Khamis, Mac 14, 2013

Baik hati

Suatu pagi di jalan yang sesak dengan kenderaan, saya di belakang sebuah bas berhenti-berhenti. Pemandu itu tidak perasan agaknya yang pintu belakang bas yang menutup enjin terbuka, membiarkan badan enjin terdedah dan pintu terbuka luas ke atas. Saya menjarakkan kereta, khuatir jika berlaku apa-apa sambil memikirkan apakah yang menyebabkan itu berlaku. Pemandu terlupa menutupnya selepas pintu dibuka pagi tadi? Atau penguncinya tercabut?

Melewati sebuah gerai makan, bas berhenti dan tersangkut-sangkut disebabkan lampu merah. Seorang lelaki di gerai, berbaju lusuh, berseluar pendek, kurus, tinggi, berjambang dan tidak terurus duduk memerhati kenderaan sambil sebatang rokok terselit di tangan kanannya. Selalu saya memerhatikan dia mundar mandir saban pagi dipinggir jalan, sekejap menghala ke pekan, sekejap pulang entah ke mana.

Lelaki itu, memandang bas dan pintu terbuka. Dia bangun menuju ke bas lalu mencapai pintu dan menutupnya denan tangan kiri sambil mulutnya bercakap entah apa-apa. Kemudian dia kembali ke tempat duduk dan menyambung pandang kepada kenderaan yang beratur di hadapannya.

Dunia ini ramai orang baik hati. Kita sahaja yang selalu bersangka buruk. Perjalanan saya selepas itu dibaluti dengan kelegaan dan rasa bersyukur atas usaha lelaki berbaju lusuh itu.

Tiada ulasan: