Sabtu, Mei 17, 2014

Skala besar

Ketika itu saya dan Ummu menunggu dalam kereta di kawasan parkir Hotel Seri Malaysia Ipoh. Kami telah bertolak dengan dua kereta sejak awal pagi dari lokasi masing-masing menuju ke Sungai Buloh, kemudian ke Tanjung Malim, Teluk Intan dan berakhir di Manjoi. Lokasi terakhir tiba pun dah malam, dan yang menunggu pun begitu sabar memastikan kami tiba dengan selamat apatah lagi ketika itu musim hujan lebat melanda menyebabkan pergerakan tidak begitu lancar.

Saya tidak memandu kerana masih belum kebah dari demam yang teruk. Namun begitu duduk di sisi pemandu perlu kemahiran tertentu supaya si pemandu tidak merasa tersisih melihat penumpangnya tidur manakala dia seorang berjaga, selain perlu melawan kantuk dan menunjuk arah jalan. Maka berbakul-bakul cerita keluar dari mulut saya, sehingga sampai satu tahap saya terfikir yang saya terlalu banyak bercakap, tak bosankah mereka?
 Akibatnya, pelbagai cerita yang tidak dirancang pun keluar. Hah, memang ada cerita yang bagus dikongsi, ada yang seeloknya disimpan untuk diri sendiri sahaja. Ada sesetengahnya boleh membangkitkan riak pada diri, atau lebih tepat sum'ah. Kerana ketika itu kita bercerita untuk impress, bukannya to express. Bila tiba-tiba rasa begitu, maka nada suara pun saya perlahankan. Sudah terlebih kongsi rupanya.

Tiba-tiba saya buat pengakuan yang saya tidak pernah pergi ke program agama yang bersifat besar-besaran. Contohnya konvensyen blablaba atau seminar blablabla atau talk dari pendakwah atau penceramah luar yang selalu menjadi tumpuan, misalnya Yasmin Mogahed, Nouman Ali Khan, Shaykh Hamza Yusof, Zakir Naik atau sesiapa sahajalah. Tiada sebab saya nyatakan dan pengakuan itu terhenti di situ.

Ketika ditinggalkan dalam kereta dalam parkir berhadapan hotel, Ummu tanpa diduga bertanya kepada saya tentang pengakuan tadi. Kenapa katanya, kenapa saya tidak berminat untuk pergi. Saya terdiam beberapa detik mendengarkan soalannya. Saya juga bertanya kembali kepada diri sendiri, kenapa? Saya menjawabnya tetapi jawapannya ringkas dan saya tidak pula berpuas hati dengan jawapan itu. Soalan itu bermain-main dalam fikiran beberapa hari dan saya mencari jawapannya. Setelah merasa yakin, saya menghantar mesej kepada Ummu menerusi FB.

Seingat saya, cuma dua kali saya pernah hadiri ceramah berskala besar. Kedua-duanya ketika Tariq Ramadan datang ke Malaysia pada 2012. Ketika itu pun sebenarnya atas kapasiti TFTN yang diundang untuk memenuhi satu meja. TFTN baru ditubuhkan ketika itu dan kehadiran saya adalah bagi meraikan jemputan dan TFTN yang baru membina jaringan dalaman dan luaran. Sesama kami pun masih belum mengenali. Sesi pertama Tariq Ramadan ialah ketika di Renaissance Hotel sempena acara minum petang dan beberapa hari kemudian di UIA pada sebelah malam.

Soalan Ummu itu, antara lain yang dapat saya fahami ialah: jika tak pergi talk, dari mana saya boleh dapat ilmu-ilmu atau maklumat yang sewaktu dengannya, atau lebih tepat lagi tentang hal sekitar agama. Oh,, betul juga. Dari mana datangnya kefahaman saya tentang agama jika menolak program seperti itu? 

Sejujurnya saya menolak kerana saya tidak selesa berada dalam lingkungan ramai. Ada kata introvert. Mungkin juga selected introvert (wujudkah?). Kadang-kadang rasa ok, kadangkala kekok sangat. Ada kalanya terasa hilang dalam ramai dan tenggelam dalam suara. Jika datang ditempat seperti itu pun, saya akan bawa diri sendiri, pergilah ke tempat yang tidak berorang untuk membuang keriuhan. Berada ditempat yang luar dari keramaian adalah untuk refleks balik diri akan segala apa yang berlaku. Memang sejak dulu saya selesa berseorangan atau dalam kelompok kecil. Lebih selesa.

Jadi, dari mana datangnya kefahaman terhadap sesuatu perkara, apatah lagi agama menyuruh kita belajar dengan mencari guru. Namun definasi guru itu pun pelbagai sifatnya, bukan?

Jawapan pertama kepadanya ialah membaca. Membaca dengan buku yang betul. Kalau tak faham, tanya pada orang yang betul atau simpan dahulu soalan hingga bertemu dengan jawapannya di kemudian hari. Ini memerlukan kesabaran yang bukan sedikit Maka jika mahu jawapan yang cepat, perlulah rajin mencari. Doa juga perlu, supaya dipercepatkan kita bertemu jawapan dan diterangkan hati agar mudah faham tanpa rasa keliru.

Kedua, kawan. Perlunya kawan yang betul. Dia boleh menunjukkan dan membantu. Saya tidak pernah mengangkat seseorang itu sebagai sahabat baik tetapi meramaikan jumlah kawan. Dalam keadaan introvert ini pun, saya pastikan ada kawan yang ramai. Maksudnya sentiasa membina dan membaiki jambatan, bukan memusnahkan. Sesekali bertanya khabar. Sesekali hantar mesej dengan sekadar berkata hai. Bukannya ada apa-apa, sekadar nak tahu dia masih ada di situ.

