Isnin, Februari 24, 2014

Sejarah yang sebenar sejarah

Catatan pada buku ini menunjukkan saya membelinya sewaktu Perhimpunan Penulis Muda Nasional ke-3 pada Disember 2011.  Hari demi hari berlalu, satu muka demi satu muka saya baca hinggalah akhirnya tamat malam ini. Itu pun selepas memaksa diri menghabiskannya atau jangan baca buku lain!

Lama, amat lama sekali masa diambil untuk menghabiskannya. Mungkin juga sebagai satu latihan untuk membaca karya Prof dan menekuni setiap inti perbahasannya yang memerlukan kita merujuk pada buku sampingan atau bacaan lanjutan supaya dapat kita faham dengan mendalam apa yang dibicarakannya. Jika anda tidak setuju dengan cara ini, tak mengapa, banyak lagi buku lain yang anda boleh baca dan hadam dengan mudah.

Saya tidak taksub kepada beliau tetapi semakin menekuni tulisannya, saya dapati kembali dekat saya dengan Melayu-Islam, sesuatu yang pernah saya hasratkan dahulu untuk menekuni dan mencari dengan lebih serius yang boleh. Ruang sudah ada kini, hanya perlu saya teruskan perjalanan.

Apa yang ada dalam buku Islam Dalam Sejarah dan Kebudayaan Melayu? Judulnya sahaja sudah cukup menjelaskan. Tentang Islam dalam sejarah dan dalam kebudayaaan di alam Melayu yang banyak ditutup oleh pihak barat (sewaktu penjajahan) dan juga fokus kita yang terarah kepada zaman pra-Islam, mencicirkan zaman kebemilangan Islam di rantau nusantara dan langsung melompat kepada zaman kolonial dan pasca-kolonial. Jadi, zaman sekitar 1500-1700 sengaja dicicirkan dari sejarah dan diangkatnya zaman lain yang kononnya lebih berkesan dan banyak menyumbang. Dek kerana terikut dengan pandangan ini maka kita pun terhegeh-hegeh dan gopoh menuruti pandangan orientalis dan sarjana barat hinggakan kita menutup sejarah sendiri. Adakah ini adil kepada diri kita? Sudah pasti tidak. 

Saya dapat memahami teks ini apabila tiba pada 15 halaman terakhir. Barulah faham apa yang disampaikan pada awalnya, yang merupakan inti kepada perbahasan sebelum digulung dengan baik dibahagian penutup.

Ada beberapa bahagian yang ingin saya kongsikan, dan untuk diri saya juga, bahagian ini memerlukan bacaan lanjut:

Kita insaf akan kehilangan sifat persendirian bangsa - jikalau tiada dirasai sebagai satu kehilangan mengapakah kita  berusaha mencarinya? Dan dari manakah harus kita dapat ciri-ciri yang memperkenalkan kita kepada sifat persendirian itu melainkan dari sejarah? Sejarah manakah yang harus  kita utamakan sebagai yang benar-benar membenamkan kesan perasmiannya ke dalam jiwa kita? Kita lihat bahawa para sarjana sejarah yang menulis dan membuat pengkajian mengenai Kepulauan Melayu-Indonesia hanya memberatkan dan menumpukan pengkajian dan penulisannya pada sejarah baru dewasa ini, dan pada latarbelakang sejarah itu, iaitu sejarah kolonial. Mengenai sejarah lama mereka hanya tahu sejarah zaman Hindu-Buddha dan sedikit tentang sejarah purbakala. Kita harus memperhatikan dengan keinsafan yang sungguh-sungguh pengabaian dan peneledoran yang telah dilakukan terhadap satu faktor penting yang sangat berkesan bagi pembicaraan kita mengenai sejarah kebudayaan Melayu-Indonesia, iaitu pengabaian terhadap sejarah Islam dalam Kepulauan ini. Sejarah Islam itu seolah-olah hilang atau dihilangkan. Dengan penumpuan kepada sejarah purbakala, sejarah Hindu-Buddha, sejarah kolonial dan sejarah sendirinya sejarah Islam itu akan tampak sebagai tiada berkesan dalam kehidupan masyarakat Melayu-Indonesia. Alangkah palsunya tanggapan ini!

~ Islam Dalam Sejarah dan Kebudayaan Melayu, Syed Muhammad Naguib al-Attas. Hal 55



Sabtu, Februari 15, 2014

Apa yang kamu baca


Rasanya sudah lebih sebulan saya ketinggalan membaca al-Kahfi. Alasan mudah - tak sempat atau sudahnya terlalu panjang. Baca Yasin cukuplah. Da'if betul terasa bila memberi alasan itu dan betul-betul seperti meletakkan diri dalam fitnah dan kejeleketan dunia. Sedangkan sisa masa yang ada saya habiskan dengan membaca buku.


Lekas-lekas saya insafkan diri. Jumaat pagi dengan angin berpuput lembut, al-Kahfi berjaya dihabiskan. Tidaklah lama saya rasakan. Lalu apa yang menyebabkan saya beralasan yang bukan-bukan.


Jumaat saya rasakan kelainan. Tuhan rupanya menunjukkan sesuatu. Video Habib Ali Zainal Abidin yang dipotong pendek-pendek menjadi santapan telinga ketika ligat menyunting teks Jawi yang masih tersisa satu edisi. Kerja dapat disiapkan dengan tenang, segala gundah gulana berjaya ditepis pergi, masalah yang cuba bertamu tak berjaya menembus dinding yang dipagar tinggi.



Lunturkanlah ego dengan membiasakan meminta maaf...
tidak kira semasa kita rasa benar apatah lagi ketika rasa bersalah!


~ Ustaz Pahrol



Nikmat Tuhan manakah yang mahu kamu dustakan wahai teman?

Jumaat, Februari 14, 2014

Pesanan terakhir

Ada sesekali waktu, saya menyelami Khutbah Wida' dengan sepenuh perasaan. Di dalamnya ada pesanan tentang persaudaraan, menjaga agama, pengharaman riba', hak ke atas isteri dan wanita, amanah dalam pergaulan, larangan zina dan sikap bertanggungjawab.

Khutabah Wida' ini ringkas tetapi di dalamnya Nabi menyampai pesanan yang penting kepada kita sebagai umat akhir zaman. Apatah lagi mutakhir ini kita didatangkan dengan pelbagai ujian dan cabaran. Maka marilah kita kembali renungi Khutbah Wida' ini dan tanyalah kepada diri apa yang telah kita lakukan terhadap agama.


Perkara yang berlaku mutakhir ini, sama ada yang terpalit kepada agama atau negara mahu pun diri sendiri sering membawa saya melihat kembali diri, bahawa kita tidak boleh sewenang-wenangnya membuat tanggapan sendiri lalu memaksa orang lain menerima pendapat itu.

Banyak perkara sebenarnya boleh diselesaikan dengan hanya kita berusaha memahami dan saling mengerti perbezaan dan persamaan kita. Bukan...nya berusaha menyamaratakan pandangan dan memaksa orang lain menerima pendapat kita.

Belajarlah mendengar kemudian memahami kalau pun kita tidak bersetuju kerana ia boleh mengurangkan timbulnya persepsi lain meskipun tidak mampu menyelesaikannya.

Bukankah separuh dari masalah itu selesai apabila kita cuba memahaminya?

Rabu, Februari 12, 2014

Kembali kepada fitrah

Mendengar bagaimana usaha saudara baru mempertahankan akidah pada awal kembalinya mereka ke agama fitrah menjadi penanda aras untuk saya mengukur tahap iman. Setiap hari Rabu di radio Ikim, saudara baru berkongsi cerita bagaimana mereka kembali ke Islam, agama yang dahulunya telah mereka berjanji dengan Tuhan dan mengakui bahawa Allah itu Tuhan dan kita pula dengan siap siaga menjawab "YA".

Saya sering terbayang nasib mereka - kehilangan keluarga, pekerjaan, rakan dan saudara mara hanya kerana keteguhan iman. Seperti Bilal, mereka tetap kukuh dengan keyakinan bahawa Allah itu satu, Muhammad itu Nabinya dan Islam agama yang dianuti. Melakukan perkara yang menjadi suruhan dan berusaha meninggalkan yang dilarang. Berusaha melakukan kebaikan, mencegah dan menghindari kemungkaran lalu memulakan sesuatu yang jauh dari kebiasaan. Tidak kurang pula mereka terpaksa berbohong pada awalnya, atau berpura-pura dihadapan keluarga dan sering dalam ketakutan dan tekanan dari orang lain. Mereka yakin dengan iman yang telah kembali diyakininya. Bagaimana keteguhan pada keyakinan baharu itu begitu kuat menyelimuti mereka?

Dalam satu cerita, seorang darinya masih belajar dan masih tinggal dengan keluarga. Dia tidak berani mengaku atau membuka mulut, dikhuatiri nanti pembiayaan pengajiannya akan tergendala dan tidak mempunyai sumber kewangan yang lain. Namun dia sedar, dalam masa yang sama dia telah menjadi anak yang baik, patuh kata ibu bapa, tidak melawan atau membentak, berbuat baik dengan adik beradiknya, tidak lagi keluar tanpa tujuan dan mendapat ketenangan dalam setiap apa yang dilakukannya. Islam telah menjadikan dia sebaik insan, perubahan yang disukai oleh ibu bapa tetapi masih perlu menyorokkan status agama.


Seorang yang lain, meskipun dikelilingi oleh bapa dan datuk yang kuat dengan pegangan agama yang berbeza, tidak sama sekali menjadi halangan untuk dia mengenali Islam. Berada dalam lingkungan penganut agama yang kuat, dia sentiasa menyoal pelbagai perkara tetapi tidak bertemu jawapan yang boleh memuaskan dirinya. Akhirnya Islam berjaya menjawab soalan itu, membuatkan dia berfikir dengan mendalam apakah harus dia bertukar akidah. Dia mengambil langkah yang tepat selepas itu meskipun berhadapan risiko dengan keluarga yang menentang.


Mereka berkata-kata, saya mendengar dengan seribu perasaan. Kebanyakan dari mereka bermula dan mengenali Islam bukanlah dari kita, yang telah Islam sekian lama. Islam pada orang Melayu tidak membawa mereka kepada Islam, sebaliknya menakutkan dan mendukacitakan. Malah, tidak terlintas pun dihati kebanyakan mereka untuk bersama dalam Islam. Akidah orang Islam memesongkan pegangan sendiri, menjadikan Islam sebagai agama yang tidak mesra penganutnya. Ini bukanlah satu kejutan, ini pengakuan ikhlas. Saya sendiri mengakuinya.


Seorang yang lain, yang saya ingat lagi tahun lalu ketika mendengarnya di radio, petah sekali berbicara dalam pelat Tionghua, memberitahu bahawa dakwah itu tanggungjawab semua dari kita. "Ambil contoh  mudah," katanya. "Kita menjadi orang gaji di sebuah rumah. Tugas kita adalah lima perkara iaitu memasak, menyapu, mengemas, mengemop lantai dan melipat baju. Tetapi kita diminta menjaga anak tuan rumah. Kita tidak mahu, kerana mahu buat lima perkara itu sahaja. Suatu hari anak tuan rumah terjatuh ke dalam kolam. Apakah kita mahu biarkan sahaja?"


Dia menyambung, "Samalah dengan Islam. Kita tidak boleh kata dengan melaksanakan 5 rukun Islam kita sudah Islam ataupun sudah melaksanakan tanggungjawab seorang Islam. Kita ada tanggungjawab lain yang perlu dibuat, yang tidak terhitung pun kalau kita senaraikan satu persatu. Kita juga tidak boleh kata itu bukan kerja saya, itu kerja orang lain. Bolehkah kita berkata dengan Tuhan seperti itu? Bolehkah kita menafikan tugas kita dengan terhad kepada 5 perkara itu sahaja? Maka nanti kita akan jadi seperti orang gaji itu, yang hanya buat 5 kerja tanpa mengendahkan yang lain. Dakwah itu, tanggungjawab setiap dari kita, orang Islam. Maka laksanakanlah."


Dakwah menjadi satu tugas penting kepada  kita orang Islam. Kepada saya yang Islam sejak dilahirkan. Kita telah dinyatakan tanggungjawab kita sebagai khalifah, sebagai wakil Tuhan. Apakah nanti boleh kita menjawab di hadapan Tuhan, dakwah itu bukan tugas saya kerana saya bukan ustazah - biarlah Ustazah yang memikul tugas itu.


Sanggupkah kita berkata demikian?

Sabtu, Februari 01, 2014

Yang panas

Ketika menyertai satu ekpedisi kayak yang melewati selatan Thailand-kepulauan Langkawi-Kuala Perlis semasa tahun pertama di alma mater kira-kira 15 tahun yang lalu, kami terkandas kira-kira tiga hari di Ko You (Pulau Panjang), Thailand akibat cuaca buruk. Kami menghabiskan masa dengan melakukan aktiviti bersama penduduk setempat, mengemaskan masjid dan lawatan ke sekolahnya yang sederhana.

Setelah laut reda dan langit bertukar cerah, kami memutuskan untuk menyambung kayak ke Pulau Singa Besar. Pada pagi itu, kami bersiap awal, menegemas barang perkhemahan dan memasukkan barang ke dalam bot. Malangnya bot pengiring yang terdiri dari pegawai dari sebuah jabatan yang bersama kami tidak muncul-muncul meskipun pagi itu kelibat mereka kelihatan. Kami semakin resah, matahari sudah meninggi, cuaca memang amat cantik untuk memulakan kayuhan tetapi bayang mereka tidak kelihatan. Kami tidak boleh bertolak tanpa bot pengiring. Ketika itu, kami mula bersuara dan mempersoalkan itu ini.

Mereka muncul selepas itu dan saya tidak dapat menahan marah lalu membentak di belakang sebagai tanda protes akan sikap mereka yang menyebabkan kami bertolak lewat. Sepanjang kami di atas kayak, kemarahanlah yang merajai hati hingga paddling pun tidak menjadi sempurna.

Ketika sesi brainstrom malamnya, kami memperincikan perjalanan program satu persatu sejak pagi. Tanpa disangka, perbuatan setengah dari kami yang membentak dan memprotes pegawai pengiring tersebut (terutamanya saya) menerima teguran yang keras. Katanya, walau bagaimana kita marah dan geram, janganlah sesekali kita tunjukkan sikap kurang ajar terhadap orang yang lebih tua dari kita. Mereka perlu kita hormati walau pun kita tidak berpuas hati dengan mereka kerana ada cara yang sesuai untuk menegur, bukan dengan menghamburkan kemarahan. Tambah seorang lagi, usahlah mudah mempersoalkan sesuatu dengan soalan jelek, sinis dan silly question sehingga menjadikan sesuatu arahan atau permintaan itu seperti suatu yang main-main. Sebaliknya, fikirkan kenapa arahan atau permintaan itu disampaikan, kerana sudah pasti ada sebabnya. Ada cara yang sesuai untuk membetulkan.

Teguran itu amat berbekas dalam diri saya bertahun-tahun lamanya dan sehingga kini saya mengambil sikap berhati-hati dalam setiap tindak tanduk. Mungkin sesekali saya terbabas dan terlepas kata, tetapi lekas saya menyedari diri agar tidak keterlaluan. Namun berhadapan dengan anak muda, generasi Y dan berdarah panas, cepat marah dan segera pula bertindak menjadikan saya berada di tempat di tempat di mana pegawai pengiring itu berada. Ada permintaan dan arahan yang membawa riak wajah kecewa, tidak puas hati atau menarik muka masam. Mereka memberi reaksi tanpa cuba berlapik dan seolah-olah mahu berterus terang supaya boleh menolaknya tanpa bertangguh. Kita menjadi mudah tersentuh dan terasa, kecewa dan hiba kerana begitu mudah ditolak mentah-mentah, seperti kita ini bukanlah siapa-siapa bagi mereka.

Saat ini, saya dapat merasakan betapa kemahiran menguruskan diri sewaktu dalam tekanan atau merancang plan A, B atau C sangat perlu supaya hati kita tidak terus dipermainkan. Mungkin juga atas faktor usia kita menjadi mudah terasa dan tersinggung tetapi itukan lumrah. Pengalaman menjadi muda dan kemudiannya berhadapan generasi muda memberikan kita ruang membaiki dan membetulkan diri supaya tidak mudah kecewa dengan manusia. Kita ada tempat pergantungan yang lebih besar dari itu, yang tidak pernah mengecewakan segala apa yang kita mahu.

Kata-kata bisa menghiris dan bila hati terguris, memang sukar merawatnya meskipun luka sudah berhenti menitis. Parutnya, kan tetap berbekas.

Saya tetap ingat pesanan itu. Ada cara yang sesuai untuk membetulkan. Tidak ada satu jawapan yang boleh menjawab semua soalan.