Rabu, Februari 12, 2014

Kembali kepada fitrah

Mendengar bagaimana usaha saudara baru mempertahankan akidah pada awal kembalinya mereka ke agama fitrah menjadi penanda aras untuk saya mengukur tahap iman. Setiap hari Rabu di radio Ikim, saudara baru berkongsi cerita bagaimana mereka kembali ke Islam, agama yang dahulunya telah mereka berjanji dengan Tuhan dan mengakui bahawa Allah itu Tuhan dan kita pula dengan siap siaga menjawab "YA".

Saya sering terbayang nasib mereka - kehilangan keluarga, pekerjaan, rakan dan saudara mara hanya kerana keteguhan iman. Seperti Bilal, mereka tetap kukuh dengan keyakinan bahawa Allah itu satu, Muhammad itu Nabinya dan Islam agama yang dianuti. Melakukan perkara yang menjadi suruhan dan berusaha meninggalkan yang dilarang. Berusaha melakukan kebaikan, mencegah dan menghindari kemungkaran lalu memulakan sesuatu yang jauh dari kebiasaan. Tidak kurang pula mereka terpaksa berbohong pada awalnya, atau berpura-pura dihadapan keluarga dan sering dalam ketakutan dan tekanan dari orang lain. Mereka yakin dengan iman yang telah kembali diyakininya. Bagaimana keteguhan pada keyakinan baharu itu begitu kuat menyelimuti mereka?

Dalam satu cerita, seorang darinya masih belajar dan masih tinggal dengan keluarga. Dia tidak berani mengaku atau membuka mulut, dikhuatiri nanti pembiayaan pengajiannya akan tergendala dan tidak mempunyai sumber kewangan yang lain. Namun dia sedar, dalam masa yang sama dia telah menjadi anak yang baik, patuh kata ibu bapa, tidak melawan atau membentak, berbuat baik dengan adik beradiknya, tidak lagi keluar tanpa tujuan dan mendapat ketenangan dalam setiap apa yang dilakukannya. Islam telah menjadikan dia sebaik insan, perubahan yang disukai oleh ibu bapa tetapi masih perlu menyorokkan status agama.


Seorang yang lain, meskipun dikelilingi oleh bapa dan datuk yang kuat dengan pegangan agama yang berbeza, tidak sama sekali menjadi halangan untuk dia mengenali Islam. Berada dalam lingkungan penganut agama yang kuat, dia sentiasa menyoal pelbagai perkara tetapi tidak bertemu jawapan yang boleh memuaskan dirinya. Akhirnya Islam berjaya menjawab soalan itu, membuatkan dia berfikir dengan mendalam apakah harus dia bertukar akidah. Dia mengambil langkah yang tepat selepas itu meskipun berhadapan risiko dengan keluarga yang menentang.


Mereka berkata-kata, saya mendengar dengan seribu perasaan. Kebanyakan dari mereka bermula dan mengenali Islam bukanlah dari kita, yang telah Islam sekian lama. Islam pada orang Melayu tidak membawa mereka kepada Islam, sebaliknya menakutkan dan mendukacitakan. Malah, tidak terlintas pun dihati kebanyakan mereka untuk bersama dalam Islam. Akidah orang Islam memesongkan pegangan sendiri, menjadikan Islam sebagai agama yang tidak mesra penganutnya. Ini bukanlah satu kejutan, ini pengakuan ikhlas. Saya sendiri mengakuinya.


Seorang yang lain, yang saya ingat lagi tahun lalu ketika mendengarnya di radio, petah sekali berbicara dalam pelat Tionghua, memberitahu bahawa dakwah itu tanggungjawab semua dari kita. "Ambil contoh  mudah," katanya. "Kita menjadi orang gaji di sebuah rumah. Tugas kita adalah lima perkara iaitu memasak, menyapu, mengemas, mengemop lantai dan melipat baju. Tetapi kita diminta menjaga anak tuan rumah. Kita tidak mahu, kerana mahu buat lima perkara itu sahaja. Suatu hari anak tuan rumah terjatuh ke dalam kolam. Apakah kita mahu biarkan sahaja?"


Dia menyambung, "Samalah dengan Islam. Kita tidak boleh kata dengan melaksanakan 5 rukun Islam kita sudah Islam ataupun sudah melaksanakan tanggungjawab seorang Islam. Kita ada tanggungjawab lain yang perlu dibuat, yang tidak terhitung pun kalau kita senaraikan satu persatu. Kita juga tidak boleh kata itu bukan kerja saya, itu kerja orang lain. Bolehkah kita berkata dengan Tuhan seperti itu? Bolehkah kita menafikan tugas kita dengan terhad kepada 5 perkara itu sahaja? Maka nanti kita akan jadi seperti orang gaji itu, yang hanya buat 5 kerja tanpa mengendahkan yang lain. Dakwah itu, tanggungjawab setiap dari kita, orang Islam. Maka laksanakanlah."


Dakwah menjadi satu tugas penting kepada  kita orang Islam. Kepada saya yang Islam sejak dilahirkan. Kita telah dinyatakan tanggungjawab kita sebagai khalifah, sebagai wakil Tuhan. Apakah nanti boleh kita menjawab di hadapan Tuhan, dakwah itu bukan tugas saya kerana saya bukan ustazah - biarlah Ustazah yang memikul tugas itu.


Sanggupkah kita berkata demikian?

Tiada ulasan: