Isnin, April 16, 2012

PTPTN vs JPA : Senyum siapa lebar?

Ketika memohon pinjaman pelajaran dahulu, tawaran PTPTN dan JPA datang serentak. Saya telefon kampung bertanya kepada emak bagi mendapatkan pandangan abah (benda besar macam ni kena tanya abah). Abah nasihatkan saya ambil JPA. Kalau ikut nafsu, pasti saya ambil PTPTN. Jumlah pinjamannya besar dan duit belanja selepas tolak yuran memang lumayan.

Saya menurut kata abah. Borang yang diterima ketika minggu taaruf saya bawa balik untuk abah tandatangan dan dapatkan cop JKKK. Abah berat hati bawa borang berjumpa orang JKKK kerana orang JKKK tu orang kerajaan yang abah tak berapa suka (kesian abah saya). Arwah pakcik saya pula jadi penjamin.

Saya dan beberapa rakan yang mengambil JPA-bukan-PTPTN itupun mengusung borang ke bangunan KWSG di ceruk Kuala Lumpur untuk dimatikan setem. Entah apa benda mati setem tu pun kami tak tahu. Setem pun nak kena mati? Ah, pelik. Puas juga kami bertanya jalan dan naik bas turun bas dari Gombak yang ceruk (masa tu kampus baru siap) menuju ke KL yang masih asing buat kami. Selesai juga proses mati setem yang rupanya cuma bli setem hasil dan cop. Tapi saya lihat kawan-kawan yang ambil PTPTN relaks sahaja. Saya pun tak banyak soal., malas nak amil tahu. Borang PTPTN yang saya dapat itu pun saya simpan elok-elok dalam sampul surat coklat. Borang JPA kemudian kami hantar ke STAD - Student Affairs Department.

Ketika itu, sudah pun kecoh tentang caj 4% yang dikenakan terhadap pinjaman PTPTN. Kami pemegang pinjaman JPA ini - sekali lagi - malas nak ambil tahu. Yang penting, kami tak kena caj tambahan. Bayar apa yang kami pinjam sahaja. Setiap semester, kawan-kawan PTPTN tersenyum lebar dapat belanja lebih banyak dari kami. Kami di gelar orang miskin. Ah, macam-macamlah mereka beli. Tapi setakat beli baju, kasut dan sedikit buku. Dahulu belum ada henfon atau laptop. Komputer pun masuk tahun dua baru saya beli. Itu pun guna duit KWSP emak. Ketika itu kerajaan bagi keluarkan KWSP untuk beli komputer. Ketika itu juga saya lihat proses pengeluaran wang yang tidak telus menyebabkan komputer entah ke mana, duit pun lesap. Ketika itu juga saya sedar betapa mudahnya menipu kerajaan. (Atau kerajaan ditipu. Haha)

Kembali ke cerita asal

Tapi banyak mana dapat duit, hujung semester tetap juga makan maggie atau mula telefon kampung minta ihsan. Selepas belajar, surat bayar balik pun sampai. Surat pemberitahuan sampai dahulu, kemudian disertakan arahan bayar balik. Dua tahun pertama, pendapatan belum stabil dan saya diamkan sahaja dulu. Tapi nilai hutang tetap bermain dalam kepala. Kawan se-JPA yang sama miskin dahulu memberitahu pinjaman JPA boleh dapat diskaun, dengan syarat hantar transkrip peperiksaan ke Jabatan Perkhidmatan Awam di Putrajaya yang ketika itu masih hutan tebal. Kebetulan juga kawan saya itu kerja sebagai pegawai kontrak di JPA. Dengan bantuannya, saya buat salinan transkrip dan tandatangan surat yang sudah siap ditaipnya. Dia sendiri menghantarkan ke JPA bersama permohonan beberapa rakan yang lain.

Hasilnya? Kami dapat diskaun 75%. Alhamdulillah. Tersenyum lebar saya melihat surat diskaun melayang ke peti surat. Sebagai seorang yang rimas dengan hutang, saya berazam mahu selesaikan dengan cepat. Menerusi kemudahan standing instruction, setiap bulan saya cuma bayar tak sampai pun RM 200 selama tiga tahun. 

Pinjaman tersebut telah pun selesai saya bayar hampir tiga tahun yang lalu. Ketika masyarakat kalut dengan PTPTN, saya terkenang kembali nasihat abah dahulu. "Dapat pinjaman sedikit tak apa asalkan tak bayar banyak dengan bunga. Kalau tak cukup nanti abah boleh tambah". Memang tak cukup setiap semester, tetapi saya tak minta banyak pun dari abah. Tanggunggannya banyak ketika itu, dan saya ikat perut saban waktu. Sangat takut nak minta duit dari kampung. Apatah lagi setiap semester duit pinjaman yang masuk saya beri pada keluarga. Saya lapar tak apa, asalkan bukan mereka.

Kembali ke cerita asal

Tetapi sekarang, saya rasa senyuman saya paling lebar. Saya sudah tiada apa hutang pada kerajaan. Dan saya boleh bawa pasport ke mana-mana sempadan dengan senyuman yang lebar juga. Saya kasihan juga ada kawan-kawan yang kaya dahulu tapi bak kata orang tua-tua, berakit-rakit dahulu, berenang-renang ketepian.

Borang PTPTN yang saya letak dalam sampul surat coklat dahulu masih ada saya simpanan saya sehingga kini. Sesekali mengemas, saya baca dan senyum. Tetapi itu adalah senyum tanda lega kerana tidak perlu dibebankan dengan hutang yang besar.

Nasihat saya kepada peminjam PTPTN: kalau dahulu anda tandatangan borang tu, membuat bayaran balik sudah menjadi tanggungjawab anda. Hutang tetap hutang.

1 ulasan:

ASaL berkata...

Apa pun yang kita guna untuk meneruskan pendidikan, harapnya setiap orang sedar nilai ilmu.

Ilmu itu tidak boleh ditukar pun dengan wang ringgit (lagi pula wang ringgit susut nilai setiap tahun).

Kalau orang betul-betul cari ilmu, tanpa duit pun InsyaAllah Allah mudahkan dapat.