Isnin, Jun 11, 2012

Catatan pasca kembara - 1

Pasca kembara, ada-ada sahaja yang terlintas dalam fikiran. Kemudian ia mengalirkan ilham yang menderu-deru turun tanpa sempat ditadah. Ada yang berlari masuk ke longkang dan kembali ke laut. Ada yang hilang diresapi tanah yang bahang dibakar mentari bulan Jun yang sungguh menyala. Mana yang sempat ditangkap, akan tercatat dalam buku nota, status facebook, twitter atau blog. Kadang kala dibiarkan sahaja bersawang menjadi memori bergambar tersimpan dalam kamera kompak, bila direnung dan dilihat dikemudian hari akan membuahkan ilham kembali.

Saya ke Jogjakarta selama empat hari, dari 6 Jun hingga kembali semula pada Sabtu 9 Jun bersama teman penulis, penggila buku dan kaki kopi. Sebaik pesawat berlepas dari LCCT, saya sedar yang saya seperti tidak bersedia mengembara. Dua minggu yang saya lalui sungguh meletihkan. Mengambil pesanan katering selama dua Sabtu berturut-turut (ah, bidang baru!), menyelesaikan suntingan yang baharu saya sedari tarikh matinya tiga hari sebelum (mujurlah cuma suntingan halus), melawat anak saudara yang menjalani pembedahan di HKL, pulang ke kampung menghantar adik dan kembali semula esoknya dan langsung ke tempat kerja, menghadiri kenduri di Kuantan, melayani kedatangan emak dan abah dari kampung, menyiapkan kiraan payroll sebelum bercuti dan tender penting yang menjerat masa, menghadiri kuliah tertutup dan bertemu kawan-kawan yang perlu ditemui. Semua itu memerah tenaga. Terasa sangat letih. Waktu dirumah menjadi terhad lalu saya menyingkatkan waktu tidur - bangun awal dan tidur lewat. Namun ia tidak mengganggu tumpuan untuk bercuti. Beg pakaian siap disusun, wang rupiah berjaya ditukar, kerja berjaya disiapkan, henfon dicaj, voice recorder tersedia dan kamera dengan memori kosong. Saya berjaya memastikan semua dibawa dan tiada yang tertinggal. Apabila pesawat sudah mencecah awan. saya sedar saya memang perlu bercuti!

Kami ke Jogjakarta, Daerah Istimewa di selatan Pulau Jawa menerusi Solo. Pesawat  mendarat di Bandar Udara pada jam 12.30 WIB. Melihatkan bandara yang kecil dan tenang, saya mula merencana apa yang patut saya kejar sepanjang empat hari di tanah Jawa. Ah, rupanya saya kembali ke tanah leluhur saya! Lupa, saya sungguh lupa akan hal itu!




Tiada ulasan: