Isnin, Julai 22, 2013

Seberang pagar

Semalam, Sabtu pada 12 Ramadan saya bergerak dari Semenyih ke Bangi. Ada janji temu dengan seorang Ustazah yang menjadi pentadbir sebuah sekolah tahfiz. Beberapa hari sebelum puasa, seseorang telah menghubungi saya menerusi FB hanya kerana sekeping gambar yang diletakkan oleh sahabatnya di salam FB yang ditandakan ke dinding FB saya. Dia ingin membeli buku Kami Ada Mimpi. Saya menghantar terus kepadanya setelah mendapati beliau tinggal di Bangi. Dalam perbualan kami yang tidak sampai satu jam itu, hatinya telah terpaut dengan TFTN. 
Dengan penuh semangat, esoknya beliau pergi ke dua buah rumah anak yatim / miskin dan sekolah tahfiz yang terdapat di sekitar Bangi. Saya dapat merasakan kegembiraan yang terpancar menerusi SMS yang dihantarnya kepada saya, memaklumkan beberapa perkara yang didapati daripada pertemuan dengan penyelia rumah terbabit. Beberapa SMS selepas itu membawa saya menemuinya pada Ramadan keempat bersama Zazren untuk membincangkan lebih lanjut apa yang harus beliau lakukan seterusnya. Nada keterujaan begitu terpancar menerusi gerak badannya yang sungguh bersemangat dan kata-kata yang bersungguh. Pertemuan yang sepatutnya sebentar berlangsung hampir tiga jam dan kami kemudiannya bersurai. Dia akan menetapkan pertemuan kami dengan penyelia sekolah tahfiz setelah kami melakukan saringan awal terhadap maklumat yang diberikan. 
Jadi semalam, bersama As kami menemui penyelia terbabit. Kami diberikan keputusan peperiksaan pelajar setiap satu. Memang kali ini maklumat yang kami terima lengkap memandangkan ia adalah sebuah sekolah tahfiz dan mempunyai asrama. Ini bermakna pelajarnya tinggal dan bersekolah di tempat yang sama. Tetapi kemudiannya saya mendapati masalah lain pula yang menghimpit. Anak-anak ini tidka mempunyai masalah akhlak. Semua boleh mendengar kata dan memahami arahan. Tetapi mereka lemah daya saing dan tidak bermotivasi untuk belajar. Sepertinya nanti mereka akan tinggal di asrama itu selama-lamanya dan tidak keluar ke mana-mana. 
Setiap kelas pelajarnya tidak ramai, kurang dari 10 pelajar. Tetapi ternyata pelajar sendiri tidak boleh fokus sepenuhnya kepada pelajaran. Melihat keputusan yang banyak berwarna merah dan ada yang bertanda G, kami berbincang dengan guru dan penyelia tentang adik-adik ini, tentang sikap mereka terhadap pelajaran, silibus yang berbeza dari sekolah bias dan aktiviti harian.
Namun kami menyimpulkan bahawa adik-adik ini tidak bermotivasi untuk keluar dari kepompong mereka. Masalah ini sama wujud dalam diri anak-anak yatim. Mereka membina tembok di sekeliling diri, mengasingkan diri dari masyarakat (kerana sudah tersedia diasingkan) lalu enggan keluar dari keadaan sedia ada. Persaingan sesama sendiri sangat lemah, tidak pasti apa gunanya mereka belajar pandai-pandai, tidak tahu apa gunanya keputusan yang bagus dalam peperiksaan. Akibatnya, tumpuan dalam kelas menjadi lemah, kerja sekolah tidak disiapkan, pergi sekolah seperti satu rutin yang tidak membawa apa-apa makna. Mata mereka tidak bercahaya, langkah mereka pelahan dan tidak bersemangat, zaman persekolahan seperti menghabiskan sisa waktu remaja sebelum boleh melangkah ke luar, menuju ke alam dewasa. Alam yang memberi ruang kebebasan semaksima mungkin.
Tidak semena-mena mata saya tertancap pada keputusan Bahasa Melayu seorang pelajar tingkatan empat. Markahnya 0. "Kenapa boleh dapat kosong?" tanya saya polos. Saya membandingkan dengan keputusan Matematik, Sains, Bahasa Inggeris dan Sejarah yang mempunyai markah meskipun dengan warna merah. Mungkin anak ini tidak datang sewaktu peperiksaan. Namun mustahil dia tidak boleh menjawab kertas BM jika pelajaran lain boleh dijawabnya.
Cikgu di sebelah saya melihat nama pelajar. "Adik ini memang tidak boleh membuat karangan. Pelajaran lain yang dapat markah pun hanya kerana dia boleh memilih jawapan objektif. Sedangkan dia tidak pun membaca soalan."
Saya merenung nama adik ini lalu cuba merenung masa depannya nanti. "SPM kalau tidak lulus BM seperti masa depannya sudah tertutup," balas saya. Ya, SPM adalah penentu kehidupan kita di Malaysia. Sama ada nanti berpeluang melanjutkan pelajaran atau jatuh status sebagai tidak berpelajaran tinggi dan bekerja sebagai pengawal keselamatan, di kilang-kilang, pemandu lori, tukang cuci, tukang kebun dan seribu satu pekerjaan 'kelas rendah'. tetapi jika tidka boleh membaca maka ini adalah satu malapetaka.
Sebaik melangkah keluar dari sekolah, saya berazam membawa adik ini keluar dari malapetaka buta huruf. Bukan dia sahaja, tetapi yang lain rata-ratanya bermasalah untuk membuat ayat meskipun itu ayat ringkas. Itu belum lagi masalah dalam pelajaran yang lain. Paling penting ialah, membawa potensi mereka terbang ke jagad raya, membuka fikiran mereka akan dunia luar dan membawa mereka bercakap tentang apa sahaja yang ada di dunia ini.
Tetapi melangkah keluar dan ketika membuat pusingan U untuk keluar ke jalan besar, tiba-tiba sahaja hati merasa panas dan marak membara. Sebuah IPG tersergam indah bersebelahan sekolah tahfiz ini. Sebuah tempat yang latih bakal guru, yang nantinya akan mengajar anak-anak yang tidak bermotivasi, tidak pandai membaca, tidak mengenal huruf dan tidak pasti masa depan. Lama sebelum mereka bertemu anak-anak itu nanti, sudah ada pun di hadapan mereka anak-anak yang sedia mempunyai masalah. Tetapi mengapakah dibiarkan anak-anak ini memilih gagal sedang mereka berjaya menamatkan pengajian sebagai guru? Apakah mereka tidak sedar dihadapan mata, di sebalik pagar IPG yang indah itu ada sekumpulan anak-anak yang gagal membaca? Apakah radar pengetahuan mereka tertutup di sebalik pagar dan elaun bulanan? Apakah topik perbincangan harian mereka seputar elaun lambat masuk, masalah parking yang kurang atau makanan di kantin yang tidak meyelerakan. Jadi anak-anak yang bermasalah di seberang pagar mereka ini siapa yang harus menyantuninya?

Sanggupkah kita berada dalam ruang selesa dengan menyambung pengajian satu demi satu diikuti pelbagai gelar dihadapan dan belakang nama sedangkan di sekeliling kita ada insan yang tidak dapat mengenali A, B, C? Sanggupkah kita? Sanggupkah?

Tiada ulasan: