Ahad, April 14, 2013

Zaman edan

Bagi anak muda yang tidak pernah merasa suasana pilihanraya atau masih terlalu kecil untuk memahami PRU, kali ini pasti mereka dapat melihat segala yang ditelanjangkan dari diri para pemimpin, ahli politik dan mana-mana figura yang dilihat diam dan membeku suatu ketika dahulu.

Empat tahun yang lalu, pilihanraya cuma bersumberkan blog. Empat tahun sebelum itu masih lagi dengan medium tv dan radio. Telefon genggam masih belum meluas. Masing-masing memendam perasaan dalam diri. sesekali disampaikan dalam risalah yang terhad sebarannya. Kali ini Fb dan twitter, youtube dan live streaming mengambil peranan. Teknologi banyak memudahkan, juga mempercepatkan sampainya berita kotor dan fitnah ke pendengaran kita. Perasaan dilepaskan sebebasnya. Tiada tembok perbezaan antara pahala dan dosa. Mengapa kotor dan busuk ini menjadi pilihan dan bahan kempen? Kerana itu adalah politik Malaysia. Politik zaman edan.

Bagi yang pernah merasa suasana pilihanraya di luar negara, mereka menceritakan kematangan berpolitik di negara bukan Islam yang lebih rasional. Mereka membicarakan persoalan rakyat dengan tuntas, memilih untuk mengenepikan agenda peribadi dalam setiap tindakan. Kita tetap memilih berbalah dan bergocoh, memalukan lawan dan menuturkan yang batil. Politik jenis apakah ini wahai pemimpinku?

Kita yang di luar ini, dengan kuasa satu undi, pilihlah pemimpin yang benar-benar boleh mendokong kita. Apakah kita senang dengan pemimpin yang memutar belit dan berjanji palsu, atau menjanjikan segala bulan dan bintang untuk kebahagiaan kita? Akhirnya nanti, ke mana arah negara yang kita diami ini? Maju kehadapan atau terus mundur kebelakang dengan akhlak yang diinjak-injak?

Seorang rakan secara berseloroh memberi amaran santun - jangan terlibat dengan politik jika tidak dalam sepuluh tahun nanti akan jadi bekas kawan.

Inilah dia politik zaman edan.