Sabtu, Mei 10, 2014

Selepas menonton teater Di bawah Lindungan kaabah

Malam tadi menonton teater Di Bawah Lindungan Kaabah. Sebenarnya tak tahu pun kewujudan tetaer ini. Ketika ditelefon oleh wartawan Kosmo untuk membuat temubual tentang Hamka, saya terheran-heran apa yang menyebabkan Hamka untuk dijadikan fokus akhbar? Mungkin ada sesuatu. Rupa-rupanya ada pesembahan teater yag bermula 9 hingga 18 Mei. Kebetulan juga Ahad nanti ada Wacana Jejak Tarbiah Hamka di UM yang telah saya daftar. Kebetulan punya masa, isikanlah dengan aktiviti yang bermanfaat.


Bersama dua komrad konon sebagai upah hasil sengal badan dan sakit urat kerana mengangkut buku untuk TFTN 1 Mei lalu, kami pun bergerak ke Istana Budaya. Isi perut dan tenaga dahulu di Bangsar sambil melepaskan kesesakan jalan dan hujan lebat pada petang Jumaat. Kereta pun baru keluar wad selepas dua hari tersadai di UM dan Shell Sungai Besi. Kami tiba beberapa minit sebelum teater bermula, duduk di tingkat atas untuk tiket murah. Ya, asalkan dapat menonton.


Teater ini mendapat sokongan dari beberapa penaja besar seperti FVGH dan Fareeda serta dinaungi oleh isteri Perdana Menteri yang kita kasihi lagi kita sayang. Barisan pelakonnya bukan calang-calang. Tenaga produksinya apatah lagi. Teruja juga menonton, meskipun saya  agak skeptikal dengan kemampuan orang Malaysia mengadaptasi novel ke pentas lakonan. Ok, cukup judgemental kan.


Sehabis teater, banyak pula nak dikomen. Maka saya senaraikan di sini, dalam blog ini. Kalau ada yang baca, berlapang dadalah. Kalau tak ada yang baca, maka tulisan ini untuk diri sendiri sahaja.


1. Propsnya banyak sehingga dilihat ganggu kelancaran plot. Meskipun cantik yang menggambarkan suasana Minang dengan gaya bumbung tanduk kerbau, banyak props yang keluar masuk seolah-olah nak dikekalkan semua suasana dalam buku. Pada pendapat saya yang hakir lagi daif, memadailah serba satu props sahaja. Nampak serabut bila asyik disorong masuk dan keluar


2. Costum tidak sesuai zaman. DBLK berlatar belakangkan zaman 1930-an di Sumatera atau lebih tepat di Padang. Jadi kita boleh bayangkan pakaian pada zaman itu. Tudung, baju, kain jubah, seluar dan abaya harus mengikut latar masa. Apabila penaja F yang terkenal dengan tudung dan pakaian serba moden, maka costum menjadi pelik. Ini zaman sekarang atau zaman 30-an?


3. Tudung terlalu fancy untuk zaman itu. Dapat dilihat jelas pada pemeran Zainab dewasa (perlukah sebut namanya? Hah!) yang gaya tudungnya pelik. Begitu juga dengan pelakon tambahan yang mengenakan tudung yang putar-putar alam, terjurai dan ada juga tudung moden. Jadi, tidak sesuai dengan zamannya


4. Miming jelas nampak pada berapa lagu. Cuma Zahid yang boleh dipuji kerana boleh menyanyi live


5. Tidak seperti biasa, tiada muzik live. Oh lupa, ini bukan teater muzikal, maka dimaafkan.


6. Ada pelakonnya kaku, sangat nampak pada Hamid dewasa (pelakon A yang terkenal itu). Dialognya lambat keluar pada beberapa babak. Suaranya tenggelam dan mendatar. Saya maafkan dia kerana ini hari pertama


7. Terlalu fokus pada tudung hingga lambat naik ke props. Ada pelakon tambahan kelihatan berlari-lari sambil memegang tudung, tak sempat pakai dengan kemas. Tudungnya juga, seperti no 3, tidak sesuai dengan zamannya


8. Tudung mengganggu pelakon. Pada satu babak ketika Hamid dan Zainab dewasa bertemu di rumah, Zainab dewasa asyik menyelak tudungnya ke belakang kerana asyik jatuh. Kasihan juga dengan dia, puas di selak, selak, selak hingga mengganggu babak sedih. Tak jadi nak bersedih


9. Pelakon tambahan memakai jubah yang nampak gayanya seperti sebuah teater sempena Ma’al Hijrah. Sekali lagi, tidak sesuai dengan zamannya


10. Namun begitu saya puji babak terakhir ketika tawaf di Kaabah. Nampak suasana yang sebenar seperti di hadapan Baitullah. Saya mengatakan ini kerana pernah berada disana dan berhadapan dengan situasi tolak menolak dan bersesak-sesak. Saat ini nampak sejadi dengan suasana


Komen kecil ini turut sama dikongsi oleh teman-teman. Belanja yang besar dikeluarkan saya kira untuk props dan costum. Usaha ini dengan gandingan syarikat korporat patut menjadi satu budaya pada produksi lain tanpa memilih produksi tertentu. Ada teater berskala kecil yang hidup dan berjiwa. Ada teater yang gah pada promosi kurang menjadi lakonan mereka. Tapi peranan penaja menimbulkan kesan yang besar pula kerana perlu memastikan penaja juga mendapat bahagiannya dalam teater ini, misalnya dari aspek promosi dan publisiti terhadap produk. Itulah yang terserlah pada tudung, jubah dan baju yang menampakkan kejanggalan. 

Puas juga hati saya kali ini, kerana teater ini bukan bertaraf muzikal yang selalu dimainkan di IB. Apatah lagi dengan usaha mengangkat teks lama dari novel pujangga Hamka memerlukan ketelitian sepenuhnya dari segi latar, props dan costum agar sepadan dengan latar novel ini berlangsung. 

Walau apa pun, tahniah kerana membawa Hamka dekat dengan masyarakat.







4 ulasan:

Fahmi Kashfi berkata...

hmm. baru follow blog kak. lambat nya saya. boleh belajar jadi penulis gini.

Norziati Mohd Rosman berkata...

Alamak. Macamana boleh jumpa?

Raja Azrul berkata...

Salam. Saya pun dah menonton. Insyaallah tengah mengarang komentar dari pandangan peribadi saya pula.

Raja Azrul berkata...

saya dah menonton. Memang banyak kelemahan.

Cerita meleret.. pelakon berlakon tangkap muat.