Ketiga, ya, bukannya langsung tak pergi dengar ceramah, ada juga yang pergi tapi saya memilih dalam skala kecil. Kadang-kadang bila tersinggah surau atau masjid, saya duduk kejap dengar tazkirah. Kita ini  bukannya ada masa sangat pun untuk mengikut acara penuh dari awal hingga akhir. Ukur baju di badan sendiri, tetapi bila ada masa ambillah peluang untuk mendengar dengan sepenuh jiwa. Jangan merendahkan keupayaan penceramah jika terdengar dia tergagap-gagap dalam menyampaikan. Usah bersangka buruk dengan pengisian kerana kita ini cetek ilmu, bergurulah tanpa rasa negatif. Berlapang dada akan memudahkan ilmu menyusup ke dalam hati.

Keempat, zaman teknologi sekarang ini, banyak cara boleh dapat sumber ilmu YANG BENAR. Youtube banyak sharahan baik. Ada orang kata tak bagus sebab tak duduk berdepan dengan guru. Tapi dalam keadaan kita terhalang oleh masa, apa yang ada itu gunalah kan? Habib Ali ada video sependek dua minit. Nouman Ali Khan pun sharahannya dalam sepuluh minit. Sewaktu rehat tengahari, dapatlah kita dengar tazkirah ringkas. Kalau ada masa, dengarlah syarahan yang panjang. Radio Ikim setiap jam 5.15 juga menjadi ruang untuk menambah pengetahuan ketika dalam perjalanan pulang. Bila tiada kerja yang perlu diselesaikan lewat petang (atau dah selesai semuanya), saya akan segera pulang bagi mendengar siaran IKIM dalam kereta. Ya, jangan tak percaya.

Kelima, saya ada penyakit selected reading. Ada beberapa blog atau website yang selalu saya jenguk untuk tambah ilmu (insha-Allah, boleh bertambah). Selalunya website Ustaz Pahrol, Ustaz Hasrizal selalu saya keluar masuk. Beberapa hasil penulisan oleh penulis yang baik juga saya ikuti, misalnya Hlovate (jangan tak percaya), Angel Pakai Gucci (baru follow) juga blog persendirian yang saya masuk sesekali. 

Namun yang penting sekali yang tidak saya katakan padanya sebelum ini ialah saya mendapat banyak kefahaman dan tambahan ilmu dari manusia di sekeliling saya. Ketika memandu dan melihat orang jalan kaki, kita akan insaf dengan diri dan berfikir akan nikmat memandu. Ketika menunggang motor dan disimbah hujan, maka saya segera sedar nikmat yang Tuhan sampaikan dalam keadaan basah di atas jalan. Ketika melihat makcik membawa plastik menjaja keropok dari kereta ke kereta saya teringat pada emak di kampung dan berdoa agar makcik ini segera dikurniakan rezeki yang memadai untuk dia berhenti dari menjaja hingga lewat malam. Banyak yang ada disekeliling kita yang boleh dijadikan tanda ingatan. Itulah yang menjadikan saya berfikir tentang diri dan sentiasa muhasabah akan kekurangan dan kelebihan yang ada.

Dengan ilmu yang tidak banyak itulah selalu dapat saya kongsi kepada kawan-kawan bila bertemu. Dari perbualan itu, selalunya mencambahkan perkara lain yang membawa kita untuk berfikir lagi dan lagi. Manusia hidup dengan kisah dan cerita maka kisah dan cerita itu adalah bekalan untuk kita mengubah dan membaiki diri. Saya seorang terbuka dan open to critic, mungkin ini memudahkan untuk saya menerima dan memberi. Saya sudah dinasihatkan kesan-kesan dari sifat ego dan marah dan malas dan bangga diri dari guru positif saya suatu ketika dahulu. Maka atas sifat terbuka dan mudah menerima itu (agaknya), banyak jalan dibuka untuk membetulkan diri. Ini bukanlah sesuatu mudah. Meletakkkan ego ditelapak kaki dan memijaknya hingga lumat. Ia tidaklah semudah kata-kata. Ego itu mudah datang balik mendakap hati, memaksa kita membesarkan diri melalui kata-kata dan tindakan. Kalaulah tidak berlapang dada dan ikhlas, makin besarlah ego itu meraja dihati. Apatah lagi, bukannya mudah memujuk orang yang suka merajuk, melenturkan hati yang keras, menunjukkan jalan pada orang yang degil, berkata-kata pada orang negatif, menarik kawan-kawan pada jalan yang benar, mengajak kepada perkara kebaikan. Ada masanya kita merasa letih kerana terlalu banyak bercakap dan mengorbankan perasaan sendiri untuk menerima makian, cercaan atau jelingan orang lain tetapi jika dahulu Nabi berhenti bercakap, apakah Islam akan sampai kepada kita? Ini menjadi motivasi kepada saya supaya jangan jemu dari bercakap dan mengingatkan.

Sebelum saya melalut lebih panjang menjadi ceramah motivasi, eloklah saya meletakkan noktah di sini. Semoga tulisan ini terhindar dari sebarang unsur riak dan sum'ah dan takbur. Untuk berkongsi, sukar sekali untuk membuang SAYA dari kata-kata tetapi SAYA perlu berkata-kata untuk mengingatkan dan memberitahu.

Noktah.


Tiada ulasan: