Selasa, April 03, 2012

Muhasabah suku pertama

Tahun masihi sudah masuk suku tahun kedua. Tiga bulan pertama saya tempuhi dengan pelbagai peristiwa dan pengalaman menarik. Apabila cuma muhasabah semua itu, saya mendapati terdapat perubahan besar pada diri saya. Seketika saya merasa sudah berjaya keluar dari daerah kehidupan yang statik sejak hampir lima tahun, sejak buku pertama saya, Buat Duit Dengan MLM diterbitkan oleh PTS. Meskipun menghasilkan dua buah novel selepas itu, saya melihat tidak ada apa-apa peningkatan terhadap diri melainkan sibuk dengan kerja dan aktiviti selepas pejabat yang sengaja saya cari bagi membunuh kebosanan hidup sendiri.

Dalam tempoh tiga bulan itu, pelbagai jenis manusia saya kenal, pelbagai program saya sertai dan mereka menyuntik daya fikir saya yang sedikit berkarat. Dari perbincangan yang keras dan bernada kasar, atau yang lembut dan membumi, saya sedar yang saya harus terus memandang ke depan dan berusaha menjadi diri sendiri. Percaya diri, nescaya akan terbuka jalan-jalan yang kita mahu. Jika selama ini saya sering menyalahkan kerjaya saya sebagai punca kepada segala masalah, maka saya berusaha mencari pekerjaan yang lebih baik. Malah saya selalu menganggap kerjaya saya adalah penghalang kepada segala-galanya. Saya sedang berusaha ke arah itu. Meskipun ia membunuh sebahagian besar keperluan material saya.

Masuk suku kedua tahun 2012, saya tidak tahu apa yang bakal saya capai. Tetapi saya berusaha memastikan graf kehidupan saya akan terus naik, tidak lagi mendatar atau menurun.



Tiada ulasan: