Selasa, Februari 21, 2012

Restoran tepi jalan

Setiap hari bekerja, beberapa minit sebelum jam lima, saya akan segera mematikan komputer lalu bergegas mengerjakan solat Asar. Tanpa menoleh ke kiri dan ke kanan, saya akan segera menuruni tangga, keluar dari pejabat, menuju ke kereta dan memandu ke sebuah kedai makan yang terletak di pertengahan perjalanan saya pulang ke rumah. Di meja yang sama setiap hari, saya memesan secawan teh tarik atau kopi panas lalu membuka novel, apa-apa buku atau majalah bersama sebatang pena dan buku catatan. Kadang kala apabila merasa lapar kerana tidak akan tengahari selepas heavy breakfast, saya akan memesan sepinggan nasi goreng atau mehoon goreng atau nan tandoori yang baunya sering menggoda. Tetapi saya sering dengan secawan teh dan segelas ais kosong sahaja. Ketika itu juga saya teringat pesan emak agar mengurangkan pengambilan teh tarik. Saya faham mengapa tetapi saat itu saya sudah pun meneguk teh yang berbuih-buih dan masih berasap.

Di meja yang sama dan pada waktu yang sama, begitulah saya bertemankan novel, apa-apa buku, majalah pena dan buku catatan. Kadang kala membawa laptop atau tab. Menaip apa sahaja atau melompat-lompat dari satu blog ke satu laman web. Restoran tepi jalan besar ini menjadi saksi saya melihat manusia. Kenderaan lalu lalang. Motor mundar mandir. Kala hujan atau panas, ia adalah wayang yang memaparkan lakonan manusia. Setap hari tidak henti.

Pelayannya sudah serasi dengan saya. Kelibat saya jika tidak muncul akan menjadi topik bualan hari berikutnya. Saya akan duduk sehingga langit gelap atau sebelum azan Maghrib berkumandang. Selepas penat membaca, mencatat, menaip, saya bangun, membayar segelas teh tarik dan langsung pulang. Esok, sama ada berteman atau tidak, saya akan tetap di kerusi yang sama dengan buku yang berbeza.

1 ulasan:

mohamadkholid berkata...

dulu saya selalu buat begitu... kata orang - pelik... nak buat macam mana, memang penulis ni pelik agaknya. sejak tinggal di cameron, saya terus balik rumah, dengan kopi dan kuih yang isteri saya buat, teman saya laptop juga. terima kasih puan isteri. orang tak kata saya pelik lagi...