Rabu, Mei 21, 2014

Sistem

"You looks familiar."

Saya yang sedang mencapai spaghetti melopong memandangnya. Perlahan-lahan spaghetti yang sedang diceduk, mendarat ke pinggan. Hampir-hampir sahaja tadi terlepas dari pegangangan.

"You study UIA?" Saya angguk.

"Task Force Rakan Muda?" Ya, saya  angguk lagi. "Tuan?" Soal saya dengan nada hormat. Dia hulur kad. Tak dapat saya teka siapa dia. Senior, mungkin. Tetapi namanya tidak berdaftar langsung dalam memori saya.

Dia duduk bertentangan saya, mula mengunyah sambil saya cuba menyelak ingatan. Siapakah dia. Kalau Task Force Rakan Muda, mana mungkin saya lupa semua insan yang ada di dalamnya. Insan yang berjiwa besar dengan semangat kesukarelaan yang menyala-nyala saban masa.

Kadnya tertulis dia adalah Pegawai Kaunseling di sini. Saya masih mengerutkan dahi, dia perasan. "Orang panggil saya nama lain," katanya. Lalu menyebutkan nama panggilannya. O, saya senyum dan angguk. Namanya selalu saya dengar tapi ini kali pertama saya bertemu tuannya. Saya hulur kad. Dia senyummelihat tulisan Jawi yang tertera. Saya sudah biasa, ini selalu berlaku.

"Syarikat ini buat apa?" Saya menerangkan dengan ringkas sambil ulut sekali sekala mengunyah. "Saya dahulu belajar Ekonomi, tidak ada kena mengena dengan apa yang saya buat sekarang." Disclaimer.

Dia angkat bahu. "Ini menarik. Susah nak jumpa orang yang keluar bidang."

"Tapi saya selalu jumpa. Mereka mencari apa yang mereka mahu. Kemudian mereka bahagia dengan apa yang mereka jumpa."

Dia angguk.Perbualan kami lancar selepas itu. Entah macam mana, masuk ke topik serius. Tentang mahasiswa yang menuntut di IPT-nya.

"Mereka diperangkap oleh sistem. Bukannya terperangkap dengan sistem. Mereka tidak mampu untuk keluar."

Saya memasang telinga. Mendengar.

"Saya berhadapan dengan pelajar yang masuk kerana tiada pilihan kursus lain, yang kerana dipaksa oleh ibu bapa. Akhirnya, mereka tak mampu bawa subjek, tak dapat buat assignment, tak boleh hormat pensyarah kerana tidak tahu apa yang mereka mahu."

Ini bukan perkara biasa, ini selalu yang kita dengar.

"Itu belum lagi yang belajar tapi tak tahu apa yang mereka mahu. Tak jelas masa depannya, prospek kerjayanya. Mereka inilah yang menyebabkan berambahnya masalah disiplin di IPT kerana tidak dapat menggunapakai ilmu yang dipelajari dengan keinginan diri. Keliru."

Masalah ini sudah menjadi lumrah. Tapi ya, siapa yang mahu peduli? Bukankah nanti mereka akan tamat dengan segulung ijazah dan menyertai pasaran kerja dengan jumlah tenaga buruh yang melimpah?

"Bukan persekitaran yang salah sekarang ini. Sistem yang telah nyata salah. Sistem telah membentuk mereka untuk duduk dalam tempurung dan mereka tidak mampu menolak tempurung itu untuk mendapatkan cahaya. Mereka telah terperangkap. Akhirnya membeku di situ hingga akhir hayat."

Saya kuis saki baki spaghetti yang tinggal lalu bangun menambah hidangan yang kian racak. Perbualan kami bersambung lagi selepas itu...




Tiada ulasan: