada baru terasa.
Al-Fatihah

Norziati Mohd Rosman berkata...

Nowwa,
Dia masuk hospital sekejap aritu pun dah kelam kabut. InsyaAllah, dia akan cuba dibahagiakan...

Jiwa Rasa berkata...

Bahan ini boleh dibuat novel - tribut untuk ayah.

Norziati Mohd Rosman berkata...

Tuan Jiwarasa,
Boleh lawan Ayah - Andrea Hirata :-)

puan hazel berkata...

semoga beliau diberi kesihatan yg baik & beroleh keberkatan dlm hidup. byk persamaan antara abh ko ngan arwah pak aku kak...teruskan berbakti utk mereka

Norziati Mohd Rosman berkata...

Puan Hazel,
Selepas menskodeng blog ko, barulah aku kenal ko siapa :-)