Rabu, Oktober 31, 2012

Cerita tiga sahabat

Hujan turun ketika saya menghadiri taklimat dalam satu lawatan tapak petang tadi. Hujan kelihatan membasahi bumi yang kelihatan lebat dilihat dari cermin tingkap. Putrajaya kelihatan samar-samar dari aras satu.

Sebentar tadi, sebelum masuk ke bilik taklimat, cuaca sangat membahang dan membakar. Sejak AidulAdha, cuaca sangat panas dan terik, tidak seperti sebelumnya. Pertukaran cuaca yang tiba-tiba ini mendatangkan kerisauan serta merta juga kepada saya - kepala saya akhir-akhir ini sangat sensitif terhadap cuaca.

Akibatnya, sebaik habis taklimat dan membeli dokumen tender, sakit kepala perlahan-lahan menyentap. Agak dahsyat juga sakitnya. Saya terus memandu pulang sebelum Putrajaya dilanda kesesakan dan selamat tiba pada jam lima, dengan terpaksa membatalkan satu temujanji selepas itu. Terpaksa. Saya terus mencari tilam dan tidur untuk menenangkan gempa dalam kepala. Selepas dua jam, gempa itu lega tanpa sebarang ubat, yang memang saya tak suka ambil.

Malam ini menerusi tiga medium berbeza, saya mendengar cerita dan berita tentang manusia. Semuanya seputar keinsafan akan sikap dan sifat manusia. Manusia angkuh, manusia ego, manusia lupa, manusia alpa.


Seorang daripadanya bercerita tentang kenalan lamanya yang ditemui seminggu yang lalu yang enggan menaiki kenderaan awam. "Kita dah ada diatas, takkan nak turun ke bawah," katanya. Sahabat saya itu diam. Dua hari yang lalu, kenalan lamanya itu kehilangan kereta. 

Seorang lagi bercerita tentang kesombongan seseorang yang juga saya kenali, yang kemudian telah di unfriend dari FB tanpa sebab. Dia bercerita akan puncanya, yang bermula hanya dari status di FB, status ringan yang di salin-tampal oleh si teman sombong itu. Kata saya kepadanya, "kalau nak diikutkan perasaan, memang saya benci dia sangat-sangat." Tetapi siapalah saya untuk menghukum manusia. Walau buruk mana perangai, dia tetap makhluk Tuhan yang perlu dihormati, apatah lagi dia lebih berusia. Maka saya lebih gemar pendam dan diam. Sahabat saya yang kedua ini diam, tetapi saya tahu geramnya tetap ada.


Mereka menyampaikan cerita, tetapi saya melihat kepada diri sendiri. Seperti bola yang disepak ke dinding; terkesan di dinding, dan bola kembali kepada kita. Dua-dua memberi bekas. Daripada sahabat pertama, saya mengenali dia lebih banyak dalam tempoh tiga bulan ini berbanding dia yang saya kenali ketika di alma mater dahulu. Rupanya dia pun seorang yang sangat reserved sehingga menyebabkan saya tersalah sangka akan tingkah lakunya sebelum ini. Agak panjang juga kami berbalas mesej dan akhirnya saya sedar, dia sahabat istimewa yang tidak ramai yang sedar.

Dan kemudiannya dari sahabat terakhir menasihatkan agar saya mengurangkan (memberhentikan?) membaca buku berat. "Tak baca berat pun," balas saya. "Tapi baca buku puisi sahaja." Kemudian saya sedar, puisi itu kan kategori berat yang minimum kata-kata. Saya sedang fikir apa puncanya sakit kepala ini selain cuaca. Stress? Atau saya perlu terima hakikat bahawa usia yang telah bertambah ini memang mengundang banyak masalah kesihatan.

Akhirnya saya menyimpulkan kepada diri sendiri untuk sama-sama kita memandang ke atas dan ke bawah. Kita hidup di dunia yang dipinjam sebentar. Dunia ini berputar. Kita tidak tahu siapa dan di mana kita esok. 
 
Terima kasih sahabat yang sudi berbagi cerita.
 
Allahumma Salli 'Ala Muhammad

Isnin, Oktober 08, 2012

Pasca kemenangan dan sebuah kelahiran

Kredit gambar kepada Pn Nisah Harun menerusi laman Facebooknya

HSKU 2011 sudah melabuhkan tirainya.

Ketika menerima surat dari Utusan Melayu, saya menyangka mereka tersalah alamat atau tersilap mencetak nama. Tanpa sebarang keputusan rasmi dari Utusan tentang senarai pemenang HSKU 2011, saya masih kurang percaya tersenarai sebagai pemenang, apatah lagi pemenang utama. Sehinggalah mendaftarkan nama di kaunter pemenang pada malam penganugerahan, barulah saya sedar yang ini bukannya mimpi.




Puisi bukanlah bidang baharu kerana saya memang ghairah menconteng baris-baris kata secara rawak. Saya berkenalan dengan puisi terlebih dahulu kerana beranggapan ia sangat mudah. Tulislah sepatah dua kata. Coretlah sebaris dua ayat. Jadikan dia beberapa baris. Lengkapkan ia kepada satu atau dua atau tiga rangkap. Maka lahirlah sebuah puisi.

Awalnya saya fikir ia semudah itu. Kemudian ia terperuk di dalam buku nota. Tiada cita-cita memanjangkannya ke mana-mana. Tiada siapa yang mengajar ia boleh dihantar ke media. Malah tidak tahu pun ia sudah lengkap sebagai sebuah puisi. Maka saya simpan sahajalah. Bertahun-tahun.

Namun begitu, seperti kata Zaen Kasturi dalam bengkel Penulisan & Penerbitan  ITBM-Pena-DBP yang usai petang tadi, ada kalanya bait kata itu menjadi puisi. Ada kalanya menjadi cerpen. Tetapi untuk saya, ia berkembang kepada novel. Apabila sudah diberitahu cara menghantar karya (juga selepas bergaul dengan teman penulis), barulah saya menguatkan hati menghantar hanya yang saya rasakan terbaik. Tetapi puisi yang saya cipta awal-awal dahulu tetap tersimpan dalam kotak. Tak sanggup rasanya nak baca. Orang kata, karya zaman jahiliah :)
Hadiahnya: sehelai sampul surat, sijil, senaskhah buku dan errr scroll (?)

Namun begitu, berada dalam senarai pemenang utama kategori puisi adalah sesuatu diluar jangkaan saya. Meskipun sudah dua kali berada di podium kemenangan (HSKU 2008 & HSKU 2009), suasananya berbeza. Kategori novel dan puisi juga cerpen dalam HSKU sedikit berbeza. Novel disiapkan semata-mata untuk pertandingan. Sebaliknya penghantaran puisi dan cerpen adalah semata-mata untuk menembusi medium Kumpulan Utusan (Mingguan, Harmoni, Karya, Utusan Jawi). Tersiar sudah dikira satu rezeki, kemudiannya akan dipilih pula bagi penghakiman HSKU dan disenaraipendekkan. Kiranya ia menjalani tiga proses saringan yang ketat sebelum dinobatkan sebagai pemenang.

Oleh itu, saya sangat berdebar-debar sehari dua sebelum majlis. Pertama, puisi Tidak Seorang Pun Wartawan Datang Bertanya merupakan puisi pertama yang tembus MM (baca: bukan puisi pertama di media). Oleh itu, ia adalah kejutan. Kedua, puisi pertama ini langsung dipilih juri hakim. Ketiga, ia genre berbeza dari kebiasaan saya iaitu novel dan kemudiannya, cerpen. Lalu ia membawa kepada sebab keempat, iaitu saya yang masih pucuk berbanding nama besar yang saban tahun berada di pentas HSKU. Sudah pastinya, saya 'kan di pandang dengan penuh persoalan.

Tetapi saya cuba tenangkan diri. Berulang kali saya baca puisi ini dan proses kepengarangannya. Saya tunjuk juga kepada rakan terdekat untuk mendapatkan pandangan (kerana keputusan perlu dirahsiakan). Semuanya positif. Lalu saya sedar, tak perlulah fikir yang bukan-bukan. Ambil sahajalah hadiahnya dengan berlapang dada kerana panel hakim sudah pasti membuat pertimbangan yang wajar untuk memilih yang terbaik.

Dan kemudian, malam HSKU 2011 menjadi sejarah. Emak dan adik perempuan saya menyertai majlis (dan dengan selambanya duduk di meja pemenang cerpen yang kosong). Kami bergambar, dan mereka tidak lama sebelum pulang ke Shah Alam, ke rumah adik lelaki saya.

Selepas majlis, semuanya hilang. Kelegaan mula meraja dihati tetapi perlahan-lahan ia bertukar risau dan gelisah. Apa pula selepas ini? Apakah nanti saya akan sejuk dan membeku seperti selepas HSKU 2008 & 2009?
 
Sebelum apa-apa, selepas majlis, sempat pula saya membawa empat rakan penulis meneguk teh tarik di sebuah restoan mamak berdekatan hotel. Post-party kononnya. Kemudian pulang ke hotel dan saya gagal tidur malam itu. Jam dua setengah pagi masih berjaga sebelum terlelap kemudiannya dan sedar kembali jam 4.30. terkebil-kebil di atas katil, saya terus bangun dan memerhatikan Kuala Lumpur bersama KLCC, Menara KL, rumah setinggan, bangunan usang, kereta yang seperti semut dan mentari yang cuba menjenguk alam.

Sabtu dan Ahad, hari untuk saya menyertai Bengkel Penulisan & Penertbitan ITBM-Pena-DBP. Ahli panelnya bukan calang-calang. Dato' Dr Anwar Ridhwan untuk novel, Dr Lim Swee Tin (puisi), Zaen Kasturi (cerpen) dan Prof Muhammad Hj Salleh (proses kepengarangan). Nama-nama hebat ini membuatkan rasa mengantuk ditendang pergi. Badan rasa segar dan bersemangat. Banyak kali tersedar dengan teguran mereka, dan banyak kali juga melihat kepincangan karya-karya sebelum ini. Namun mereka menunjukkan cara untuk membaiki dan membetulkan karya supaya menjadi lebih baik, indah, menarik dan bernilai sastera. Bukannya tangkap muat atau dibuat dengan tidak sepenuh hati.

 Kertas kerja
 
Kesempatan bersama teman penulis dan meluangkan setiap waktu senggang seputar sastera menjadi penawar terhadap segala renyah dunia kerja. Dua hari ini sudah menemukan saya kepada makna sebenar menjadi seorang pengarang yang berwibawa. Kami berkongsi-kongsi cerita dengan pelbagai isu menarik di luar lensa kepengarangan. Dan kesempatan berbual dengan kak Sri Rahayu, yang kemudian memberi idea yang bernas terhadap penulisan saya tersimpul rapi tanpa penamat, telah mengurangkan tekanan untuk terus menukanginya sehingga tamat. Terima kasih kak Sri Rahayu. Kesempatan yang sekejap membuka satu paradigma baru dalam karya 'itu'. Kemudian saya bergegas ke Shah Alam menemui emak yang dapat saya sapa sekejap sahaja malam tadi sebelum menyambung lagi bengkel pada sebelah malam. Juga kali ini, mata terpencar-pencar dengan amanat Dr Lim Swee Tin dengan kelantangannya menyampaikan puisi.
 
Maka dengan ikhlas saya mengatakan bengkel dua hari ini menyaksikan kelahiran kembali saya di pentas karya. Norziati yang memenangi hadiah utama puisi malam sebelumnya telah mati. Dia telah dilahirkan kembali. Senyuman saya atas kemenangan yang lalu sudah hilang kerana selepas berbengkel, saya seperti dilahirkan semula. Kunci sudah di tangan dan saya hanya perlu membuka pintu-pintu yang tersedia.
 
Terima kasih kepada semua pihak yang bertungkus lumus menjayakan HSKU 2011 dan Bengkel Penulisan & Penerbitan ITNM-Pena-DBP.  Dedikasi juga saya tujukan kepada Becky dan Hani yang sentiasa membuka ruang mengopi, menjadi peneman berbagi cerita dan menyemarakkan bara semangat yang sering padam. Kalian lebih hebat, dan diri ini bertuah berada dengan insan hebat seperti kalian

Terima kasih kepada semua ucapan tahniah. Doakan saya terus konsisten berkarya :)