Khamis, Jun 14, 2012

Dunia Jam 10

Dahulu, sebelum tidur, abah akan menonton Dunia Jam 10. Ia merupakan siaran berita dunia yang disiarkan pada jam 10 malam. Kemudian terbitlah teka-teki nakal anak-anak sekolah - dunia apa yang ada dua orang?

Bilik saya bersebelah ruang tengah yang menempatkan tv. Kami adik beradik sudah bersedia di katil ketika itu untuk beradu. Abah pula belum mahu tidur. Dia akan mengacau segelas air panas, membuka tv dan menonton berita sehingga tamat. Dalam usaha memejamkan mata, saya mendengar suara Farid Ismeth Emir dan gandingan utamanya Harjit Singh Hullon membacakan berita-berita dunia. Dari situ saya dapat tahu negara mana sedang berperang, apa itu EAEC dan APEC, negara mana menganggotai G8 dan Komanwel, isu Palestin dan Perang Teluk, perjanjian Maastrich dan penubuhan Kesatuan Eropah, pengapusan etnik di Bosnia sehinggalah perang puak pemisah di Chechnya. Saya dapat mendengar meskipun suara tv sudah di rendahkan. Dari situ dapatlah saya tahu isu-isu yang berlegar di seluruh dunia.

Kemudian Dunia Jam 10 dianjak ke pukul 10.30 dan seterusnya jam 11. Setelah itu saya melanjutkan pelajaran dan tidak lagi menghiraukan Dunia Jam 10 atau apa-apa isu dunia menerusi kaca tv, kecuali membaca menerusi akhbar. Lama kelamaan saya langsung tak ambil tahu isu dunia.

Kemudian, Pengetua di sekolah saya yang suka masuk ke dalam kelas yang tidak mempunyai cikgu (tak dapat peluang nak main-main) gemar memberi nasihat dan memotivasi kami. Saya masih ingat lagi, ketika itu dalam tingkatan dua. Dia seperti bergurau mengatakan bahawa perempuan tidak ambil tahu hal-hal dunia, sebaliknya orang lelakilah yang sangat celik isu semasa dan isu dunia.

Panas sekejap saya mendengarnya.

"Kalau tak percaya," kata Pengetua, "cuba kita tanya pelajar perempuan." Dia mengarahkan kami - pelajar perempuan - berdiri.

"Apakah bezanya Chechnya dan Chechen?" soal Pengetua sambil senyum simpul. Pada fikirannya, soalan ini sangat susah sehingga boleh memecahkan urat kepala. Saya pun senyum simpul. Soalan kacang, bisik hati saya. Berkat memasang telinga mendengar Dunia Jam 10, saya pun menjadi batu api berbisik-bisik kepada kawan-kawan.

"Chechen itu bangsa, Chechnya itu negara," beritahu saya kepada semua. Semua pelajar perempuan memegang jawapan saya dan bersiap sedia menjawab. Tetapi Pengetua yang mendengar bisik-bisik kami itu tidak pula memberi peluang kami menjawab, sebaliknya menyuruh kami duduk. Agaknya dia tidak mahu dimalukan kerana sudah silap membuat telahan terhadap orang perempuan. Saya pun senyum simpul memandang Pengetua yang tidak pun memandang saya.

Kemudian di alma mater, ketika belajar subjek History of Islamic Economic Thought, pensyarah yang sangat saya kasihi akan ilmunya, Dr Muhammad Arif Zakaullah - pensyarah hebat dari Pakistan - bercerita tentang beberapa negara Islam. Sampai waktunya dia bertanya siapakah Perdana Menteri Syria. Tiada siapa menjawab. Saya pun dalam keadaan malas-malas menjawab, "Hafez al-Asad."

Atas jawapan itu, saya diminta ke biliknya selepas kelas pada sekian waktu. Terfikir pula, apalah salahnya dengan jawapan saya itu? Dia memuji saya menjawab dengan betul tetapi mengapa pula dipanggil ke biliknya?

Dalam perasaan separa menggigil dan berdebar-debar, saya menapak ke kamarnya. Selepas mengetuk pintu, saya diberi izin masuk dan duduk. Dia sedang menulis dan meminta sedikit waktu untuk menghabiskan tulisannya. Saya memandang kaca mata tebalnya, buku yang tersusun di almari, kertas kerja yang menumpuk di meja dan kerja-kerja yang masih terbengkalai disisinya. Selepas meletakkan pena, dia memandang saya. Saya sudah kecut perut ketika itu.

"Well, sister, please tell me about yourself." Mendengarkan soalan itu, terasa ketengangan mereda. Saya pun bercerita siapa saya - seorang anak luar bandar yang manhu membaiki taraf hidup keluarga yang susah dan tidak berilmu. Kami pun berbual-bual. Dia memuji saya kerana celik hal dunia. Airmatanya mengalir kerana terharu. Saya jadi hairan, hal dunia ini kecil sahaja. Setakat nama Perdana Menteri atau Presiden, tak kan ramai yang tahu?

Di luar pengetahuan saya, memang ramai teman-teman yang tidak ambil pusing seputar isu dunia apatah lagi isu tanah air. Maka pengetahuan saya pada pandangannya di anggap hebat. Saya menghargai pujiannya tetapi masih tetap hairan kerana ilmu dunia saya tidaklah sehebat mana. Itu pun sudah dikatanya bagus.

Sebaik sahaja menamatkan pengajian, saya terserempak dengan Dr Muhammad Arif di kuliah. Saya berteduh kerana hujan dan dia sudi menumpangkan saya ke asrama (menjadi penumpang haram sekejap). Dalam perjalanan itu - dia di hadapan dan saya di belakang - dia mengucapkan kata-kata yang saya ingat sampai sekarang, yang menjadi azimat dan tangkal kepada usaha saya.

"Sister, please write something. You can write in Bahasa (Melayu) and send it to local newspaper."

Kami pun berpisah. Sepanjang perjalanan ke bilik asrama, kata-kata itu terngiang-ngiang di telinga.

Dan malam ini, kata-kata itu kembali kedengaran di telinga saya. Buat sekian kalinya.



1 ulasan:

ASaL berkata...

Meremang baca.

Guru seperti ini, bayangan dan kata-kata mereka seperti hantu. Bergentayangan menuntut kita berbuat sesuatu.

Semalam saya bertemu guru murabbi saya, Prof. Sr. Ir. Sr. Hj beliau berdoa nanti saya jadi guru yang memberi inspirasi.

Saya mahu bertanya bagaimana. Tapi akhirnya saya sendirilah yang perlu mencari jawapannya.

Sehingga kata-kata mereka belum makbul ditunaikan kita, mereka tetap ada di mana-mana, bergentayangan menuntut kita membuktikan!