Selasa, April 24, 2012

Karipap inti daging


“Kadang-kadang susah memikirkan soal hidup, apatah lagi bila sudah berkeluarga begini,” Kak Miah membuka bicara. Saya memasang telinga sambil membuka getah yang mengikat pembungkus nasi lemak. Bau harum daun pisang dan sambal tumis menyerbu ke hidung, menambah nada keroncong pada perut yang selalunya lapar pada waktu pagi begini. Khalil di hadapan saya senyum tanpa kata. Dia mengunyah sebiji karipap berintikan daging yang di bawa Kak Miah dari rumah.

Saya belum mahu membalas kata-kata Kak Miah. Malas rasanya membicarakan masalah pada waktu pagi. Pada firasat saya, semangat bekerja seharian akan terketepi dan menjadi lemah gemalai bila hal negatif dibacarakan pada awal waktu.

“Kamu ni, tak kahwin lagi, hah! Hati-hati. Sebelum kahwin fikir dahulu elok-elok, biarlah memilih yang terbaik. Jangan nanti bila dah dapat, menyesal pula." Kak Miah mengambil sebiji karipap dalam tupperware merah yang selalu dibawa bagi mengisi bekalan ke pejabat. Dia membelek-belek karipap tersebut tanpa rasa mahu mengunyah. Wap dari secawan air milo yang baru di kacau menyerbu naik memenuhi ruang pantri. 

Pagi masih awal. Beberapa teman sepejabat baru sahaja sampai, menghidupkan komputer kemudian menyertai kami di pantri. Masing-masing menjenguk hidangan pagi yang kami bawa, kemudian keluar semula. Mungkin mencari santapan pagi di gerai berhampiran untuk di makan bersama.

"Hendak hidup bersama bukan untuk sehari dua, tetapi hingga ke akhir hayat. Dengan anak, dengan kerja, dengan keluarga. Itu belum lagi hal mak bapak yang kita perlu juga ambil tahu.” Kak Miah menggigit hujung karipap yang kembung dengan inti daging. Perlahan-lahan dia mengunyah. Saya kira dia memikirkan ayat seterusnya. Saya menanti, Khalil juga masih membisu. Nasi lemak saya gaul dengan sambal kerang yang merah menyala.

“Kenapa Kak Miah cakap begitu?” Ah, Khalil penyelamat. Biarlah dia melayan kak Miah. Saya menyudu nasi lemak ke mulut. Tekak menelan cepat, telingaku memasang dengar.

“Kamu perlu faham. Orang lelaki ni, bila kuasa ada ditangan mereka, suka hati nak digunakan. Tak fikir rasional, tak tahu baik buruknya. Jangan ingat perempuan ni tak tahu apa-apa.” Kak Miah menambah. Dia menghirup milo panasnya sambil memerhatikan saya yang makan tidak menoleh kiri kanan. Tangannya mencapai karipap yang kedua. 

“Apa maksudnya? Kak Miah mahu kuasa pada lelaki itu di samaratakan kepada kita?” Saya membidas kata-kata Kak Miah sambil mengesat mulut dengan sehelai tisu yang tersedia. Khalil senyum sumbing memandang saya kemudian kepada Kak Miah silih berganti.

“Ah, untuk apa. Kalau dah setakat itu hak yang Islam berikan kepada kita, untuk apa pula kita persoakan. Cuma cara hak itu di gunakan kadangkala tidak menepati cara,” Kak Miah berusaha mengimbangi kata-kata dengan mulutnya yang penuh. Pipinya kembung kempis.

“Ini bukan masalah hak atau kuasa. Ini masalah si pemegang hak, bagaimana ia menggunakannya. Macam kereta.” Saya berhenti lalu meneguk teh yang telah sejuk di cawan. Kak Miah menanti kata saya seterusnya.

“Kereta yang kita beli, baik atau buruknya keadaan kereta selepas empat tahun adalah ditangan tuannya. Bagaimana ia di jaga oleh tuannya, semua perlu diperhatikan. Kalau selepas empat tahun kereta saya sudah luntur warnanya, tetapi kereta Kak Miah masih elok dan bersinar, maknanya saya tidak pandai menjaga dengan elok. Mungkin jarang dibasuh, jarang di polish. Belum lagi dengan kesan kemalangan, kemik atau calar balar yang ada.”

Kak Miah diam. Mungkin memikirkan kata-kata itu atau ada perkara lain yang ingin di kemukakan. Saya tidak mahu beri dia peluang.

“Oleh itu, tuannya sendiri harus main peranan. Untuk memastikan keadaan keretanya baik, jika mahu ia elok tanpa rosak maka sentiasalah servis. Macam kita juga, kalau hari-hari minum milo panas, boleh kena kencing manis. Ambillah jalan untuk mengatasinya.”

Kak Miah merenung milo panas yang tinggal separuh di dalam cawan. Khalil mencapai karipap lagi, dan saya menyudu nasi lemak yang terakhir untuk pagi itu.

Tiada ulasan: