Selasa, Mac 25, 2014

Tiga khabar duka dan MH370

Beberapa minit sebelum PM Najib Abdul Razak membuat kenyataan akhbar pada pukul 10 malam, 24 Mac 2014, bertalu-talu status FB dan twitter memaklumkan perkara ini.

Saya ketinggalan kerana sedang menyiapkan kerja tanpa menjengah telefon. Tambahan pula talian internet agak kacau malam tadi. Tetapi wajah dan kesedihan PM Najib yang mengumumkan mengenai  kesahihan pesawat MH370 yang hilang itu cukup menjawab serba sedikit kehilangan yang sudah masuk hari ke-16.

24 Mac 2014 ternyata memberi khabar duka. Tiga berita sedih datang serentak dari siang membawa ke malam:
1) MH370 disahkan dapat dikesan buat kali terakhir di Lautan Hindi. Sidang akhbar berikutnya pada 10 pagi, 25 Mac 2014 hari Selasa
2) 529 penyokong bekas Presiden Mohamad Morsi dihukum bunuh tanpa bicara. Khabarnya 28 april nanti proses rayuan akan menetukan mereka digantung atau tidak.
3) Penyair Nahmar Jamil meninggal dunia pada jam 7.50pm di rumahnya di Perlis

Daripada-Nya kita datang, kepada-Nya kita kembali.

Ahad, Mac 23, 2014

Bahasa syurga itu...

Awal tahun ini, atau mungkin penghujung tahun lepas, saya bawa ke rumah tiga naskhah buku teks Bahasa Arab dari kampung yang dipelajari ketika di alma mater dahulu.

Saya terasa ingin kembali belajar BA kerana kian meneydari keperluan mendalaminya. Saya akui masih tersisa dalam ruang ingatan serba sedikit apa yang dipelajar dahulu. Bila membaca al-Qur'an, boleh meneka satu dua maksud perkataan meskipun tidak memahami keseluruhan konteks ayat. Namun begitu, timbul ragu-ragu. Sejauh mana bagusnya belajar sendiri tanpa guru? Dan apakah saya mampu membaca dan memahami al-Qur'an dengan sebaiknya?

Teringat kembali masa belajar dahulu. BA merupakan bahasa rasmi kedua selepas BI di universiti antarabangsa ini. Ini sekaligus menambahkan keunikan dan perbezaan berbanding di universiti lain. Sebagai anak luar bandar dan tidak bersekolah agama, saya melalui pengalaman menarik mempelajari kedua-dua bahasa ini. Dalam ujian penempatan (placement test) BI, saya perlu masuk ke level paling asas dengan kod Low Language Competence menggunakan buku teks Betty Schrampfer Azar berwarna merah tatkala rakan-rakan lain mengusung buku teks berwarna hitam. Ada yang terus exempted dan boleh berbicara dengan berabuk. Malu? Ketepikan perasaan itu. Memulakan dari asas ada baiknya.

Untuk BA, memang perlu bermula dari asas. Maka kami pun belajar menyebut perkataan Arab satu persatu. Bagi tahun pertama di matrikulasi, kami belajar bahasa selama setahun. Pengukuhan bahasa amat perlu sebagai asas untuk menghadapi tahun mendatang yang lebih hebat cabaran berbahasa memandangkan BI dan BA digunakan sepenuhnya. Bagi yang melangkau kelas, mereka dapat mengurangkan semester pengajian matrikulasi dua tahun kepasa satu tahun setengah atau satu tahun jika benar-benar mahir berbahasa. Hanya perlu ambil subjek asas selama dua semester sahaja.

Kembali kepada BA. Dalam level satu, kami menerima kehadiran dua orang ustaz. Seorang Melayu dari Melaka yang bila di dalam kelas asyik menyebabkan kami ketawa. Ustaz Ali namanya. Ustaz kedua berasal dari Tanzania, namanya Ustaz Omar. Agak excited juga bila dapat Ustaz negro yang baru saya tahu menggunakan BA sebagai bahasa kedua. Belajar BA dengan bukan ustaz Melayu menyebabkan kami perlu mengikut lenggok lidah Afrikanya yang sedikit pelik. Tetapi Ustaz Omar tidak sesekali naik angin atau putus asa dengan kami. Dia mahu setiap orang dari kami menyebut setiap perkataan dengan betul sehingga dia puas hati. Misalnya disuruh kami menyebut Malizi dan nazzarah berpuluh kali sehingga dia puas hati kami dah boleh ikut kehendaknya. 

Dalam kelas Ustaz Omar, dia menggunakan BA sepenuhnya kerana tidak begitu mahir BI. Dia bercakap dan menerangkan bersungguh-sungguh meskipun kami tak faham sepatah haram. Namun itu mempercepatkan pemahaman kami terhadap BA. Tambahan pula level 1 hanya belajar mengenali perkataan dan dialog ringkas. Belum lagi masuk nahu dan karangan panjang. Dalam kelas Ustaz Ali, dia banyak bercerita dan berselang seli mengajar. Mungkin dia mahu tarik perhatian kami dengan cerita-cerita lucunya agar mudah kami faham apa yang cuba disampaikan. Masuk ke kelas Ustaz Ali jarang mengantuk kerana ada sahaja kisah lucu yang disampaikannya.

Sebagai pelajar jurusan Ekonomi, saya perlu ambil BA sebanyak empat semester atau belajar empat buku teks. Dua level di matrikulasi dan dua level lagi di main campus. Selepas belajar di kelas, balik rumah mengulangkaji dnegan teman serumah yang kebanyakannya dari sekolah agama. Merekalah yang menjadi pakar rujuk tambahan dalam meminta penerangan apa yang dipelajari dalam kelas sebelum ini. Di main campus, saya mula belajar buku tiga dan empat yang kian berat. Masuk buku empat saya kian hilang punca. Semakin sukar saya rasa, apatah lagi ketika itu sekelas dengan teman yang melangkau level. Merekalah yang banyak menjawab. Masuk pula bahagian tatabahasa yang kian memeningkan. Saya lulus cukup makan sahaja untuk level 4. Tapi memadailah, kerana BA tidak masuk dalam CGPA tetapi merupakan university required subject, kena ambil, kalau tak tak graduate.

Bila kenang kembali pengalaman belajar BA, saya rasa rugi bila banyak melupakan apa yang dipelajari. Tiga buku teks (level 4 tak beli, cuma pinjam), saya bawa pulang dari kampung. Berhasrat benar nak belajar balik BA biarpun belajar sendiri. Tetapi rupanya Allah mernacang lebih baik dari itu. Cikda menanda saya dalam FB tentang usaha seorang  budiman yang membuka kelas BA percuma di Sungai Merab. Bagai orang mengantuk disorokan bantal. Lokasi dekat dengan pejabat, percuma, seminggu sekali sebelah malam dan dengan siibus terbaik yang menjanjikan kita boleh membaca al-Qur'an dengan lancar selepas empat atau lima tahun, maka ini sangat nengujakan. Pengalaman tenaga pengajarnya sungguh menakjubkan, dan dia meskipun belajar skeolah agama dan belajar BA mengakui masih tidak faham nahu. Saya akan ceritakan nanti pengalamannya. Dan kesempatan ini saya ambil dengan sepenuhnya, belajar dengan hati yang bulat dan bersungguh supaya dapat faham al-Qur'an dan berbahasa dengan baik.

Hajat saya untuk belajar BA itu Allah makbulkan dnegan cepat. Saya tidak mahu mempersiakan peluang ini. Saya mahu belajar Bahasa Arab dengan bersungguh-sungguh supaya dapat faham al-Qur'an dan berbahasa dengan baik.

Jumaat, Mac 21, 2014

Dari terhapus begitu...

Tiba-tiba saya teringat beberapa buah hasil tulisan yang masih belum sempurna sifatnya, dan kalau sudah siap pun belum dihantar ke mana-mana penerbitan. Kalau dihantar pun belum diterbitkan.

Banyak dari tulisan tersebut merupakan catatan yang ditulis sepanjang perjalanan, sebagai tanda ingatan dan buah fikiran dari apa yang diperhatikan. Terfikir juga mahu terbitkan sendiri kerana merasa syok sendiri. Tapi bak kata seorang penjual buku, menerbitkan buku di Malaysia ini memang senang, nak menjualnya yang payah. Benar juga, kerana berkotak-kotak buku yang saya ambil dari penerbit belum pun luak separuh. Hendak menjualnya di mana pun menjadi masalah. Paling tidak pun dibahagi-bahagikan pada kawan terdekat. Itu pun masih berbaki.

Jadi saya kira, elok juga diterbitkna sahaja diblog dari tersimpan dalam laptop tidak berusik. Kelak nanti, ada juga sesuatu yang saya tinggalkan untuk dibaca. Kita hidup ini pun bukannya lama. Esok lusa entah entah dah tinggal nama. Laptop sahaja menjadi saksi atas apa yang telah saya tulis. Namun jika ditinggalkan begitu, entah ke mana pula perginya nanti. Entah-entah punah ditelan virus.

Rabu, Mac 19, 2014

Rabu Bisu #9

Harga setaraf nilai buku, apatah lagi selepas menjadi karya langka. 
Selepas pertama kali melihatnya, termimpi-mimpi jadinya.
Syukurlah, diberi keizinan untuk menjadi antara pemiliknya,
Meskipun sekadar diletakkan di pejabat :)



Ahad, Mac 16, 2014

Ketamadunan itu besar dengan pemikiran hebat

Membaca Haji tulisan Ali Shariati, melengkapkan tafsiran saya terhadap kehebatan tamadun Melayu yang pernah saya sentuh dalam tulisan sebelum ini. Islam yang menyaluti Melayu memberi kesan yang nesar sehingga tiada binaan besar yang terhasil bagi menunjukkan betapa besarnya tamadun Melayu.

Ingin saya tambah dalam tulisan sebelum ini.

Islam telah menunjukkan jalan sebenarnya buat kita. Islam itu hebat pada iman, akhlaq, bukanpada binaan. Lihatlah apa yang ada pada Kaabah. Ia sekadar sebuah binaan segi empat berwarna hitam yang terletak di persimpangan lembah. Kedudukannya rendah dari kawasan sekitar. Tidak hairanlah ia mudah dilanda banjir. Tiada apa yang menyelimutinya. Tiada apa binaan yang dibina disekitarnya sehinggalah kawasan itu dihuni olehpara penduduk.

Hanya apabila Ibn Saud mengambil alih tanah Hijjaz dan menamakan negara itu dengan meletakkan namanya menjadikan Arab Saudi / Saudi Arabia, binaan besar agam pun mula muncul disekelilingnya. Jam besar sudah seperti kiblat baharu. Mataf bertingkat sudah menutup pandnagan pada binaan empat persegi berwarna hitam yang menjadi arah kiblat kita. Jam besar itu seolah-olah menjadi kiblat kita. Apabila azan, semua mata berpaling memandang ke arah jam. Bukan ke arah Kaabah. Bukan menghayati azan.

Itulah petanda bahawa ketamadunan sudah menjadi berhala yang melenyapkan nikmat iman.

Jumaat, Mac 14, 2014

MH370, pulanglah!



Tiba-tiba, tiba-tiba
Satu negara gempar dan merasa hiba
Sebuah pesawat hilang dari alam nyata
Radar tiba-tiba kelu menjawab soalan kita
MH370 lesap, lenyap, hilang
Ke mana perginya? Ke mana hilangnya?
Tiada siapa mampu menjawabnya.

Teori menari di media sosial
Telahan, tanggapan, angakan, jangkaan
Menjadi mainan, lelucon dan bahan ketawa
Kuasawan, wartawan dan birokrat balas membalas di kaca tv
Rakyat berbalah-balah di hujung jari
Risau tak kunjung pergi
Air mata silih berganti
Pelik kata mereka
Keliru pun ada
Tapi tak sedar itu Tuhan punya kuasa

Maka datanglah segelintir warga
Membawa akal sejengkal 
Di dalam buluh, kelapa dan tikar
Diteropong, dijampi mentera
Kian bergegarlah dunia ketawakan kita
Masih tinggal di atas pokok lagi rupanya


Mengapa tidak kau berdoa kepada yang punya kuasa
Maha mengetahui segala-gala
Menguasai darat laut udara
Teruskan doa, teruskan usaha
Hijab tertutup kerana kita terlalu leka
Dia menguji kerana kita terlalu alpa
Kononnya hebat mencabar segala kuasa


Ya Allah, kami rindukan mereka
Jika di darat tunjukkanlah
Jika di langit, turunkanlah
Jika di laut, timbulkanlah
Jika kami terhijab, keluarkanlah
Kami ini tidak tahu, maka tunjukilah kami


~ pagi subuh di Semenyih
Khabarnya IPU di luar sana mencecah darurat~





Menangani hak

Rupanya bukan kau seorang sahaja yang berfikiran begitu, ujarnya.

Aku mengangkat kepala memandangnya. Apa maksudmu. Soalku.

Aku juga berperasaan begitu. Dia ternyata seperti meminta orang lain memberikan perhatian penuh kepadanya setiap kali menaikkkan status yang menjengelkan di facebook.

Aku mengetap bibir. Apa maksud kau menjengkelkan? Soalku.

Setiap minit menaikkan status. Tentang keluarga. Tentang anak-anak. Tentang dirinya. Bukankah itu menjengkelkan?

Tapi itu ruang peribadi dia. Mengapa pula kau yang terganggu? Aku sengaja mahu melihat bagaimana dia mempertahankan hujahnya meski pun nanti jawapan akhir kami adalah sama - menjengkelkan.

Benar, itu ruang peribadi dia. Tetapi apabila statusnya itu berada dalam susurmasa facebook ku, itu sudah mengganggu ruang peribadiku. Hak ku sudah dilanggar. Dicerobohi.

Jadi, kau perlu humban dia keluar? Dia geleng.
Ada seseorang berkata, kritik terbaik ialah dengan tidak mengendahkan. Biarkan. Nanti dia akan senyap sendiri. Balasnya

Soalnya di sini, sudah bertahun-tahun dia begitu. Kita senyap, dia mendapat sokongan baharu. Akhirnya dia tidak sedar apa-apa.

Jika begitu, kembalilah kepada hak yang sebenar. Aku mahu hak ku kembali. Maka nyahkan dia dari senarai kenalanku. Dia meninggikan suara dihujung kata. Keras juga bunyinya.

Tetapi ada cara lebih mudah mempertahankan hak mu. Tutup dia dari senarai kenalanmu. Sebarang statusnya tidak akan kau baca. Lebih baik menyahkan dia dari senarai kenalan. Nanti bisanya berpanjangan.

Dia senyum. Benar kata kau. Zaman media sosial sekarnag ini, nyahkawan adalah perkara yang sangat sensitif. Boleh putus kawan diruang realiti.

Aku ketawa. Banana smoothy mendarat di meja. Di luar, jerebu dan kabut kian kuat memeluk suasana. Bau asap tersebar merata. Bumi panas, kemarau menjerat rasa. 

Khamis, Mac 06, 2014

Puisi - Mahsul Warga

Aku ingat-ingat lupa tentang puisi ini. Diterbitkan dalam buku cantik.



Mahsul Warga
Norziati Mohd Rosman

i
Pagi datang dengan sejuk menyapa tulang
Pelita menyuluh gelita menyala di puncak kepala
Baju lusuh, seluar buruk, kasut busuk
Itulah pakaian remajaku, hari itu


Disapa nyamuk, lipan, babi, ular
Usia ku bawa berlari ke teres-teres pokok
Melorek pisau tajam ke dada kulit
(lalu getah pun menitis)
Bertukar makanan untuk kami membesar
Dan buku-buku untuk kami celik akal

Mentari bangkit dengan terik memijar
Peluh mengalir di perdu akar
Kopi serta nasi goreng sejuk menyapa tekak
Ku capai baldi untuk mengisi wang
Yang belum membeku untuk rezeki kami, hari itu


Kami mengira rintik hujan di musim basah
Memeluk dingin di bawah selimut usang
Dedaun pun menggigil di hujung dahan
Emak mengira tabungan dan butir beras
Abah pun berpesan ‘belajarlah, kerana ilmu
tak bisa membuatmu menyembah getah
tatkala tenagamu di pulas hingga lelah’


ii
Ridley pasti tidak tahu
Benih dari Ladang Kew-Singapura-Tanah Melayu
Menggerak revolusi, tayar dan kereta
British senyum, gembira, kaya
Menyedut mahsul dari tenaga warga


Bandar Baru Bangi
27 Disember 2011

 
Kemudian aku dapat tahu ada seniman mempersoalkan siapa dalam buku ini.
Aku siapa? Aku bukan apa-apa