Ahad, April 13, 2014

Apa yang kamu tuliskan

Suatu hari dalam satu perbualan dengan sekumpulan kawan, saya terdengar seorang darinya berkata, "zaman sekarang ini zaman FB. Kita kena beritahu orang lain apa yang kita buat. Kalau tidak, kita dianggap tidak melakukan apa-apa".

Saya sedang rancak berbual ketika itu terus terdiam mendengarnya. Mengapa begitu sekali persepsinya terhadap kegunaan laman sosial? Atau apakah dia anggap orang yang meletakkan status dalam laman sosial itu dianggap sebagai mahu memberitahu atau menunjuk-nunjuk.

Apabila pulang, saya tuliskan kata-kata tadi dalam buku catatan. Saya cuba refleksi diri kembali. Apakah status yang saya letakkan dalam FB bertujuan menunjuk? Apakah niat saya mendapat like yang banyak bertujuan riak? Apakah saya mahu orang dengar semua kata-kata saya, mahu semua orang bersetuju dengan status saya, yang apabila ada orang yang cuba berbeza pendapat saya anggap dia tidak sebulu dan cuba melawan. Lalu di-unfriend-kan?

Apa niat saya menggunakan media sosial sebenarnya?

Pada hari yang lain, saya terbaca pula satu status. Katanya, meskipun tujuan kita meletakkan status bertujuan berkongsi rasa, janganlah sampai niat kita itu bertukar menjadi riak hingga gugur segala tujuan asal. 

Perkara ini memang saya risaukan, sebab itu saya sering mengingatkan diri dan kawan-kawan supaya jangan sekali-kali mendabik dada dengan apa yang kita lakukan. Bukan kita sahaja yang turun mengajar di rumah anak yatim. Bukan kita sahaja yang punya masa menyantuni anak yatim. Macamlah tak ada orang lain yang buat. Macamlah kita seorang yang buat. Seolah-olah kita sahaja yang ada masa dan orang yang tidak menyantuni anak yatim atas alasan masa itu dianggap berdosa. Seperti pahala anak yatim itu untuk kita sahaja. Saya risaukan kata-kata nakal orang yang membenci, seolah nanti kita sahaja layak ke syurga. Seolah orang lain duduknya di neraka. Hanya kerana menjauhi anak yatim. Bukankah nanti, siapa ke neraka siapa ke syurga Tuhan juga yang tentukan. Bimbang pula jika kita terlalu mendabik dada dan menyalahkan, bukan syurga nanti tempat kita akibat mulut yang tidak berhati-hati bersuara.


Banyak kesannnya bila melibatkan diri dengan kerja kebaikan. Mutakhir ini pun saya sangat berhati-hati dengan apa yang saya letakkan di laman sosial. Saya cuba menjadi orang yang rajin memberitahu apa yang saya buat. Tetapi saya kelihatan berpura-pura. Itu bukan diri saya sebenarnya. Saya berhenti dari memperkatakan tentang diri sendiri. Jadi saya cuba bercerita apa yang saya lakukan. Ternyata itu pun kelihatan tidak ikhlas. Saya cuba bercerita tentang orang lain. Itu nampak lebih selesa. Tetapi FB bukanlah ruang yang sesuai untuk menyampaikan cerita. Blog harus menjadi ruang terbaik untuk berkongsi rasa. Tetapi ternyata, saya sukar membawa sesuatu yang berkenaan diri. Saya bukanlah mudah bercerita tentang diri sendiri. Apa yang boleh cumalah bercerita tentang apa yang saya rasai. Itu lebih asli terzahir.


Namun yang penting ialah, dalam blog yang kurang dipandang orang, saya lebih selesa menjadi diri sendiri dalam keadaan tidak ramai yang mengenali. Itu lebih selesa.


Namun say sentiasa berharap, Allah menyucikan hati saya dari sebarang perasaan riak, ujub dan takbur. Memang itulah doa yang saya panjatkan padanya setiap waktu.

Tiada ulasan: