Khamis, Januari 03, 2013

Orang Kampung

Dalam seminggu, beberapa kali saya mendengar orang terdekat menuturkan ayat yang menyalahkah sikap sesetengah orang yang tidak disukainya sebagai sikap orang kampung. Pertama kali mendengar saya ketawa - apa kena mengena orang kampung dengan sikapnya yang dikatakan buruk? Kampung sangatkah? Atau hanya orang bandar mempunyai sikap-sikap yang baik, maksum, terpuji dan suci?

Sungguh, saya terkejut mendapati ini merupakan satu fenomena baru - menyamakan sifat kekampungan  sebagai refleksi terhadap perangai yang tidak disukai. Walhal saya tidak melihat apa-apa yang salah pada orang kampung yang dicelanya itu melainkan sikap orang bandar itu yang perasan bagus dan baik, yang seolah-olah dialah yang bertamadun, pandai, cerdik, berhemah dan ada kelas tersendiri. Dan dia pun bukanlah bandar sangat, dan si kampung pun bukanlah kampung mana pun!

Dari mana asal dan datang kita bukanlah kayu ukur siapa kita, tetapi apa yang kita zahirkan itu adalah cerminan diri kita. Maka berhati-hatilah bertutur wahai kawan-kawan! P Ramlee pun orang kampung, tetapi dia melahirkan pemikiran yang tinggi dalam filem dan lagunya hingga menjadi kajian masa kini. Berhati-hatilah!




Tiada ulasan: