Ahad, Mac 23, 2014

Bahasa syurga itu...

Awal tahun ini, atau mungkin penghujung tahun lepas, saya bawa ke rumah tiga naskhah buku teks Bahasa Arab dari kampung yang dipelajari ketika di alma mater dahulu.

Saya terasa ingin kembali belajar BA kerana kian meneydari keperluan mendalaminya. Saya akui masih tersisa dalam ruang ingatan serba sedikit apa yang dipelajar dahulu. Bila membaca al-Qur'an, boleh meneka satu dua maksud perkataan meskipun tidak memahami keseluruhan konteks ayat. Namun begitu, timbul ragu-ragu. Sejauh mana bagusnya belajar sendiri tanpa guru? Dan apakah saya mampu membaca dan memahami al-Qur'an dengan sebaiknya?

Teringat kembali masa belajar dahulu. BA merupakan bahasa rasmi kedua selepas BI di universiti antarabangsa ini. Ini sekaligus menambahkan keunikan dan perbezaan berbanding di universiti lain. Sebagai anak luar bandar dan tidak bersekolah agama, saya melalui pengalaman menarik mempelajari kedua-dua bahasa ini. Dalam ujian penempatan (placement test) BI, saya perlu masuk ke level paling asas dengan kod Low Language Competence menggunakan buku teks Betty Schrampfer Azar berwarna merah tatkala rakan-rakan lain mengusung buku teks berwarna hitam. Ada yang terus exempted dan boleh berbicara dengan berabuk. Malu? Ketepikan perasaan itu. Memulakan dari asas ada baiknya.

Untuk BA, memang perlu bermula dari asas. Maka kami pun belajar menyebut perkataan Arab satu persatu. Bagi tahun pertama di matrikulasi, kami belajar bahasa selama setahun. Pengukuhan bahasa amat perlu sebagai asas untuk menghadapi tahun mendatang yang lebih hebat cabaran berbahasa memandangkan BI dan BA digunakan sepenuhnya. Bagi yang melangkau kelas, mereka dapat mengurangkan semester pengajian matrikulasi dua tahun kepasa satu tahun setengah atau satu tahun jika benar-benar mahir berbahasa. Hanya perlu ambil subjek asas selama dua semester sahaja.

Kembali kepada BA. Dalam level satu, kami menerima kehadiran dua orang ustaz. Seorang Melayu dari Melaka yang bila di dalam kelas asyik menyebabkan kami ketawa. Ustaz Ali namanya. Ustaz kedua berasal dari Tanzania, namanya Ustaz Omar. Agak excited juga bila dapat Ustaz negro yang baru saya tahu menggunakan BA sebagai bahasa kedua. Belajar BA dengan bukan ustaz Melayu menyebabkan kami perlu mengikut lenggok lidah Afrikanya yang sedikit pelik. Tetapi Ustaz Omar tidak sesekali naik angin atau putus asa dengan kami. Dia mahu setiap orang dari kami menyebut setiap perkataan dengan betul sehingga dia puas hati. Misalnya disuruh kami menyebut Malizi dan nazzarah berpuluh kali sehingga dia puas hati kami dah boleh ikut kehendaknya. 

Dalam kelas Ustaz Omar, dia menggunakan BA sepenuhnya kerana tidak begitu mahir BI. Dia bercakap dan menerangkan bersungguh-sungguh meskipun kami tak faham sepatah haram. Namun itu mempercepatkan pemahaman kami terhadap BA. Tambahan pula level 1 hanya belajar mengenali perkataan dan dialog ringkas. Belum lagi masuk nahu dan karangan panjang. Dalam kelas Ustaz Ali, dia banyak bercerita dan berselang seli mengajar. Mungkin dia mahu tarik perhatian kami dengan cerita-cerita lucunya agar mudah kami faham apa yang cuba disampaikan. Masuk ke kelas Ustaz Ali jarang mengantuk kerana ada sahaja kisah lucu yang disampaikannya.

Sebagai pelajar jurusan Ekonomi, saya perlu ambil BA sebanyak empat semester atau belajar empat buku teks. Dua level di matrikulasi dan dua level lagi di main campus. Selepas belajar di kelas, balik rumah mengulangkaji dnegan teman serumah yang kebanyakannya dari sekolah agama. Merekalah yang menjadi pakar rujuk tambahan dalam meminta penerangan apa yang dipelajari dalam kelas sebelum ini. Di main campus, saya mula belajar buku tiga dan empat yang kian berat. Masuk buku empat saya kian hilang punca. Semakin sukar saya rasa, apatah lagi ketika itu sekelas dengan teman yang melangkau level. Merekalah yang banyak menjawab. Masuk pula bahagian tatabahasa yang kian memeningkan. Saya lulus cukup makan sahaja untuk level 4. Tapi memadailah, kerana BA tidak masuk dalam CGPA tetapi merupakan university required subject, kena ambil, kalau tak tak graduate.

Bila kenang kembali pengalaman belajar BA, saya rasa rugi bila banyak melupakan apa yang dipelajari. Tiga buku teks (level 4 tak beli, cuma pinjam), saya bawa pulang dari kampung. Berhasrat benar nak belajar balik BA biarpun belajar sendiri. Tetapi rupanya Allah mernacang lebih baik dari itu. Cikda menanda saya dalam FB tentang usaha seorang  budiman yang membuka kelas BA percuma di Sungai Merab. Bagai orang mengantuk disorokan bantal. Lokasi dekat dengan pejabat, percuma, seminggu sekali sebelah malam dan dengan siibus terbaik yang menjanjikan kita boleh membaca al-Qur'an dengan lancar selepas empat atau lima tahun, maka ini sangat nengujakan. Pengalaman tenaga pengajarnya sungguh menakjubkan, dan dia meskipun belajar skeolah agama dan belajar BA mengakui masih tidak faham nahu. Saya akan ceritakan nanti pengalamannya. Dan kesempatan ini saya ambil dengan sepenuhnya, belajar dengan hati yang bulat dan bersungguh supaya dapat faham al-Qur'an dan berbahasa dengan baik.

Hajat saya untuk belajar BA itu Allah makbulkan dnegan cepat. Saya tidak mahu mempersiakan peluang ini. Saya mahu belajar Bahasa Arab dengan bersungguh-sungguh supaya dapat faham al-Qur'an dan berbahasa dengan baik.

Tiada ulasan: