Selasa, Februari 07, 2012

Dilema seorang wartawan dalam Travelog Wartawan Islam

Saya pernah bercita-cita menjadi wartawan sewaktu kecil. Menyedari kerjaya wartawan penuh glamor dengan nama terpampang pada by-line, mengejar publisiti, mencari berita, sentiasa sibuk dengan agenda menemuramah para VIP dan menteri, saya beranggapan ia adalah kerjaya yang berkelas tinggi dan penuh sensasi. Hanya ketika ditingakatan empat, saya mula mengambil subjek perdagangan dan kemudian menukar cita-cita kepada sesuatu yang masih dalam pencarian. 

Travelog Wartawan Islam ini saya beli ketika Ekspo Buku 1Malaysia melabuhkan tirainya. Saya dari cuti panjang hujung minggu memandu dari kampung, meletakkan kereta distesen LRT Sungai Besi dan menaiki LRT ke PWCT. Ketika tiba, beberapa gerai sudah pun di tutup. Pengunjung tidak berapa ramai dan sebuah dua gerai yang lain mula melakukan acara lelong buku dengan meletakkan diskaun pada harga yang tidak munasabah. Sebagai pembaca, acara melelong buku pada saat akhir merupakan peluang yang amat dinanti-nantikan. Namun sebagai penulis, ia merupakan saat yang merobek hati. Tidak dapat saya bayangkan bagaimana perasaan sendiri jika suatu hari nanti bertemu saat dimana buku sendiri di jual murah seperti itu. Memang saya akan gembira melihat buku tulisan sendiri beredar di khalayak tetapi pada sudut lain, pasti ada perasaan hampa melihatkan penerbit berusaha menghabiskan stok yang dibawa sebegitu rupa. Seperti usaha yang berhempas pulas ketika menghasilkan buku tersebut dipijak-pijak maruahnya. Tetapi apa boleh buat, nasib penulis di Malaysia memang di tangan penerbit.


Buku ini menceritakan pengalaman Roslan Hamid sebagai wartawan di akhbar Berita Harian dan Harian Metro kira-kira 12 tahun. Berkhidmat di meja luar negara, beliau terkenal dengan beberapa ruangan pojok yang sering menjadi kesukaan saya ketika di bangku sekolah. Malah, tulisan beliau yang kemas dan tersusun amat mudah saya fahami meskipun beliau bercerita mengenai isu-isu yang berkaitan negara luar. Tidak saya nafikan, tulisan beliau sering memudahkan saya memahami apa yang berlaku di luar negara menjadikan saya dapat menghadam dengan santai apa yang cuba beliau sampaikan. 

Walau pun begitu, saya merasa sedikit hampa kerana buku ini tidaklah seratus peratus menceritakan pengalaman beliau sebaai wartawan yang pada pertengahan tahun-tahun perkhidmatan sudah berkonflik dengan diri dan tanggungjawab dalam melaksanakan tugas. Buku ini boleh dikatakan terbahagi kepada dua - satunya seputar pengalaman beliau sebagai wartawan dan sebahagian lagi adalah koleksi tulisan beliau di akhbar menerusi ruangan 'Kisah Atara Dua Kota'. Pada pandangan saya, biarlah pengalaman sewaktu membuat liputan di luar negeri diceritakan dalam satu buku dan koleksi tulisan di terbitkan dalam buku berbeza. Saya pasti, sebagai wartawan pada era 90-an, banyak yang boleh beliau ceritakan memandangkan ada pelbagai peristiwa dunia berlaku dalam waktu tersebut menjadikan beliau orang utama dan pertama menjadi saksi. Antara yang dapat saya sebut ialah pembubaran kesatuan Soviet, pilihan raya pelbagai kaum yang pertama di Afrika Selatan, runtuhnya tembok Berlin di Jerman, pembakaran Masjid Babri di Bombay, Perang Teluk di Iraq-Kuwait, perang Balkan yang melibatkan pembersihan etnik di Bosnia dan pelbagai lagi peristiwa yang menjadi tajuk utama akhbar dunia ketika itu.

Meskipun dunia kewartawanan di Malayis akini sudah pun menjadi ruang yang diragui oleh pelbagai pihak akan ketelusan berita dan pelanggaran etika kewartawanan, Roslan Hamid yang terkenal dengan nama pena LanH sudah melihat perkara ini sejak beliau berkhidmat lagi. Dan konflik diri itulah yang menjadi punca kepada perletakan jawatan beliau pada Januari 1998. Rupa-rupanya, konflik yang sama turut dirasai beberapa bulan kemudian apabila beberapa editor dan wartawan terkemuka tanahair meletakan jawatan berikutan isu pemecatan jawatan (bekas) Timbalan Perdana Menteri Dato' Seri Anwar Ibrahim pada September 1998. 

Saya berharap agar ada sequel terhadap buku ini yang lebih menjurus kepada pengalaman beliau sebagai wartawan akhbar meja luar negara. 

Tiada ulasan: