Jumaat, Mei 09, 2014

Angan-angan kecil

Semasa kecil, macam-macam yang kita angankan. Bagi budak luar bandar dan terkeluar dari radar kemajuan, teknologi, kemodenan, kekayaan, apalah sangat cita-cita yang boleh saya katakan setiap kali cikgu bertanya. Kadang-kadang nak tulis apa cita-cita bila dewasa pun terasa sukar. Pekerjaan yang besar dan hebat ketika itu hanyalah cikgu. Itulah yang terdekat dengan kita. Cikgu terasa nampak suci dan ikhlas. Maka untuk pelajar perempuan, hampir satu kelas menjawab nak jadi cikgu. Ada seorang dua bercita-cita sebagai jururawat. Pelajar lelaki, selain jawapannya nak jadi cikgu, ada juga yang jawab mahu jadi askar atau polis. Begitulah cita-cita kami anak-anak sekolahan sekitar 80-an.

Bila menjejakkan kaki ke sekolah menengah, cita-cita semakin dewasa seiring usia. Rasa besar bila uniform bertukar warna dan sudah mempunyai kad pengenalan menjadikan kita melihat dunia ini dalam kaca mata yang lebih luas. Cikgu pun sudah mula membuka minda. Hakikatnya saya tidak pernah keluar dari kawasan rancangan. Di situlah saya tadika, sekolah rendah dan sekolah menengah. Naik basikal dan jalan kaki. Kawan sekolah pun sama dari tadika hingga tingkatan lima. Cuma da pertambahan sedikit di sekolah menengah dengan kawan-kawan dari kawasan berhampiran yang datang ke sekolah naik bas dan black maria (anak polis) seawal enam pagi. Kalau tidak, kami ini sahajalah, anak peneroka yang dikelilingi getah dan kelapa sawit.

Tetapi suasana sekolah, cikgu dan kawan banyak merubah pemikiran. Kita dah mula menukar cita-cita baharu. Saya ingat lagi, seorang kawan ketika di tingkatan empat bercita-cita mahu menjadi usahawan. Seperti saya masuk ke bilik yang terang benderang, barulah saya sedar rupa-rupanya ada cita-cita lain selain cikgu, jururawat, polis dan askar. Sebelum itu pun, saya dah mula bercita-cita mahu menjadi wartawan. Entah dari mana datangnya, saya fikir kerana sebuah drama yang saya tonton di tv. Tugas wartawan nampak mantap kerana sentiasa menulis berita dan membaca. Apatah lagi saya memang suka baca suratkhabar Berita Harian ketika itu, satu-satunya sumber ilmu yang menghantar sejuta maklumat ke rumah kami. Saya akui, menerusi BH, banyak maklumat saya dapat. Tak ada satu pun berita yang tercicir dari radar penglihatan saya. Semuanya di baca. Maklum sahajalah, buku sukar didapati ketika itu. Nak pinjam atau beli, jangan mimpilah. Duit pun tak berapa nak ada. Tapi kerana abah melanggan BH setiap hari, maka dunia kekampungan saya terbuka seluas-luasnya. Jadi, mudah untuk saya buat karangan, boleh menganalisis fakta dengan baik, boleh bercerita pada kawan tentang perang di Bosnia, Chechnya dan Iraq. Boleh beritahu tentang keputusan perlawanan bolasepak atau menyampaikan laporan tentang Piala Thomas, boleh ulas tentang politik, hiburan, isu semasa dan macam-macam lagi. (Macam hebat pula)

Ketika itu saya anggap kerjaya wartawan sangat hebat. Hebat. Mulalah saya berangan menemuramah ahli politik, siapkan berita, menaip laporan, berkejaran mencari berita, nama terpampang di dada akhbar, sentiasa sibuk dengan tugasan. Berangan dan berangan. Kemudian, apabila mendengar cita-cita kawan nak jadi usahawan, saya mula goyah. Cita-cita mula terbelah dua. Mahu jadi wartawan dan usahawan.

Dalam tingkatan empat dan lima, saya ambil subjek elektif ekonomi asas dan perdagangan. Itu sahaja yang ditawarkan kepada kami. Anak luar bandar tak layak ambil aliran sains kerana pasti akan gagal. Jadi kerana ini sahaja yang ada, maka banyaklah kami bermain dengan terma ekonomi, kewangan dan perdagangan. Cita-cita sebagai usahawan nampak jelas. Tapi masih mahu jadi wartawan. Ketika mengisi borang UPU, saya memilih UIA dengan pilihan pertama Matrikulasi Ekonomi (nak masuk UIA kena masuk matriks UIA dahulu). Bukan bersekolah agama dan memilih UIA seperti sesuatu yang menghairankan. Padahal, rakan lain pilih UKM, UM dan UiTM. Tapi ini berkat saranan emak (dia tak suruh, tapi bercakap sahaja). Dia kata, 'masuklah UIA sebab anak jiran belakang tu masuk UIA', walhal emak tak tahu apa pun tentang UIA. Pengetahuan saya tentang UIA pun samar. Saya cuma tahu ada dua orang cikgu yang baik dari UIA sahaja. Mungkin itu faktor mempengaruhi. Saya tidak membantah, isi sahaja. Bila dah berada dalam UIA, saya bersyukur kerana menuruti saranan emak. Memang saya anak yang baik :)

Apabila tawaran ke UIA diterima, sewaktu mengisi borang-borang yang banyak, saya berfikir agak lama apa cita-cita yang perlu ditulis. Oleh kerana memohon masuk ke Matrikulasi Ekonomi, maka saya ingat lagi jawapan saya ketika itu, Businesman. Agak lama saya pegang cita-cita itu, yang kemudiannya saya tukar padamkan selepas saya menerima segulung ijazah. Kenapa padam? Nanti saya ceritakan dalam entri lain (bila rajin menaip atau kalau ingat).

Sebenarnya, saya mahu cerita tentang cita-cita sebagai wartawan. Selepas berada di kampus Gombak untuk pengajian Sarjana Muda Ekonomi, ketika itu bom jangka reformasi meletus. UIA menjadi papan target politikus menalakan senjata dan muncung meriam. Anwar Ibrahim yang sinonim dengan UIA menyebabkan kami anak muda di dalamnya bangkit. Suratkhabar dibakar. Media dikesampingkan. Ketika itu belum ada blog, website, twitter atau FB. Apatah lagi telefon bimbit. Tapi maklumat dapat disampaikan dengan pantas.

Saya mula hilang kepercayaan untuk membaca suratkhabar atau menonton berita. Tahap kepercayaan kepada akhbar hancur musnah. Cita-cita sebagai wartawan saya padamkan dengan sekali hembus. Tapi saya hanya mahu menulis. Biar pun bukan sebagai wartawan. Bagaimana mahu menulis, itu satu teka teki, yang tak pernah saya perlihatkan pada kawan-kawan. Oleh itu, apabila mereka melihat saya dalam ruang penulisan dan penerbitan seperti sekarang ini, ramai bertanya bila saya bermula. Hanya seorang dua sahaja yang tahu siapa saya di UIA.

Berbalik pada wartawan. Pada Khamis, 17 April, saya dijadulkan bersama bos untuk ditemuramah oleh wartawan BH tentang majalah Qalam. Perasaan teruja menyelimuti diri saat diminta pergi bersama-sama. Balai Berita Jalan Riong pernah menjadi tempat yang saya cita-citakan untuk jejak dan membina kerjaya yang kemudiannya saya padamkan. Namun takdir Tuhan mendahului perancangan manusia. Saya jatuh demam yang teruk secara tiba-tiba pada malam Selasa. Rabu saya dijadualkan mengendalikan Bengkel Kefasihan Jawi tapi tak berdaya nak bangun. Terasa ralat jika melepaskan peluang ke Balai Berita. Khamis saya bangun, gagahkan juga badan, tengahari itu memandu ke pejabat dan kemudian ke Jalan Riong. Rasa segar tiba-tiba dapat melihat pejabat yang tersergam indah ini. Senyuman di bibir tak lekang terukir. Cita-cita masa kecil tiba-tiba kembang mekar, saya seperti salah seorang yang berada di balai berita. Yang menunggu di lobi itu adalah saya. Yang menyambut tetamu adalah saya. Yang menemubual adalah saya. Yang menangkap gambar adalah saya.

Temubual berlangsung hampir sejam. Pada akhirnya sempat berbual tentang akhbar Berita Harian. Wartawan memberitahu berita yang mungkin orang lain dah tahu. "Akhbar susah nak hidup sekarang ni. Kita dah buat macam-macam cara supaya laku. Akhbar pun dah tukar saiz tabloid, ambil penasihat pemasaran luar negeri untuk beri khidmat nasihat. Tapi jualan tetap jatuh merudum. Harian Metro sahaja yang tak turun-turun."

"Kenapa?" Tanya saya. "Adakah kerana saingan media sosial?"

Wartawan tak menggeleng atau mengangguk. "Portal berita online dah banyak. Malaysiakini, Malaysia Insider semua kemaskini berita setiap saat. Kita keluarkan akhbar esok hari, dah jadi lambat. Semua orang ada gajet ditangan, boleh akses maklumat dengan cepat. Itulah cabaran. Lagi pun style berita dah kurang orang baca, ramai mahu baca cerita. Tapi kita ini akhbar, bukan semudah itu nak tukar gaya berita kepada cerita. Nanti dah jadi macam majalah dengan style jurnal."

Saya fikir apa maksudnya. Cabaran teknologi makin memudahkan capaian kita kepada sumber. FB dan twitter sudah jadi saluran berita meskipun banyak yang palsu dari nyata. Suratkhabar yang tiba esok seperti menyampaikan berita basi ketika orang lain sudah pun mendapat maklumat terkini dari apa yang dituliskan semalam. Mungkin akhbar sesuai untuk pembaca di luar bandar yang tidak mempunyai akses teknologi?

Kami bersurai selepas itu. Saya tak mengambil walau sekeping gambar pun di Balai Berita kecuali ketika sesi temubual. Entah lupa kerana demam, atau terlalu gembira atau kerana cerita merudum tadi, esoknya saya menyesal kerana tidak mempunyai tanda pernah menjejakkan kaki ke Balai Berita. Entah bila kan berpeluang lagi.



Namun apakah saya menyesal tidak menjadi wartawan, saya rasa sudah dapat jawapannya. Melihat bagaimana kenalan yang berkerjaya wartawan bekerja, saya kira tak perlu merasa kecewa atau menyesal. Dalam kerjaya sekarang pun, saya boleh menjadi pelapor dan menuliskan berita, kalau pun tidak menjadi wartawan sebenar.

Itulah antara cita-cita kecil dahulu yang dari angan-angan kemudian dipadamkan dan membina harapan dan angan-angan baharu.

Tiada ulasan: