Khamis, Mei 31, 2012

Satu lagi huruf f : FGVH

Saya membaca prospektus penyenaraian FGVH di akhbar hari ini. Tetapi setakat separuh muka surat pertama, kemudian saya lipat akhbar tersebut dan bawa balik. Sehingga sekarang, saya belum rasa nak baca sehingga ke akhirnya. Terasa pedih, kecewa dan benci.

Sewaktu sekolah, saya suka membelek prospektus di dada akhbar, cuba membacanya dan memahami apa yang tertulis. Kemudian ambil matapelajaran Ekonomi dan Perdagangan untuk SPM. Sambung belajar Ekonomi pula di alma mater sehingga pernah berangan nak jadi remiser. Namun kegawatan ekonomi 1997-98 membawa khabar dari seorang kawan yang bapa kepada kawannya - seorang remiser - hampir bankrap dan terpaksa menjual kereta satu demi satu. Kereta banyak, tak mengapa. Hasrat nak jadi remiser terus berkubur. Apatah lagi selepas belajar ekonomi Islam sepenuhnya, maka faham-fahamlah sendiriakan hukum hakamnya.

Saya anak peneroka. Saya menentang penyenaraian FGVH di Bursa Saham. Ini bukan soal tanah, bukan soal maruah, bukan soal Felda. Ini adalah persoalan sang kapitalis yang mahu mengaut untung dengan menjual lot-lot saham dan kemudian bergumbira diatas kenaikan sepuluh sen bagi seribu lot atau sepuluh ribu lot. Anda kaya, tak apa. Saya tak kisah. Tapi kaya atas kesusahan orang lain - peneroka - amat memedihkan hati saya. Tahukah kalian wahai kapitalis, sepuluh sen kenaikan harga getah di pasaran getah dengan sepuluh sen keuntungan anda sangat berbeza. Sepuluh sen anda untuk menambah kemewahan. Sepuluh sen kami untuk mengalas perut daripada lapar. Apabila tiba musim hujan, musim panas, daun gugur, apalah sangat dengan sepuluh sen itu?

Banyak sudah FGVH diperkatakan. Jika mahu tahu yang benar, tanyalah pada para peneroka yang faham isu. Kalau ditanya Pengerusi Felda yang baharu, dia tidak akan tahu apa kecuali berusaha memenuhi hasrat Perdana Menterinya untuk membawa FGVH ke Bursa Saham. Gagal ke disenaraikan bermakna kiamat bagi Isa Samad dan Maslan Ahmad. Tidak hairanlah mereka bermati-matian berusaha dengan penuh penipuan dan paksaan meminta peneroka yang rata-rata berusia lebih 50 tahun menandatangani borang berbahasa Inggeris tanpa diterangkan isi kandungannya. Tahukah anda wahai kapitalis, mereka ini kebanyakannya sekolah pun tak habis, abjad pun tak kenal apatah lagi di suruh membaca. Tahukah anda wahai kapitalis?

Bos saya beria-ia mahu membeli saham FGVH tapi tak sedar yang duitnya tak cukup. Saya berterus terang kepadanya yang saya mementang FGVH ke bursa saham. Rupanya dia insan yang tak mengerti isu penentangan meskipun hari-hari baca akhbar. Oh ya, dia membaca Utusan Malaysia yang saya dah haramkan dari pejabat tetapi dia memvetokan pula keputusan saya itu.  Well, you're bos. Tapi yang seronoknya, saya membelasah bos tanpa perasaan kasihan dalam bilik mesyuarat. Itulah pertama kali saya merasa puas hati menjadi seorang anak peneroka. Dia tak jadi beli sebab tak cukup fund.

Saya tidak ada sebarang isu terhadap Felda atau FGVH. Jika benar mahu disenaraikan, buatlah dengan cara yang betul dan berhemah. Banyak isu politik yang timbul yang boleh dihidu. Misalnya kenapa perlu disenaraikan dalam bulan Jun? Mengapa tidak Julai? atau September selepas hari raya? Apa? Pilihanraya? Hahahaaa.

Ini semua pasal duit. M Nasir dah cakap lama pasal duit:

Zaman ini zaman duit
Tak ada duit diri tersepit
Tapi jangan jadi hamba duit
Nanti musnah diri sendiri


Proses kemusnahan pun bermula. Dan satu lagi huruf F selepas ini ialah : Fiat money!


Ahad, Mei 27, 2012

Buku: Perempuan Nan Bercinta

puas membaca Perempuan Nan Bercinta.membaca buku ini tidak seperti membaca novel lain. tak boleh baca sambil baring kerana novelnya tebal. sekali jatuh atas muka, boleh tahan juga lebamnya.

bukan, bukan kerana tebal. kerana isi dalamnya menyebakan saya perlu banyak menanda, membuat catatan tepi, menuliskan perkara yang terlintas dan meneliti setiap kata satu persatu.


-akan bersambung-

Rabu, Mei 23, 2012

Karya Seorang Muslim Refusenik


 Allah. Liberty & Love dalam English

Carian popular di Google sekarang ialah sama ada Irshad Manji atau Allah, Liberty and Love. Saya pun menjadi salah seorang yang mencari. Untuk bukunya, sudah ada salinan dalam PDF yang boleh di muatturun. Salinan tersebut terjemahan dalam bahasa Indonesia, cetakan pertama Mei 2012. Mudah sekali membuat kontroversi dan mendapat kerugian dari cetak rompak yang semakin mudah menerusi internet. Apakah Irshad Manji akan kaya hasil jualan buku atau miskin oleh cetak rompak, sama-sama kita saksikan hahahaa. Dan untuk saya, mahu menaikkan rating blog ini pun senang - letakkan sahaja nama Irshad Manji sebagai judul entri ini, makan rating akan mencanak naik. Tapi nak buat apa susah membuat carian sekarang, encik wiki dah bersedia memberikan jawapan. Percaya atau tidak sahaja.

Allah. Liberty & Love yang diterjemahkan
 
Sementara itu, biarlah saya baca dahulu Allah, Liberty and Love. Saya tidak akan letakkan pautan di sini kerana saya pun tak ingat dari mana saya dapat pautannya. Banyak sangat link. Jadi anda perlu google sahaja. Pautannya telah tersebar di serata maya.

Sebagai permulaan, Irshad Manji sudah mengatakan beliau adalah seorang Muslim Refusenik. Jadi, pastikan Google bersama-sama kita bila membaca.

Ahad, Mei 20, 2012

Cerita untuk saya

Banyak tugas yang perlu kita lakukan dan perlu kita siapkan. Malangnya kita tidak ambil peduli. Kita buat tak tahu. Kita tahu, ada orang lain yang akan lakukan segala tugasan itu dan kita boleh berlepas tangan dan menghela nafas panjang. Pada kita, tanggungjawab sudah selesai dan kita pun boleh tidur lena pada malamnya.

Tetapi kita selalu lupa tugas yang perlu kita siapkan itu melibatkan saya. Sayalah yang perlu menggerakkan segala tugas dan tanggungjawab itu. Apakah saya percaya yang kita sudah siapkan kerja itu bagi pihak saya? Apakah yang terjadi sekiranya tanggapan saya terhadap kita itu salah? Kita tidak buat kerana kita beranggapan saya siapkan segalanya. Masing-masing berusaha membuat tanggapan. Kita anggap saya buat. Saya rasa kita buat. Hasilnya kosong.

Masih ingat lagi kisah empat sahabat - Everybody, Somebody, Anybody, and Nobody? Ok, mari recap: There was an important job to be done and Everybody was asked to do it. Everybody was sure Somebody would do it. Anybody could have done it, but Nobody did it. Somebody got angry about that because it was Everybody's job. Everybody thought Anybody could do it, but Nobody realized that Everybody wouldn't do it. It ended up that Everybody blamed Somebody when actually Nobody asked Anybody.

Seorang teman sepejabat suatu ketika menaipkan perkataan ini lalu ditampalkan ke dinding biliknya: Assumption is a mother of all fucker.  Membuat tanggapan adalah satu malapetaka. Bunyi dalam Inggeris sangat kasar, tetapi dia berulangkali mengulangkannya dalam menyuarat. Apabila kita selalu beranggapan ini dan itu, ia tidak langsung menyelesaikan masalah. Tanggapan itu sekadar menyedapkan hati kita. Akhirnya tiada sesiapa pun yang mahu ambil tanggungjawab. Semua pihak lepas tangan. 

Masih tidak faham? Ok, saya teringat kartun dalam komik yang selalu dibeli oleh seorang kawan ketika belajar dahulu. Dalam kartun tersebut, seorang anak mendapati kaki seluar sekolahnya labuh dan ingin memotong sebanyak satu inci. Dia tahu selepas dipotong, seluar itu perlu dijahit. Dia membawa seluar kepada emaknya. "Letak dahulu, selepas siap masak emak akan jahit". Seluar itu di letakkan di atas kerusi. Selang bebberapa ketika dia mendapati seluar itu tidak berusik. Si anak bawa seluar kepada kakaknya. "Letak di atas sofa. Nanti kakak jahit selepas siap kerja sekolah". Tetapi tidak juga berjahit. 

Memandangkan seluar tersebut perlu di pakai pada sesi persekolahan esok, dia mengambil seluar itu dan menghulurkan kepada nenek, kemudian kepada ayah dan kepada adik perempuannya. Malangnya, mereka hanya minta dia meletakkan seluar di sebelah tv, di atas meja dan di atas katil. Oleh kerana mengantuk, dia pun tidur. Setelah siap memasak, emak pun  mengambil seluar dari atas katil dan memotong satu inci lalu menjahit kemas. Emak letak seluar di atas sofa. Selepas kakak menyiapkan kerja sekolah, dia ambil seluar dan memotong satu inci. Apa yang jadi akhirnya? Seluar itu telah di potong sebanyak lima inci! Masing-masing beranggapan seluar itu masih belum dikerat! 

Kepada warga pekerja, assumption sangat bahaya. Ia selalu membawa kerugian, tidak membawa untung dan berlaku kehilangan peluang perniagaan yang banyak. Masing-masing buat tanggapan sendiri. Akhirnya sendiri rugi. 

Sindrom ini samalah dengan usaha dakwah. Apabila mengingatkan tanggungjawab dakwah itu adalah tanggungjawab kita, kita lupa SAYA adalah sebahagian daripada kita. Saya pun lepas tangan dan membiarkan kita yang melakukan usaha tersebut. Apa akan jadi kita kita tak buat? Bukankah SAYA berdosa? Oleh itu kita perlu ingat dan ingat selalu: Tugas dakwah adalah tugas SAYA!

Sekali lagi, assumption is a mother of all fucker!

Sabtu, Mei 19, 2012

Buku: panduan Ringkas Tentang Marx


Tidak sukar membaca buku ini. Tetapi paparan di dalamnya sungguh menenangkan saat kita menegnali susuk sebenar Karl Marx yang dilabel Bapa Komunis.  Dalam banyak-banyak ideologi dunia, namakan apa sahaja - kapitalis, demokrasi, republik, monarki - komunis menjadi satu-satunya ideologi yang sangat mengaitkan pengasasnya dengan perjuangan 'penganutnya'.

Kata Marx di penghujung usianya, “apabila saya melihat gelagat dan kerenah orang yang mengisytiharkan dirinya sebagai Marxist, saya saban kali tertanya-tanya adakah saya ini termasuk dalam golongan yang menggelarkan diri sebgai Marxist”. Perjuangan asal Marx rupanya tidak banyak dinikmati oleh golongan proletariat atau dihayati dengan berkesan oleh kelas pekerja. Niat perjuangan asal sudah tersasar dari kerangka yang dilhamkan Marx dan sahabatnya, Engels.

Mark mengajak golongan proletariat atau golongan kelas pekerja yang tertindas agar bersatu menggerakkann revolusi bagi mengalahkan golongan kapitalis atau kelas borjuis yang telah banyak menindas pekerja bagi mengaut keuntungan sesuka hati. Perjuangannya adalah menentang penindasan puak kapitalis yang telah memperlakukan para pekerja sesuka hati sekaligus merendahkan taraf hidup pekerja ke satu tahap yang buruk dan mengelirukan. Tujuannya bukanlah atas dasar politik atau agenda tersembunyi. Menyaksikan bagaimana kelas pekerja di perlakukan, Marx sedar bahawa golongan proletariat harus sama-sama bangkit dalam menegakkan hak mereka sebagai pekerja.

Menurut Marx, “pembebasan kelas pekerja mestilah dimenangi oleh kelas pekerja sendiri ...Perjuangan membebaskan kelas-kelas pekerja tidaklah bermakna memperjuangkan keistimewaan atau monopoli kelas, tetapi menegakkan hak dan tanggungjawab saksama, dan penghapusan segala kemerintahan kelas.”

Maka tidak hairanlah Marx berulangkali mengatakan, golongan pekerjalah yang mencipta revolusi. Katanya lagi, “idea-idea tidak dapat melaksanakan apa-apa. Bagi melaksanakan idea-idea, manusia perlu menggunakan kuasa yang praktikal.” Oleh itu Marx berusaha menyebarkan idelogi bersama-sama Engels agar golongan pekerja sedar dan bangkit dari penindasan golongan kapitalis yang memerah tenaga mereka.

Namun, di sebalik semua gerakan-gerakan yang di lakukan di seluruh dunia, nampaknya puak kapitalis masih lagi memerah golongan pekerja untuk kepentingan mereka sendiri. Apakah Marx tidak berjaya dalam perjuangannya? Hanya golongan pekerja sahalah yang boleh menjawab persoalan itu!

Jumaat, Mei 18, 2012

Huruf f

Sebenarnya, ada banyak perkara yang ingin saya ceritakan dalam masterpiece tapi sampai sekarang tidak tertulis. Saya setuju jika di katakan itu adalah satu escapism dan sindrom penafian (haha!), tapi cabaran utama dewasa ini bila mengetuk pintu maya ialah sepatah kata yang bermula dengan huruf f berwarna biru. Ya, facebook.

Saya dengan penuh paksaan melarang diri dari duduk di hadapan laptop semata-mata untuk melayan facebook. Anda tidak perasan telah memperuntukkan sekian waktu men-scroll down status kenalan hingga ke bawah sehinggalah anda sedar satu atau dua atau tiga jam telah anda habiskan dengan membaca perkara yang memberi senyum atau amarah dengan tiba-tiba. Kemudian anda merasa menyesal lalu terus menutup laptop dan masuk tidur. Sambil melayan mata, anda berjanji untuk tidak membuka fb malam esoknya supaya tidak menyesal kerana telah mensia-siakan masa anda yang cukup berharga hanya membaca status yang tidak semuanya betul dan tidak semuanya berfaedah.

Tetapi berusaha dengan janji, tidak semua mampu mendisiplinkan diri dengan tidak masuk ke fb setiap hari. Pasti kita meluangkan waktu membacanya, walaupun tidak meletakkan apa-apa status. Seorang kawan memberitahu, penulis memang sepatutnya tidak perlu ada akaun fb kerana ia mengganggu tumpuan penulisannya. Beberapa teman penulis yang saya kenali perlu menyahaktif akaun beberapa minggu bagi menyiapkan karya. Ada juga penulis yang saya kenali langsung tidak mempunyai akaun fb selepas mengalami mimpi ngeri dengan freindster suatu ketika dahulu. Mujurlah, saya bermula dengan blog dan kemudian ke fb. Zaman friendster berlangsung ketika internet sesuatu yang asing untuk kita miliki dirumah (maksudnya ramai yang menggunakan pc pejabat untuk melayari internet, hehe).

Saya tidak boleh menyahaktif akaun fb kerana terdapat beberapa akaun kumpulan dimana saya menjadi pentadbir bersama. Malah, akaun kumpulan ini membantu saya merencahkan pemikiran dan mengaktifkan perjalanan otak merusi perdebatan dan perbincangan secara maya. Kemudian perbincangan itu di teruskan dalam ruang realiti pula.




Bila saya melihat jumlah entri yang saya naikkan di blog ini sebelum berada dalam zaman fb penghujung 2010 (baru aktif, akaun dah lama buka), dan membandingkan tahap produktiviti saya yang merudum sejak kebelakangan ini, maka saya terpaksa mengambil tindakan proaktif dengan mendisiplinkan diri terhadap penggunaan broadband. Terpaksa menghalang diri dari online setiap malam dan selepas setahun, nampaknya usaha itu berhasil. Semakin banyak buku yang berjaya saya baca, juga menerima beberapa undangan kerja-kerja luar seputar penulisan dan penyuntingan. Saya mampu mengemaskini rekod-rekod buku yang ada dalam khutubkhanah peribadi dan mula merencana sesuatu tentang penulisan.

Ada baik dan buruk ber-fb, itu semua orang tahu. Tapislah sendiri. Apatah lagi dengan pelbagai tahap intelektualiti, fb selalu menjadi medan salah sangka. Nampak seperti banyak buruk dari yang baik. Namun saya tahu, fb menyebabkan saya jauh dari menjadi pengkarya yang baik. Perkara ini sudah banyak kali saya nyatakan pada kawan-kawan.

Dan mereka kata saya mengada-ngada."Orang lain pun main FB juga, tapi boleh produktif".


Aduh..duh..duhh







Isnin, Mei 07, 2012

Ulasan Buku : Rothschild: Yahudi Kepercayaan Dajjal




Apa yang ceritakan dalam buku ini sangat menakutkan. Setiap ayat yang tertulis membuatkan mata tidak mampu berkelip. Dada berdebar-debar menanti fakta dibuka satu persatu. Tarikan nafas terasa tersekat-sekat bila ayat demi ayat sekadar membawa ke dimensi yang tidak pernah difikirkan. Masa seolah-olah terhenti bila mengetahui hidup kita ini rupanya telah dirancang. Sejarah rupanya satu dogengan. Segala-galanya adalah konspirasi! Jadi siapa kita sebenarnya?

Saya tidak tahu apa yang menarik perhatian saya ketika membeli buku ini sedangkan saya bukanlah seorang yang gemar membaca kisah dajjal. Dewasa ini banyak sekali buku berkaitan dajjal, illuminati, freemason, Yahudi, Yakjuj dan Makjuj, Iskandar Zulkarnain hatta tentang kiamat diterbitkan dan menjadi satu judul yang popular untuk di cetak dan di tulis. Tidak. Tidak ada satu pun buku bernuansa demikian saya beli. Malah membuat carian di internet pun saya tidak berminat. Saya menghadkan bacaan tentang tema berkenaan. Tetapi ia tidak menjadikan saya tidak tahu apa-apa tentangnya. Ia masih antara perkara yang berada di lingkungan bawah sedar.

Rothschild: Yahudi Kepercayaan Dajjal memberikan kepuasan maksima dalam menjenguk teori konspirasi yang sering di gembar gemburkan sebagai agenda Yahudi dan Amerika Syarikat. Bacalah, saya pasti tidak sepatah perkataan pun akan terlepas dari pandangan mata. Dengan hanya merujuk kepada salasilah keturunan Rothschild (disebut sebagai red shield, bahasa Jerman) - seorang lelaki biasa dari Jerman - telah menyebabkan satu demi satu pintu konspirasi di buka.

Katalah apa sahaja sejarah dan peristiwa di dunia ini, semuanya berakar dari Rosthchild dan konco-konconya. Merekalah tangan yang mengarahkan para pelakon di pentas dunia memainkan skrip dengan bijak dan penuh tipu helah. Perang Napoleon, Perang Dunia Pertama, keruntuhan khalifah Uthmaniyyah, pensekularisasi Mesir, penjajahan dunia, holocaust, Revolusi China, pemodenan Jepun, penubuhan Arab Saudi, pembentukan Israel dan Palestin semuanya di jalin menjadi satu cerita yang hebat. Seperti Jim Carrey dalam The Truman Show, semuanya telah siap di atur.

Strategi Rothschild mudah, iaitu memanipulasi wang menerusi sistem perbankan dan ekonomi. Apabila seseorang memerlukan wang, Rothschild datang menawarkan bantuan pada kadar bunga yang tinggi. Langkah ini sahaja sudah cukup untuk Rothschild memegang seseorang itu sehingga ke anak cucu cicitnya, mengakibatnya dia bergantung 100% kepada hutang sehinggalah bankrap dan tergadai semua harta. Inilah yang berlaku kepada khalifah Uthmaniyyah sehingga menjadikan semua negara dibawah naungan khalifah ini di jajah semasa perang dunia pertama dan juga Mesir yang mengalami kebankrapan akibat hutang yang berlipat kali ganda. Kita membicarakan sebuah negara yang muflis, bukannya syarikat. Jadi kesannya ialah kepada penduduk secara keseluruhan, yang seterusnya mengakibatkan negara tersebut berada sepenuhnya dibawah telunjuk Rothschild.

Satu perkara yang saya kagum ialah gaya penulisan Ibnuyaacob yang telus dan ringan, menjadikan bacaan lancar dan jelas. Semua fakta diceritakan dengan cermat tanpa mendatangkan keraguan terhadap kredibiliti penulis. Daripada gaya penulisannya, saya menganggarkan beliau seorang penulis yang berpengalaman.

Sebaik sahaja habis membaca, saya pasti anda sendiri pasti tertanya – jika semuanya di bawah rancangan Rothschild, maka apakah yang benar di dunia ini? Nampaknya kita perlu meragui semua orang di sekeliling kita; hatta ibu bapa, adik beradik, guru, saudara mara, kawan, kenalan FB, pengikut twitter, bos, rakan sekerja atau siapa sahaja.

Dan rupanya keraguan terhadap sekeliling itu juga merupakan ketakutan terhadap teori konspirasi yang di suntik dalam minda kita. Ah, ini semua konspirasi!

Ahad, Mei 06, 2012

Ulasan Buku: Kembara Sastera - menjejak buku dan sastera Eropah

Mengikuti perjalanan dan catatan kembara penulis Nisah Haron di blog dan kemudian menanti kemunculan kumpulan tulisannya itu dalam bentuk buku merupakan satu debaran yang menimbulkan pelbagai persepsi. Pertama, apakah buku yang dihasilkan itu setanding Warkah Eropah karya SN A Samad Said yang menjadi satu-satunya catatan perjalanan penulis yang dihasilkan dalam bentuk istimewa dan berwarna. Kedua, apakah ia sekadar memenuhi tuntuan pasaran dan populariti kebanjiran buku bercorak travelog dewasa ini.

Sebaik sahaja Kembara Sastera Nisah Haron: United Kingdom dan Dublin siap memenuhi rak buku sempena  Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2012, perasaan kagum dan teruja muncul silih berganti melihatkan buku ini wujud dalam bentuk yang sangat bermaruah. Susun atur dan reka letaknya begitu kemas malah dalam bentuk berwarna sekaligus pengorbanan penulisnya meninggalkan keluarga melakukan kembara solo ke benua Eropah menjadi satu pengalaman yang mahal nilainya.

Selaku penulis, usahawan buku dan juga penggemar buku, perjalanan Nisah ke Eropah bukan sahaja memenuhi tuntutan 'jauh perjalanan luas pengalaman', tetapi menjadi ruang untuknya menjejaki setiap inci dunia sastera dan perbukuan di negara Eropah yang begitu menjaga setiap aspek seni dan kesusasteraan dengan istimewa dan terhormat.

Catatan beliau di tulis dalam gaya penceritaan yang ringan dan mudah menjadikan pembaca seperti berada di samping Nisah, sama ada ketika mencicip secawan kopi di The Silk Road Cafe, menaiki bas ke Hay-on-Wye yang menjadi lokasi Hay Festival, sesat mencari Ambleside Backpackers, menikmati wajah kota kosmopolitan London atau berjalan kaki di sepanjang Sungai Liffey. Menikmati gambar yang di rakam seperti membawa pembaca berada di hadapan Dublin Writters Museum atau bergambar di sisi rumah kelahiran Shakespeare, duduk minum di The Silk Road Cafe atau menaiki Stansted Express menuju ke London.

Nisah memperincikan setiap perjalanannya, malah tidak lokek memberitahu hostel atau hotel yang menjadi tempat bermalam, lokasi patut tuju khususnya bagi penggila buku malah memperincikan perasaanya terhadap tempat yang di lawati. Melihat kesungguhan beliau meninggalkan suami dan lima orang anak bagi menjejaki setiap inci dunia sastera dan perbukuan Eropah, maka tidak hairanlah perjalanan beliau ini rekodkan sebegitu indah dan berkesan.

Buku Kembara Sastera ini saya pasti akan menjadi kitab rujukan utama bagi perjalanan ke Eropah khususnya kepada pecinta buku dan penggiat sastera negara. Maka tidak salah untuk saya katakan penerbitan buku ini dalam bentuk bermaruah seperti mengembalikan darjat penulis ke tempat sepatutnya. Tahniah untuk ITBM dan Puan Nisah Haron!


 
Ulasan ini di buat khusus bagi menyertai Peraduan Ulas Buku ITBM di Blog / Facebook sempena Pesta Buku Anratabangsa Kuala Lumpur 2012

Khamis, Mei 03, 2012

3.0

Ketika Bersih 3.0, saya tiba di  Pasar Seni sewaktu gas pemedih mata sudah dilepaskan di sekitar Masjid Jamek. Awalnya saya berbelah bahagi mahu hadir ketika itu tetapi atas desakan seorag kawan yang beria-ia mengajak, saya turutkan. Ternyata dia merasa seronok untuk pergi atas alasan mahu merasai suasa dan kemeriahan perhimpunan tersebut, mengatasi segala sikap menentang, benci dan menyampah terhadap politik atau kesedaran terhadap lapan tuntutan yang menjadi tunjang perhimpunan ini.

Saya membawanya ke barisan depan dan saya melihat adengan yang seperti diulang tayang beberapa kali. Mereka menjerit-jerit dan polis menembak gas. Kemudian mereka dari lari asap yang memutih dan seorang dua yang berani membaling atau menyepak semula gas ke arah polis. Perkara ini berulang lagi dan lagi dan lagi. Saya setelah tiga empat kali lari bersama mereka dan patah balik berdepan dengan polis kemudian terus mengambil langkah mundur ke belakang.

Saya berdiri di tepi Sungai Klang yang airnya keruh dan mengalir perlahan. Saya memerhati para peserta yang berhimpun, berlari  dan kemudian menjerit-jerit  dan patah balik.  Suasna seperti  pesta lari-lari darri gas pemedih mata. Rami yng berlegar-legar sekitar Pasar Seni dan duduk memerhat. Ada yang baru turun dari LRT dan terpinga-pinga mencari destinasi. Ada yang berjalan menuju ke stesen KTM tanp mengetahuit tiada apa-apa disitu kerana kami sudah pun berpatah balik dari bangunan Dayabumi yang dikepung FRU dan dipenuhi polis.

Saya  memerhati kehadiran para peserta yang pelbagai kaum bersembang sesama sendiri  tentang tuntutan Bersih. Ada yang semangat bercerita kepada sekumpulan anak muda yang baru dikenali. Ada yang takut-takut dan duduk berselindung disebalik rakan seolah-olah itu boleh melindungi dirinya dari terkena gas. Sekumpulan anak muda membawa sepanduk Occupy tiba dan berbincang sesuatu.

Saya meneguk air mineral dan mengelap peluh yang tidak berhenti mencurah turun. Matahari sangat terik memancar dan awan kelihatan cantik bercorak diatas sana. Tiga empat buah helikopter terbang rendah tanpa ada tujuan seperti mahu menyiram peserta dari udara. Seorang pakcik kelihatan mengambil gambar helikopter sambil tangan kirinya terawang-awang. Mulutnya entah menyeranah apa, tenggelam dalam deru kipas yang membingitkan. LRT lalu ulang alik sedangkan jam di tangan semakin menganjak petang.

Saya  menelefon kawan yang masih ghairah dihadapan juga menghantar SMS mengajaknya balik segera sebelum perhimpunan berakhir. Jika tidak nanti LRT penuh dan padat penumpang. Tetapi nampaknya dia seronok menghidu gas pemedih mata dan 'bergurau senda' dengan polis. Para peserta kian di tolak ke belakang oleh para polis, FRU dan diikuti oleh water canon yang kelihatan seperti rasaksa yang sedia membaham mangsa.

Saya memalingkan kepala dari melihat mereka sebaliknya merenung air Sungai Klang yang keruh di dasar sungai. Seribu persoalan bermain di kepala. Apakah tuntutan Bersih 3.0 benar-benar difahami dan dihayati oleh para demonstran ataupun sekadar satu alasan untuk menghadirkan diri ke perhimpunan supaya nanti tarikh 28 April menjadi satu catatan peribadi yang penting untuk diceritakan kepada kawan sekerja, adik beradik, jiran tetangga juga cucu cicit bahawa saya pernah menyertai demonstrasi dan menghidu gas yang menyesakkan dada dan memedihkan kulit.

Saya meneguk lagi air mineral sehingga habis dan Sungai Klang tetap mengalir tanpa henti. Telefon berbunyi dan kawan yang kegembiraan mengajak saya pulang. Ternyata perhimpunan telah berakhir dan kegembiraan jelas terpancar di wajahnya. Saya tidak tahu apa yang perlu diceriakan. Kami beratur dalam barisan yang panjang, membeli tiket LRT lalu kembali ke stesen Putra.