Jumaat, April 27, 2012

Sampah


Kak Miah ini cerdik meskipun belajar tak tinggi. Di pejabat, Kak Miah cuma kerani biasa. Kalau di jabatan kerajaan, jawatannya di panggil Kerani Am atau Pembantu Am Rendah. Dia masih melakukan kerja manual. Menaip menggunakan mesin taip surat, buka surat, baca surat, asingkan surat, agihkan surat, memfotostat, menghantar faks, binding, dan kerja-kerja runcit yang lain. 

Kalau diikutkan, fungsi kak Miah hampir tidak  wujud lagi di pejabat ini atau di mana-mana pejabat kapitalis yang lain. Semua kakitangan sepatutnya sudah boleh tahu cara nak guna mesin fotostat, mesin faks dan boleh binding sendiri kertas kerja atau dokumen tender. Tapi bos kasihankan Kak Miah, tak sanggup nak berhentikan wanita yang sudah melepasi angka 40 ini. Bos beri kerja tambahan pada Kak Miah iaitu  membersihkan pejabat. Jadi nampaklah fungsi besar Kak Miah di pejabat kami.
 
Maka setiap pagi kelihatan Kak Miah mengusung plastik hitam mengangkut sampah dari bakul sampah kami yang letaknya di bawah meja. Mana-mana kertas yang kami buang dan belum sempat di shred, kak Miah akan asingkan dan jolok ke mesin shredder. Kemudian Kak Miah kumpulkan sisa kisaran dan jual. Satu plastik penuh kata kak Miah cuma dapat sebungkus nasi lemak sahaja. Saya tidak pasti nasi lemak ayam atau nasi lemak biasa sebab tak pernah pun saya nampak Kak Miah bawa nasi lemak ke pejabat meskipun setiap hari Kak Miah bawa bekal ke pejabat. Proses penjimatan katanya.

Kecerdikan Kak Miah terhasil dari tabiatnya yang suka ambil tahu. Lagipun dia rajin baca suratkhabar selepas membersihkan pejabat sementara menanti tugas memfotostat atau menaip. Tonton Astro pun bukan calang-calang siaran. National Geographic, Discovery Channel, History Channel, Animal Planet. Di rumah, sambil-sambil buat kerja dapur - kata kak Miah - dia pasang telinga. Anak-anak dia tak galakkan tonton siaran kartun. Otak tak berkembang, katanya lagi. Kiranya kak Miah multi-tasking. Orang perempuan kan dikurnia kelebihan melakukan dua tiga perkara dalam satu masa. Contohnya, boleh mendengar sambil bercakap. Sebab itu bila perempuan sama perempuan bertemu, masing-masing nak bercakap. Entah siapa pula yang dengar.  Tapi bila lelaki sama lelaki bertemu, seorang cakap, seorang dengar. Ada aturan, kena ikut giliran.

Saya sengih sahaja dengar bebelan Kak Miah.

Saya masih ingat suatu hari kak Mah bercerita tentang Mas Selamat Kastari, pemimpn JI yang terlepas dari tahanan di penjara Singapura.

“Kita tahukan Mas Selamat berjaya meloloskan diri ketika dia ke tandas.”

“Ya,” jawab saya acuh tak acuh sambil mengasingkan surat ke dalam fail. Kak Miah sedang berjalan dari satu meja ke satu meja mengosongkan bakul sampah kami.

“Selepas itu, Mas Selamat menyembunyikan dirinya di rumah saudara maranya yang simpati. Dia kemudian memakai baju kurung lengkap dengan tudung untuk keluar dari rumah. Dia berjaya menyeberang ke Johor.”

“Menerusi tambak Johor? Mustahil. Bukankah ketika itu polis Singapura sedang kelam kabut membuat operasi mencari dan menangkap dia?” balas saya.

Kak Miah ketawa. Saya pelik. “Sampah.” Kata Kak Miah sepatah. Dia ketawa lagi. Saya pandang Kak Miah sambil mengerutkan dahi.

“Eh, kamu ingat Singapura tu bersih sangatkah? Ini, sampah ini, botol-botol mineral ini.” Kak Miah menunjukkan sampah yang dikumpulkan dalam plastik hitam.

“Maksudnya?” Saya kehairanan.

“Mas Selamat kumpul botol mineral yang bersepah di pesisir pantai, dimasukkan ke dalam plastik. Dia tunggu malam tiba. Kemudian botol-botol ini menjadi pelampung untuk Mas Selamat menyeberangi Selat Tebrau. Dia selamat dan tinggal di Kluang sehinggalah ditangkap.”

Saya terdiam mendengar kata-kata Kak Miah. Sampah rupanya memberi nyawa kepada sesetengah pihak. Bukankah ada insan yang hidup dengan menguis timbunan sampah, mencari botol, tin kosong, besi, bateri buruk dan seribu satu macam benda yang laku untuk di jual.

“Sebab itu kita kena jaga kebersihan. Bersih, kena bersih,” kata Kak Miah lagi meninggalkan saya termangu-mangu di meja.


2 ulasan:

Puan Hazel berkata...

i like!

dRjoe berkata...

perkataan bersih tu... mcm menunggu bersih 3.0 ... dan saya sedang menunggu cerita tuan punya blog tentang bersih 3.0 tuhh...