Selasa, Mei 13, 2014

Lari dari kesengsaraan

Alamat Zo Children School kalau dibaca betul-betul ditulisnya Wangsa Permai. Dalam fikiran kita biasanya Wangsa tu akan merujuk pada kawasan Wangsa Maju, Setiawangsa dan kawasan sekitarnya. Tapi ini, bukan. Malah saya tak boleh nak bayangkan di mana letaknya. Bila di Google, kelihatan lokasinya di sempadan Bandar Sri Damansara dan Selayang. Ketika melihat alamatnya, agak pelik untuk mengagak, di manakah lokasi sebenar EP keempat Teach For The Needs ini.


Teragak-agak ketika mencari lokasi. Dari maklumat awal yang saya dapat, sekolah ini terletak dalam lot rumah kedai. Jadi sudah pasti tiada papan tanda, tiada penada arah. Selepas memakir dan membuat panggilan bagi mengesahkan lokasi, kami akhirnya bertemu dengan Mr Daniel. Beliau merupakan penyelia sekolah dan kemudiannya dapatlah kami ketahui yang dia juga merangkap guru dan pastor.

Suasana sekolah - kalau pun boleh dinamakan sekolah, bukanlah sebuah sekolah dalam erti kata yang sebenarnya. Usahlah kita bayangkan ZCS sebagai sekolah yang lengkap, ia jauh dari apa yang kita sangkakan. Terletak dalam deretan rumah kedai, ZCS menggunakan tingkat kedua dan ketiga. Ketika masuk, suasana kelihatan muram dan kelam. Tetapi Mr Daniel dan seorang temannya yang nampak gembira dengan kehadiran kami. Kami pun tidaklah lewat tiba, memang tepat pada masa. Ketika itu ada kurang lebih lima orang anak-anak sedang duduk dan berbual, mungkin juga bermian. Tetapi suara mereka kuat dan mengganggu perbincangan kami memaksa Mr Daniel mengarahkan mereka berpindah ke bilik belakang yang bukan pun bilik tetapi ruang kecil yang diletakkan tirai sebagai pemisah ruang.

Kami berbasa basi, berkenalan dan bertanya sedikit soalan tentang ZCS. Maklumat yang ada pada saya tentang ZCS sangat minimum. Kedatangan ini pun sebenarnya untuk menghidupkan kembali tempat ini dengan kehadiran sukarelawan. Menurut Sydrah yang merupakan Project Manager di situ tetapi kini sedang menyambung pengajian di Australia, Mr Daniel baru-baru ini menghantar emel memohon bantuan pengajar di sana. Saya akan rasa bersalah jika legasi Sydrah dan teman sukarelawan yang pernah turun di situ tidak diteruskan kerana untuk tutup sebagai EP TFTN adalah pantang bagi saya.

ZCS ditubuhkan sekitar 2008. Dalam English yang tersekat-sekat Mr Daniel menyampaikan beberapa maklumat tentang sekolah ini. Memang di bawah UNHCR tetapi berapalah yang UNHCR boleh peruntukkan kepada ZCS jika banyak lagi pelarian sedang bermaharajalela memohon bantuan. Masih tidak cukup serba serbi dan memerlukan bantuan sukarelawan untuk mengajar BI, Matematik dan Sains. "Kebanyakan mereka datang dari pedalaman, mahukan keselamatan keluarga dan meneruskan kehidupan. Oleh itu tidak ramai yang boleh berbahasa Inggeris. Jadi memadailah mengajar asas BI kepada anak-anak ini," kata Mr Daniel.

Katanya lagi, ibu bapa anak-anak ini bekerja pada waktu siang dengan apa sahaja pekerjaan yang boleh dibuat demi kelangsungan hidup. Anak-anak dihantar ke ZCS supaya dapat belajar disamping mengelakkan mereka dari berkeliaran tanpa tuju. Tambahan pula mereka berstatus sementara di Malaysia, sementara menanti dihantar ke negara dunia ketiga yang sudi mengambil. Oleh itu serba sedikit penguasaan dalam BI amat perlu.

Kami melihat-lihat sekitar dan meminta izin mengambil gambar. Dia tidak pun menghalang meskipun tiada apa yang 'cantik' pada mata kami. Tetapi kemanusiaanlah yang mencantikkan semu yang ada. Rasa kemanusiaan ini menyatukan hasrat, menjauhkan perbezaan, merapatkan jurang dan menyakinkan kami bahawa tanggungjawab adalah atas tanggungjawab semua ketika kami berbeza agama, bahasa dan budaya. Saya tidak tahu apa perasaan orang lain ZCS begitu mengharukan.

Ruang tingkat ataslah yang menjadi sekolah. Meja dan kerusi saiz budak tersedia dengan papan putih bersaiz sederhana untuk guru beraksi. Ada dua atau tiga kelas yang dibezakan mengikut usia. Tiada dinding pemisah antara kelas sebaliknya mereka duduk ikut kelompok usia. Sebelah menyebelah. Begitulah cara mereka menimba ilmu dengan segala kesederhanaan yang ada. Menurut Mr Daniel, sebelum ini sukarelawan turun pada pagi Sabtu. tetapi kini, Sabtu dan Ahad diperuntukkan untuk kelas agama bagi etnik Chin, termasuklah ibu bapa mereka. Ruang kecil di hadapan kelas diletakkan beberapa peralatan yang digunakan dalam kelas agama (sermon), termasuklah sebuah salib besar yang dilekatkan pada dinding. Terdetik dalam hati, mereka kuat pada Tuhan, yang mahu dijadikan tempat berpaut dalam keadaan sukar begini. Sesiapa pun akan mencari tuhan, cuma yang membezakan waktu bila kita memerlukan dia.

Mr Daniel membawa kami minum di kedai berhadapan. Agak keberatan menerima pelawaan beliau memandangkan kami ini datang sekadar melawat dan membincangkan legasi TFTN di ZCS yang terputus beberapa bulan. Tapi niat ikhlas beliau terzahir dari kata-katanya yang minimum, yang hampir berpuluh kali bertanyakan nama kami dan bersungguh-sungguh mengajak makan dan minum, maka tidak mungkin kami tolak begitu sahaja. Berulang kali dia mengucapkan terima kasih atas kesungguhan kami datang dari jauh meskipun Shah Alam dan Semenyih bukanlah apa-apa bagi kami. Dia juga menghargai kesudian kami memanggil sukarelawan mengajar anak-anak pelarian Myanmar dari etnik Chin.

Sempat juga bertanya beberapa soalan dalam waktu yang terbatas. Mengapa Aung San Su Kyii senyap ketika ramai rakyat Myanmar disiksa? Apakah yang menyebabkan mereka lari meninggalkan negara sendiri? Rupanya bukan etnik Rohingya bergama Islam sahaja yang menjadi pelarian, etnik Chin beragama Kristian pun menjadi mangsa kekejaman junta tentera Myanmar. Meskipun majoriti dari mereka beragama Buddha, nampaknya agama tidak cukup menjadikan mereka berbaik-baik sesama etnik.

ZCS turut menerima sumbangan kecil-kecilan dari penduduk setempat yang bila saya meneliti keadaan persekitaran, bukanlah dari kalangan mereka yang betul-betul berada. Tetapi memberi bukanlah sesuau yang asing buat mereka.  Masyarakat di sini dibesarkan dalam persekitaran yang keras, menjadikan mereka sangup buat apa sahaja untuk hidup. Saya melihat mengutip sampah dan memerhatikan hasil kutipan mereka. Memerhatikan wajah gembira mereka bila dapat 'sampah' yang mahal harganya. Melihat kegembiraan anak-anak di kaki lima kedai. Dada rasa berombak kencang.

Oleh kerana Sabtu dan Ahad diperuntukkan bagi pengajian agama, maka sukarelawan cuma diperlukan pada hari bekerja, ketika anak-anak ada di sana.Setiap hari Isnin - Jumaat, dari jam 10am - 2pm (rehat 1-2pm), datanglah untuk mengajar mereka BI, Matematik dan Sains agar mereka boleh kenal dunia.

[Versi panjang yang telah ku ubahsuai dari status FB bertarikh ...]

Tiada ulasan: