Isnin, Jun 30, 2014

Menuju Tokyo dan TIGF


Yen, travel itinerary dan TIGF booklet


Beg sudah disiapkan. Tiga buku ini menemani penerbangan tujuh jam ke Narita. Semoga Tokyo baik-baik sahaja denganku. Cabaran berbeza kali ini kerana tidak bersama dalam kumpulan ramai. Kami berdua berbeza arah, menginap jauh dari kelompok mereka sambil menganjurkan acara khusu bersama penerbit Jepun. Kami punya matlamat tersendiri. Kami mahu mengembangkan sayap dengan cepat. Sekarang bukan masa berolok-olok lagi dengan tulisan Jawi. Bagasi padat dengan pakaian khas perasmian dan pelancaran serta bekalan makanan yang perlu. Puasa 16 jam, musim panas, acara padat tujuh hari mendatangkan keterujaan buat diri. 21st tokyoInternational Book Fair menanti penuh debar. Meminjam kata Zahariz, dengan tulisan Jawi aku menjelajah
#tokyo #tibf #travel

Khamis, Jun 26, 2014

Jalan manakah yang tidak kau lewati?


Chennai, India. 9 Jun 2014

Pernah baca puisi Robert Frost ini? Masuk sini jika tak faham. Puisi yang menceritakan tentang perjalanan, tentang membuat pilihan, tentang menjadi seseorang yang berbeza dari yang lain. Tentang cubaan menentang arus.

The Road Not Taken - Robert Frost


Two roads diverged in a yellow wood,
And sorry I could not travel both
And be one traveler, long I stood
And looked down one as far as I could
To where it bent in the undergrowth;


Then took the other, as just as fair,
And having perhaps the better claim,
Because it was grassy and wanted wear;
Though as for that the passing there
Had worn them really about the same,


And both that morning equally lay
In leaves no step had trodden black.
Oh, I kept the first for another day!
Yet knowing how way leads on to way,
I doubted if I should ever come back.


I shall be telling this with a sigh
Somewhere ages and ages hence:
Two roads diverged in a wood, and I--
I took the one less traveled by,
And that has made all the difference.


Hidup ini seperti belayar dalam sebuah kapal, bersama sekumpulan anak kapal, lautan yang sekejap bergelora sekejap tenang, cuaca yang menduga dan ikan-ikan yang menghuni laut lepas.  Bersama nakhoda yang mengerti soal laut dan pasang surut airnya dan cuacanya dan geloranya, dia memegang peta sebagai panduan agar tidak sesat. Juga mengawasi pergerakan kapal menerusi monitor dan kompas yang perlu dirujuk selalu. Itulah menjadi panduannya agar tidak tersasar dari destinasi. Seluruh penumpang dan anak kapal mengerti arah tuju mereka dan menanti tiba ke destinasi. Sementara menanti, mereka melakukan pelbagai aktiviti. Boleh membaca boleh menulis, boleh menyanyi atau makan dan langsung tidur. Atau sekadar melihat ombak, mengira burung, mencari ikan, memerhati laut. Anak kapal akan sentiasa memenuhi keperluan penumpang sambil memastikan nakhoda sentiasa sihat untuk meneruskan perjalanan.

Kisah tentang kapal dan pelayaran ini pernah saya ceritakan pada ketua di pejabat lama. Kata saya, kita adalah pekerja. Seperti belajar di atas kapal. Pengarah adalah nakhoda. Kami ini, para pekerja pula adalah anak kapal. Nakhoda mengendalikan arah. Ke mana haluan syarikat dialah yang menentukan. Sesekali dilanda gelombang. Itu biasa dalam pelayaran, seperti mana perniagaan yang pasti ada dugaan yang sekejap naik dan sekejap turun, sekejap untung sekejap rugi. Namun begitu dalam pelayaran itu, si nakhoda entah kenapa suka mengambil tukul dan mengetuk lantai dan dinding kapal. Kami menegahnya tetapi dia suka berbuat demikian. Satu lubang bocor, kami tampal. Lubang kedua bocor, kami tampal. Kemudian dia berhenti. Esoknya dia mengetuk lagi. Kami giat menampal. Hari-hari berlalu dia giat membocorkan kapal. Kami yang sibuk melawan mabuk laut disamping tugas di atas kapal perlu pula menambah kerja menampal kebocoran. Para penumpang sudah resah gelisah. Ada yang mengugut mahu melaporkan pada pihak berkuasa. Ada yang mahu duit tambang dipulangkan. Ada yang marah dan memaki hamun. Sehingga pada suatu masa kami berfikir, kenapa nakhoda sudah enggan mengendalikan teraju dengan betul? Ke mana arah kapal ini akan belayar? Apakah harus kita membiarkan diri karam bersama kapal? Jadi, fikir kami lagi, apakah patut kita ikat si nakhoda atau kita sendiri terjun ke laut? Atau mencari kapal baharu?

Kisah nakhoda dan anak kapalnya ini kemudian disampaikan kepada pengarah. Dia terdiam lima mnit, tidak sangka rupanya dia terasa dengan kisah ini. Memang dia patut terasa kerana dialah si nakhoda yang suka membocorkan kapal. Sementelahan dia jugalah pemilik kapal, dia fikir dia boleh berbuat sesuka hatinya. Boleh mencampakkan anak kapal ke laut. Boleh berhenti pada mana-mana destinasi. Tidak mengendahkan kepenatan si anak kapal. Boleh memarahi penumpang yang cuba menegurnya. Pernah juga dia mengendalikan kapal sehingga kering kontang tanpa air. Namun tiada apa-apa kesan pada si pengarah. Kerana kapal itu miliknya. Kapal itu dia yang punya.

Kemudian saya mengambil keputusan menaiki kapal baharu.

Setiap hari saya memikirkan saya adalah anak kapal dalam pelbagai kapal yang berbeza. Siang, malam, hari minggu ada kapal tertentu yang saya naiki. Kapal yang berbeza memerlukan kepakaran berbeza. Oleh itu sebagai anak kapal, kita harus mempunyai kemahiran pada tahap terbaik untuk memastikan kapal dikendalikan dengan baik.

Sebagaimana pelayaran, kapal haruslah mempunyai nakhoda yang betul. Pintar membaca arus lautan. Tahu bila kan datang gelombang. Sudah mendapat maklumat tentang cuaca. Yang penting, tahu ke mana destinasi. Jika tidak, kapal akan berada di atas lautan tanpa pernah tiba ke destinasi. Akhirnya mati dan keras di atas kapal. Mati begitu sahaja. Tiada nisan, tiada kubur. Lautan menjadi medan persemadian.

Pilihan itu di tangan kita. Bila si nakhoda sudah tidak tentu hala hidupnya, kita punya pilihan untuk membuangnya ke laut lepas atau 'membuang' diri sendiri dari kapal. Kita ada pilihan. Pilihan itu pasti tidak digemari. Kerana kita tahu apa yang kita pilih. Kerana mereka tidak tahu apa yang kita pilih. Seperti mana kata Robert Frost, I took the one less traveled by, And that has made all the difference.


Rabu, Jun 25, 2014

Rabu Bisu #11


Borak Buku Bersama Eka Kurniawan, 23 Jun 2014 di Espresso, Nu Sentral

Tandatangan pada semua buku Eka

Asalkan bunyinya sama




Selasa, Jun 24, 2014

Catatan Chennai - Sepuluh #4


Ruang menanti sebelum memasuki pesawat di KLIA2. Semua serba sempurna

  1. Emak, abah dan Nurul sampai dari Shah Alam pagi Ahad. Aku bawa ke pasar pagi Beranang. Sempat masak dan makan-makan, kemudian abah balik. Emak dan Nurul tinggal sampai Khamis nanti dan akan balik bersama Angah. Dapatlah dia menemani Siti. Begitulah perancangan mereka.
  2. Aku pun mengemas beg untuk kali terakhir dan merancang-rancang jumlah baju. Perempuan agak susah sikit, mesti 3-piece suit. Aku pula bukan ada baju jenis nipis atau blouse. Tshirt lengan panjang aku jenis tebal semuanya. Toiletteries dan keperluan diri pun banyak. Kali ini juga aku bawa seterika. Tak mahu kisah menyusahkan di Makassar berulang.
  3. Kamera pun penting. Kamera milikku sendiri, yang kali terakhir abah gunakan ketika di bawa mengerjakan haji tahun lepas aku caj kembali. Masih boleh dipakai. Hampir nak aku beri pada TFTN tapi sayang pula. Sayang kerana duitnya aku dapat dari sayembara kalau tak silap. Tapi Angah bagi kamera Lumix-nya, oh, lebih menarik. Ada tali yang memudahkan aku ambil gambar dan memegangnya.
  4. Buku untuk baca perlu juga aku bawa, meski pun entahkan baca entahkan tidak. Puas juga aku belek almari, mencari buku yang tidak berat, santai dan boleh habis dengan cepat. Aku memilih tiga buah buku nipis – Ibn Arabi, Muhammad Abduh dan Prof Wan
  5. Semua gajet siap aku caj. Ipad, BB, kamera. Wayar dan plag siap aku bawa sekali. Aku cuba kosongkan Ipad tetapi entah kenapa tidak boleh akses kepada memori jadi tak boleh ambil gambar yang ada. Apa masalahnya? Terpaksalah aku emel atau letak dalam Google drive. Leceh betul bila kena buat pada hampir 1000 keping gambar. Tapi aku biarkan dahulu. Ada kamera lebih mudah dari using ipad untuk bergambar. Tapi universal charger tak ada; hilang atau bagi pada orang?
  6. Barang lain yang ku bawa adalah buku nota dan dua batang pen yang baru ku beli. Hajatku, buku nota ini akan penuh catatan. India sangat asing bagiku, jadi perlu banyak aku catat untuk keperluan masa hadapan. Namun agak ragu-ragu juga dengan kemampuanku mencatat dalam perjalanan kerana akhir-akhir ini aku gagal melakukannya. Tidak seperti ketika zaman belajar ku dahulu, di mana-mana akan kelihatan aku mebuat catatan sehingga kegemaranku ini pernah mendapat pehatian dan ditegur (diuji sebenarnya)
  7. Namun fikirku – semua ini adalah kerana perubahan masa. Kini aku banyak merakam dalam ingatan dan menulis bukan apa yang aku lihat secara zahir tetapi melahirkan apa yang aku rasa dari pandangan mata. Jadi ia tidak memerlukan aku mencatat setiap sesuatu. memaadai mencari akarnya, kemudian nanti ku siram dan ku baja dengan baik dalam bait kata yang lebih panjang.
  8. Namun itu tidak berlaku seperti dirancang. Banyak catatanku tertinggal di dalam kepala. Tidak pun ku tulis atau dipanjang lebarkan. Maka adalah lebih baik untuk aku menulis sewaktu dalam perjalanan agar catatan itu nanti kupajangkan dikemudian hari apabila ada kelapangan. Apabila ada kelapangan.
  9. Setelah meninggalkan pesanan yang perlu, yang sebenarnya tak ada apa pun, pukul 9 malam, aku bergerak dari rumah dihantar emak dengan pandangan matanya. Lokasi singgahan pertama ialah Sungai Merab. Aku mahu hantar stiker dinar-dirham yang aku temui pagi itu kepada Raudah al-Miqyas. Sudah berjanji untuk bagi jadi aku tak mahu bertangguh. Nanti jadi lambat. Dia beri segenggam biskut oat-coklat sebagai bekalan.
  10. Dari Sungai Merab, aku terus memandu ke Putrajaya Sentral. Aku letakkan kereta di situ dan naik ERL menuju KLIA2 dengan tambang RM6.20. Penumpang tak ramai. Cuti sekolah mungkin. Atau kerana malam Isnin. Selepas menungu hampir 20 minit, ERL pun tiba. Jam 11 aku sudah berada di KLIA2.



Matahari baru bangun tidur di hujung sayap AK11



Isnin, Jun 23, 2014

[Al-Fatihah] Pergi dan tidak kembali

Awal pagi tadi, ketika sedang bersiap, beberapa mesej masuk di WA. Pagi-pagi memang aktif dengan mesej kawan-kawan, jiran tetangga dan entha siapa-sapa.

Mesej kali ni lain sedikit. Salam Semua. Aayah kepada sahabat kita Munyati Fariza telah kembali ke rahmatullah pagi adi. Eksiden pukul 4.30 pagi di Bukit Beki Terengganu. Sama-sama kita sedekahkan al-Fatihah.

Saay cuba mengingat-ingat kembali sosok kawan itu. Kami satu batch di alma mater, konvo pun sekali. Tapi saya, memang tak berapa nak ingat muka walaupun namanya mudah diingati. Dahulu di asrama, saya didudukkan di blok yang lain dari kelompok teman satu batch. Jadi saya cuma mengenali mereka di kelas, bukannya kenal rapat seperti mereka yang lain. Yang rapat semakin rapat.

Kemudian mesej lain masuk. Dan bertalu-talu di dinding FB. Saya salinkannya di sini. Semoga menjadi ingatan buat diri. Al-Fatihah.

Dari Penduga Arus yang menyampaikan fakta indah ini

23 Jun 2004, Al-Marhum Dato' Ustaz Haji Fadzil Mohd Noor, Presiden PAS telah kembali ke rahmatullah.
23 Jun 2014, Al-Marhum Ustaz Dato' Abu Bakar Chik, AJK PAS Pusat telah berpulang ke pangkuan Ilahi
Mereka mati dalam perjuangan Islam, sementara kita masih belum mengetahui bagaimana akhir hidup kita 
Allahummaghfirlahuma. Al-Fatihah

Dari FB Azlina Ahmad, yang pernah menyertai kem mtivasi di bawah bimbinganku dahulu. Kini menjadi rakan

PERGINYA SANG MURABBI 
Tepat jam 8 pagi semalam (Ahad, 22 Jun 2014) saya menerima panggilan telefon daripada arwah Ustaz Abu Bakar Chik. 
Dalam keadaan terdesak, beliau minta saya menguruskan pertemuannya dengan ayahanda saya di Shah Alam, "Khalil, ana nak ziarah ayah sekejap, boleh anta tolong uruskan?". Suaranya masih tergiang-giang di telinga saya sehingga ke saat ini. 
Alhamdulillah, beliau sempat berjumpa dengan Tuan Guru Presiden. 
Jam 5 pagi tadi, setelah bangkit dari tidur saya terus buka telefon bimbit saya dan mesej pertama yang saya baca ialah "Ustaz Abu Bakar Chik telah meninggal dunia kerana kemalangan dekat LPT Bukit Besi". 
Saya terkedu kerana hanya baru beberapa jam lepas bersama-sama dengannya di dalam program Santai Anak Muda Bersama Murabbi anjuran DPPN Selangor di Shah Alam.
Rasa macam tak percaya, dalam keadaan sedih dan hiba saya menahan emosi mengenangkan saat-saat terakhir bersama-sama dengan sang murabbi ini. 
"Lama ke Ustaz jumpa dengan ayah?", saya bertanya. "Alhamdulillah, ana puas hati, banyak topik yang kami berkongsi khususnya berkait dengan perkembangan Gerakan Islam peringkat antarabangsa", jawabnya. 
Saya mengenali arwah sejak kecil lagi kerana persahabatannya dengan ayah sangat akrab. Memori yang tidak dapat dilupakan ialah ketika beliau menjadi tetamu di rumah kami selama sebulan ketika Operasi Lalang dilaksanakan sekitar tahun 1985. 
Hubungan kami sangat rapat kerana saya sentiasa menjadi temannya mendengar radio perkembangan semasa Operasi Lalang pada ketika itu. Saya boleh bayangkan perasaannya berjauhan dengan keluarga khususnya anak-anak kerana menjadi buruan pihak berkuasa.
Bagi saya jasa almarhum sangat besar khususnya ketika memimpin Dewan Pemuda PAS Pusat. Jika sekiranya jasa Dato' Mustafa Ali di dalam pemuda memartabatkan institusi Kepimpinan Ulama di dalam PAS, tidak keterlaluan jika disebut di sini jasa almarhum Ustaz Abu Bakar Chik pula ialah memperteguhkan institusi itu di dalam PAS. 
Jasanya di dalam memartabatkan institusi pendidikan di dalam PAS sangat besar. PASTI, Institut Berakan dan Maahad Tahwiz wa Tarbiyah adalah antara institusi pendidikan yang mendapat sentuhannya yang melahirkan kader-kader yang bergerak di dalam PAS di semua peringkat di seluruh pelusuk negara. 
Beliau bukan sahaja seorang yang komited di dalam memartabatkan pendidikan di dalam PAS, dalam masa yang sama beliau juga adalah seorang yang tidak pernah jemu di dalam menuntut ilmu.
Saya sentiasa perhatikan jika sekiranya beliau berjumpa dengan Tuan Guru Presiden tanggannya tidak akan berhenti mencatat setiap apa yang dibincangkan. Ketika usianya yang sudah lanjut beliau masih sempat mengambil cuti dalam satu tempoh yang lama untuk mendalami Bahasa Arab di Sudan. 
Jabatan Amal yang menjadi kebanggaan PAS pada hari ini ditubuhkan di zaman beliau menjadi Ketua Dewan Pemuda PAS. Satu institusi yang sangat berjasa dan memberikan kesan yang sangat besar kepada PAS khususnya di persada da'wah secara langsung (الدعوة بالحال) di dalam negara. 
Almarhum tidak pernah mengenal penat dan lelah di dalam melaksanakan gerak kerja Islam. Bagi sesiapa yang rapat dengan beliau pasti akan mengakuinya. Beliau seorang yang sentiasa bersemangat jika membincangkan soal ummah. 
Jika berbincang dengannya beliau tidak akan mengakhirinya melainkan dengan tindakan yang akan dilakukan. Komitmennya begitu tinggi, kalau nak ajak berbincang berkait dengan jamaah bila-bila masa beliau akan menyahutnya walaupun di larut malam. 
Walaupun beliau sudah lama meninggalkan Dewan Pemuda PAS tetapi semangat juangnya sentiasa segar. Pantang dijemput untuk menghadiri program-program Dewan Pemuda PAS beliau tidak akan menghampakannya. Alhamdulillah, Allah mengakhirkan riwayat hidupnya selepas memberikan pengisiannya di dalam program pemuda. Hampir satu jam setengah beliau memberikan taujihaat kepada anak muda dengan penuh semangat. 
Selepas program dengan arwah malam tadi saya sempat berbual dengan Ustaz Syarhan, Ketua Dewan Pemuda PAS Selangor dan menyarankan kepadanya supaya menjemput lagi Ustaz Abu Bakar Chik untuk program anak muda selepas ini. Namun, apakan daya ternyata Allah lebih sayang kepadanya. 
Firman Allah di dalam Surah al-Fajr :
"Wahai orang yang mempunyai jiwa yang sentiasa tenang tetap dengan kepercayaan dan bawaan baiknya! Kembalilah kepada Tuhanmu dengan keadaan engkau berpuas hati (dengan segala nikmat yang diberikan) lagi diredhai (di sisi Tuhanmu) ! Serta masuklah engkau dalam kumpulan hamba-hambaku yang berbahagia. Dan masuklah ke dalam SyurgaKu"
Al-Fatihah. 
(25 Sya'ban1435/23Jun 2014)
Muhammad Khalil Abdul Hadi
Timbalan Ketua DPPM

Al-Fatihah!

Ahad, Jun 22, 2014

Catatan Chennai - Sepuluh #3

 Chennai dari atas nampak padat. Ketika ini hujan lebat baru reda. Sisanya kelihatan pada awan yang memutih

  1. Sabtu pagi masih sempat aku ke kelas Wise, yang mana Dr Khalif menjadi tenaga pengajarnya. Aku perlu datang memandangkan aku punya masa lapang. Kebetulan Hanan keseorangan mengendalikan kelas, dapatlah ku bantu memasang projektor, membetulkan papan tulis, susun meja dan melihat keperluan kelas. Dapat juga input tambahan. Apatah lagi beliau bakal penyelia sarjanaku nanti.
  2. Sehabis kelas, Hanan menghulurkan sekeping duit sebagai saguhati. Terkejut dengan itu lalu aku menolak kerana tidak langsung menjangka. Tetapi diminta juga ambil kerana pihak pengurusan tidak dapat hadir dan memang bantuan seperti itu diperlukan. Aku, kalau diminta menolong pasti tidak menolak. Tapi bila dengan saguhati begini aku harap tahap keikhlasanku tidak berkurangan. Memang aku memerlukan duit tetapi ini rezeki yang di luar jangka.
  3. Aku singgah ke Dawama dengan senyuman melebar. Tambahan duit tadi aku belikan buku untuk menambah stok Kedai Buku yang akan bercuti selama seminggu dan akan ku aktifkan semula bila kembali nanti dengan semangat yang berkobar-kobar.
  4. Aku mempersiapkan beg pakaian boleh dikatakan lewat. Tapi semua keperluan dan baju yang diperlukan sudah ada dalam kepala. Jadual aktiviti dah terima menerusi emel. Cuma dua hari acara rasmi, selebihnya bebas. Bermakna baju  persatuan kena ada. Baju rasmi kena bawa. Nak pakai baju kurungkah? Malas nak bawa. Pakai skirt lagi sesuai sambil berjalan-jalan.
  5. Rupee yang ku bawa tidaklah banyak, niat berbelanja pun kurang. Kata orang belilah sari untuk buat baju raya. Ya, kain adalah salah satu tarikan bila mengembara tapi bukanlah minatku. Bolehlah sebagai buah tangan untuk emak dan adik-adikku. Aku lebih minat berjalan dan melihat-lihat suasana, merasa makanan tempatan, berinteraksi dengan masyarakat sana, singgah kedai buku, beli fridge magnet dan keychain. Itulah makna kembara bagiku, bukan sekadar merasai pengalaman di tempat yang asing.
  6. Duit yang aku tukar dalam lingkungan RM350. Tak sampai pun, kerana berbaki beberapa ringgit dan dapat Rs6000. Kadar tukaran ketika itu Rs5.700. Agak tinggi bila aku tanyakan pada teman yang lain. Cukupkah? Aku tak mahu berbelanja lebih. Fokusku terarah pada Tokyo hujung bulan nanti yang memerlukan belanja lebih besar dengan kadar tukaran yang tinggi. Dan kos hidup yang tinggi
  7. Apa yang aku tahu tentang Chennai? Atau soalan sebenarnya, apa yang kami tahu tentang Chennai? Atau tentang India. Tidak seorang pun dari 21 peserta rombongan ini tahu tentang Chennai. Semuanya perlu di Google. Berbeza kalau ke Jogja atau Makassar yang semuanya tahu segala ceruk dan selok belok. India sangat asing bagi mereka.
  8. Alu melihat-lihat buku tentang India yang ada di rak. Ada tiga naskhah yang semua itu diberi oleh Dewi dari koleksi bekas suaminya. Dua tentang Agra, satu lagi tentang Ghandi. Tidak cukup untuk mengetahui tentang Chennai. Aku lihat peta dunia dan meneliti kawasan Chennai. Letaknya di tenggara India. Barulah aku merasa cukup asing, berbeza perjalanan yang pernah ku lalui sebelum ini – Jakarta, Bandung, Bogor, Mekah, Madinah, Hatyai, Singapura, Jogja atau Makassar.
  9. Kami di Pena dibawa oleh sebuah syarikat yang mengaturkan acara bersama pemuisi Chennai. Aku tak pasti atas kapasiti apa syarikat itu bawa Pena. Aku pun tak bertanya. Mereka menyusun acara dua hari dan perjalanan kami di sana, makan minum, penginapan dan kenderaan. Tak tahu berapa banyak kos yang mereka tanggung dan berapa yang Pena tanggung. Aku pun tak bertanya. Tetapi terdengar juga, yang semuanya mereka tanggung.
  10. Rombongan disertai Dr Krishanan UM yang menjadi penterjemah buku dan mengikuti perjalanan sepanjang hari. Aku kira dialah yang menguruskan bersama wakil Chennai. Juga disertai Dr Mohan UM yang sangat teratur dan sopan santun berbicara. Aku yang Melayu ini pun terasa kasar bila bercakap dengannya.
Sarapan pagi dengan Nasi Goreng atas udara


Sabtu, Jun 21, 2014

Catatan Chennai - Sepuluh #2

Akhbar harian Chennai. Ada Salman Khan tayang badan pula

  1. Untuk menyediakan duit ke Chennai, awalnya aku sudah mengasingkan sedikit simpanan tanpa mempunyai niat untuk berbelanja. Namun begitu, simpanan tersebut telah habis aku gunakan untuk keperluan kereta, keluarga dan perbelanjaan luar jangka. Banyak yang diluar jangka. Duit yang ku harapkan akan masuk tidak dapat-dapat lagi. Tetapi aku pun tidak berharap kerana memahami kelembapan dan kesengalan mereka bekerja. Minta kita siapkan kerja bukan main, bila hantar invois bayarannya kena tunggu dua tiga bulan. Siapa mereka tak perlulah tanya.
  2. Ya, Beginilah hidup aku sekarang, sentiasa dalam kesyukuran dan usaha yang tidak putus. Namun aku berkatnya aku nikmati dengan penuh kemanisan. Kalau mah lebih, usaha lebih. Hidup ini senang sahaja. Dalam masa yang sama aku mencari jalan bagaimana mendapatkan wang saku. Sebolehnya dalam keadaan sukar begini, aku sama sekali tidak mahu meminjam atau berhutang. Apatah lagi Tokyo turut sama melambai-lambai dan menjadi fokus utamaku.
  3. Tiba-tiba sahaja aku tergerak menghidupkan Kedai Buku yang sudah senyap beberapa bulan.  Kedai Buku adalah antara cara terakhir menjana wang saku meski pun masih ada tiga simpanan yang tidak mahu aku usik. Jadi aku berhempas pulas menjual buku selama satu minggu menerusi Kedai Buku. Syukurlah, dalam tempoh tersebut aku boleh dapat lebih dari RM500. Sempat tambah stok ada Sabtu sebelum bertolak. Pesanan pula tidak putus minta carikan buku itu dan ini.
  4. Menjelang minggu terakhir di pejabat, aku siapkan suntingan 6 manuskrip dan suntingan Qalam ku hantar pada junior editor. Semoga dalam tempoh pemergian, PNM menjawab permohonan untuk pembentangan susulan dan Qalam cuma melalui proses layout. Tak angkat kepala aku dalam minggu itu, FB pun tidak ku layan. Cuma FB Kedai Buku sahaja untuk proses jual beli dan upload gambar. Sungguh nampak berkesan.
  5. Mujur juga cuti sekolah dan tanggungjawab mengajar di Fuqaha pun tiada. Maka tumpuan seratus dua puluh peratus ku beri pada kerja di pejabat. Itu pun terganggu juga dengan beberapa kerja luar yang datang tiba-tiba, tetapi boleh juga ditampung dengan kesungguhan menyiapkan kerja.
  6. Jumaat aku jumpa Arifah kerana dia mahu beli Ranjau Sepanjang Jalan dan Sejarah Melayu (Shellabear) yang kedua-duanya edisi fotokopi. Dia nak segera, tak mahu menunggu aku pulang. Dapatlah RM40 sebagai bekalan tambahan, dan terus ke Rumah Pena untuk majlis Baca Puisi. Aku tak hadiri Baca Puisi, tapi ambil pasport dan berbual dengan Bero Naga tentang rancangan mereka yang tidak berkereta ke KLIA2.
  7. Katanya, mereka berada di KLIA2 pada Ahad malam Isnin dan menunggu di sana sehinggalah boleh daftar masuk beg dan penumpang. Jadi ini cadangan bernas. Aku tak perlu minta sesiapa hantar dan ambil.
  8. Mula-mula Ju setuju nak hantar tapi nanti aku fikir susah pula nak minta orang ambil awal pagi Sabtu apabila aku pulang. Maka eloklah aku memandu sendiri ke Putrajaya Sentral dan letak kereta di sana. Caj pun murah, RM3 untuk 24 jam. Kalau lima hari tidaklah sampai RM20. Jimat belanja.
  9. Dalam tempoh tiga hari sebelum berangkat, tergerak untukku mengemas segala timbunan surat yang telah aku letakkan dalam satu kotak khas. Segala bil Celcom, penyata akaun bank Islam, Maybank dan CIMB; surat-surat berkenaan rumah, EPF, penyata honorarium, bil-bil rumah, segala resit perbelanjaan, kertas kerja, minit mesyuarat dan nota catatan semua ku asingkan dan dimasukkan ke dalam fail. Fail TFTN juga sempat ku kemas termasuklah duit dalam pegangan. Kemudian ku emelkan pada Zazren jumlah duit yang ku simpan dan ku tulis pada papan putih di atas meja. Kali ini ada sedikit kerisauan atas pemergianku. Manalah tahu pergi tak kembali seperti MH370. Namun tiada siapa tahu kerisauanku ini.
  10. Maka minggu yang sibuk sebelum berangkat pun berakhir. Tinggallah Sabtu dan Ahad untukku menyelesaikan keperluan diri dan segala urusan rumah yang patut diperhatikan. 

Jumaat, Jun 20, 2014

Selepas menonton teater Sandera


Tiket dan buku acara


Saya diberi peluang menonton teater Sandera pada tayangan pertama malam tadi. Tayangan diserikan oleh kehadiran TYT Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang dan isteri.

Teater ini merupakan adaptasi dari novel Sandera karya Sasterawan Negara Arena Wati. Novel ini telah saya baca dan ulas di sini. Bercerita sedikit tentang novelnya -plotnya kompleks dan banyak dengan watak yang pelbagai. Tetapi menarik

[Akan dikemaskini lagi]

Set rumah Melayu yang kemas dan ringkas. Tetapi terlindung dibelakangnya

Khamis, Jun 19, 2014

[Buku] What I Talk About When I Talk About Running

As you age you learn even to be happy with what you have. That's one of the few good points of growing older - Murakami

What I Talk About When I Talk About Running dibeli di Chennai. Sepertiga di baca di lapangan Terbang Antarabangsa Chennai dan dalam perut Air Asia, dua pertiga lagi pada hujung minggu sementara menunggu hari baru dibuka. Haruki Murakami menceritakan pengalamannya berlari - bukan sebagai satu hobi sahaja - tetapi kemudiannya menyertai acara marathon yang katanya setahun paling tidak perlu disertai sekali. Diselitkan juga bagaimana beliau bermula menulis dan kaitan antara berlari dan menulis. Menjadi penulis bukanlah cita-citanya. Ketika di usia muda dia berkahwin dan membuka sebuah bar - belum pun 30 ketika itu - dan pada suatu hari dia terasa seperti mahu menuliskan sesuatu. Lalu dia ke kedai membeli pen dan kertas dan mula menulis. Kemudian dia menghantar tanpa membuat salinan dan mujurlah ia menjadi buku. Selepas itu dia tidak menoleh ke belakang hingga dia memutuskan untuk menutup perniagaannya dan menjadi penulis sepenuh masa. Katanya, menulis samalah seperti berlari. Memerlukan fokus sehingga boleh sampai kepada matlamat. Menulis adalah melawan diri sendiri, bukan orang lain. Sama seperti berlari, bukanlah pelari lain yang menjadi saingan tetapi keupayaan diri. Dia bercerita beberapa acara marathon yang disertai, latihan yang dilalui dan keyakinan yang dirasai dalam sesuatu acara. Meskipun dia mencuba-cuba menyertai triatlon yang melibatkan tiga acara - berenang, berbasikal dan berlari - tahap kepuasannya tidaklah sama dengan marathon. Malah dia cuba mencabar diri menyertai ultramarathon (sejauh 64 batu) yang memerlukan stamina dan keupayaan yang tinggi berbanding marathon (26.2 batu) dengan larian yang mengambil masa lebih 10 jam. Apa yang menyebabkan beliau begitu berminat menyertainya? Kerana seperti menulis, mencuba sesuatu adalah suatu pengalaman yang sungguh nikmat..

Beberapa petikan menarik:

“The most important thing we learn at school is the fact that the most important things can't be learned at school.”

“I’m the kind of person who likes to be by himself. To put a finer point on it, I’m the type of person who doesn’t find it painful to be alone. I find spending an hour or two every day running alone, not speaking to anyone, as well as four or five hours alone at my desk, to be neither difficult nor boring. I’ve had this tendency ever since I was young, when, given a choice, I much preferred reading books on my own or concentrating on listening to music over being with someone else. I could always think of things to do by myself.”

“It doesn't matter how old I get, but as long as I continue to live I'll always discover something new about myself.” 

Rabu, Jun 18, 2014

Rabu Bisu #10

Buku dari Chennai dan dua DVD, salah staunya filem yang dilarang tayang.

Selasa, Jun 17, 2014

Catatan Chennai - Sepuluh #1


Pasport dan rupee. Buku yang ada cuma tentang Agra dan Delhi

1.      Aku akan membuat catatan ringkas perjalanan dan pengalamanku di Chennai. Ada yang telah ku tulis, ada yang tersimpan dalam kepala. Semua itu perlu aku zahirkan di sini. Kalau tidak, semuanya lebur di telan waktu
2.      Rancangan ke Chennai sudah masuk dalam agenda Pena sejak tahun lalu. Juga bersekali dengan lawatan ke Makassar. Kedua-duanya bagi memenuhi undangan aktiviti persatuan penulis di sana, bukannya sekadar jalan-jalan kosong. Setelah semua setuju, kami AJK Pena cuma bayar tambang pada kadar minimum.
3.      Kami diminta menghantar puisi yang akan dikumpul bersama dengan pemuisi Chennai dan diterbitkan dalam buku dwibahasa. Tiga bahasa sebenarnya – BM, Tamil dan English. Tidak seperti di Jogja – yang aku gagal menghantar puisi – kali ini aku cari puisi yang belum terbit dan ku hantar begitu sahaja. Judulnya ‘Sarapan pagi’
4.      Perjalanan ke Chennai ternyata tidak semudah disangka. Cabaran pertama ialah mendapatkan visa. Itu adalah kewajipan untuk memasuki India. Agak menghairankan juga bagi sesama negara Komanwel yang memerlukan visa, sedangkan Britain, Australia dan new Zealand yang besar itu pun tidak memerlukan kita mendapatkan visa.
5.      Ada kemudahan mengisi borang visa secara online tetapi cukup bermasalah. Aku isi dua kali dan salah. Pertama kerana tujuan lawatan, kalau ditulis seminar tidak sama jika tujuan melancing. Jika seminar, perlu pula sertakan dokumen lain sebagai sokongan untuk pihak sana semak kesahihannya. Jika atas tujuan melancong, mudah sahaja urusannya. Kali kedua salah kerana nama yang tidak diisi dengan meletakkan ‘binti’. Urusan kecil yang merumitkan.
6.      Namun bukan aku seorang yang buat silap tetapi semua peserta. Mujur Presiden seorang yang tidak suka buat kerja saat akhir dan mahu semuanya diselesaikan segera. Menyedari bahawa untuk meminta yang lain mengisi dan menghantar borang pun akan memakan masa kerana tidak semua berada di Lembah Klang, maka dialah yang berusaha menyelesaikan segala urusan visa di kedutaan bersama beberapa AJK yang lain. Untuk urusan visa sahaja, perlu RM200 dan dua keping gambar mengikut spesifikasi yang ditetapkan
7.      Jadual penerbangan kami ialah 9 Jun (Isnin) hingga 13 Jun (Jumaat). Bertolak jam 6.30 pagi, tiba di tanah air 12.30 pagi Sabtu. Jadual yang sangat awal untuk pergi dan pulang. Soalnya, bagaimana aku harus pergi ke lapangan terbang?
8.      Ketika ini, KLIA2 sudah mula digunakan pada awal Mei. Tiada lagi LCCT yang menyesakkan. Macam-macam pujian aku dengar tentang KLIA2. Teruja juga ada.
9.      Aku mula merancang perjalanan. Nak suruh siapa hantar? Nak guna perkhidmatan teksi? Nak memandu sendiri? Perlu berada di KLIA2 paling tidak seawal 3 pagi. Ini bermakna perlu bertolak seawal jam 2. Jiranku bawa teksi. Bila ku tanya kadar hantar dan ambil, dia kata RM180. Terdiam sebentar aku. Kena cari jalan lain.
10.  Dalam pada itu ku teruskan juga hari-hari yang ku lalui dengan tenang. Cuti sekolah pun sudah bermula, perjalanan pagi ke pejabat lebih cepat tanpa kesesakan. Cuma bila aku tidak memegang kunci maka duduklah aku di tangga pejabat sebelum mereka tiba.

Isnin, Jun 16, 2014

Sampah dan ketakutan

Mahalakshmi Street, Chennai dari hadapan hotel penginapan

Melihat Chennai yang bersepah sampah, aku teringat beberapa pengalaman perjalanan dibeberapa tempat. ketika di Hatyai, aku tidak melihat walau satu pun sampah. Di stesen keretapi Hatyai contohnya, tong sampah tiada tetapi tiada pula sampah. Aku membayangkan di Malaysia, ada tong sampah pun masih ada sampah. Di Jogja, ya, memang aku puji kerana orang Jawa memang bukanlah pengotor sifatnya. Jalannya tiada sampah meski pun kawasannya nampak kumuh dan kotor. Cubalah kau cari sampah jika boleh. Mereka ada pekerja yang dibayar untuk sentiasa membersihkan. Begitu juga kawasan tertentu di Jakarta. Rumah-rumah kecil dan padat tidak pun dihuni sampah. Bersih dan kemas. Berbeza dengan bandaraya besar itu yang sudah bercampur-campur penghuninya. Sampah ada di mana-mana meskipun tidak seserius Chennai. Di Singapura, juga tiada sampah. Jalannya bersih. Kawasan perumahan bersih. Rumah sampah pun tidak berbau sampah. Tong sampah sentiasa ada untuk kemudahan. Perokok cukup disiplin memasukkan puntung ke tong sampah. Merokok pun di sebelah tong sampah. Hatta pokok pun takut menggugurkan daun. Namun apa berlaku? Selepas melepasi Tambak Johor perangai mereka berubah. Sampah dibuang merata. mereka didisiplinkan oleh undang-undang rupanya, bukan oleh sikap. Jika tidak, masakan Mas Selamat Kastari yang melarikan diri dari penjara Singapura dan ditangkap di Pontian beberapa bulan kemudian menyeberangi Tambak Johor dengan hanya berenang dan menjadikan tong dan botol yang ditemui di tebing sungai sebagai pelampung. Jai yang seeloknya, kita didisiplinkan oleh sampah atau oleh diri sendiri?


Ahad, Jun 15, 2014

Jauh menjauhkan diri

Status terakhir ku dalam FB ialah 5 Jun, Khamis. Selepas itu ada status yang aku kongsi dari FB lain tapi semua bersifat 'share only me'. Kenapa ya?

Sampai suatu masa, kita akan merasa muak dengan sesuatu. Aku lihat penyakit dalam FB semakin parah. Kalau kau tak rasa itu, sebabnya kau berkawan dengan orang yang tidak menyakitkan. Misalnya kawan dengan selebriti yang baca gosip artis. Kawan yang suka letak gambar makanan. Yang selalu ajak main permainan dalam talian. Yang suka kongsi tazkirah, hadis dan majlis ilmu, eh ini ok. Kawan yang suka tanda gambar baju dan tudung. Kawan yang letak status tentang anak, isteri dan suami. Yang kongsi berita luar negeri tentang pendidikan tapi tak tahu nak buat apa dengan keadaan di Malaysia. Yang suka tengok gambar orang berjalan di luar negeri dan kemudian teringin nak berjalan ke luar negeri. Ah, macam-macamlah.

Tahun lepas aku dah buat proses pembersihan. ketika itu, kawan dalam FB mencecah 2000 lebih orang. Semua yang minta jadi kawan aku terima. Suka nak berkawan kan, jadi aku tak ada masalah. Sampai satu masa, aku perlu lebih memilih. Bila usia dah meningkat, kita akan lebih rasional dan matang dalam tindakan. Jadi aku bersihkan sehingga tinggal tak sampai 1000. Lega. Tapi ada juga yang perasan bila aku membuangnya, minta dijadikan kawan semula. Kasihan pun ada, tapi aku ada hak pada dinding FB ku sendiri. Jadi aku belajar guna semua butang yang ada. Kalau jadi kawan pun tak semestinya status kau boleh aku baca. Dan aku tidak akan like dan komen status orang lain. Kerana apa yang aku buat dililhat serius oleh setengah yang lain. Begitu susah menjadi public figure kan? Eh, siapa public figure? Aku? Lulz

Jadi cukuplah bercakap tentang FB dalam blog. Blog adalah untuk blog, bukan FB. Begitu juga twitter, membebel merepek tak tentu hala pun tak ke mana. Akan aku guna akaun yang sepi sifatnya supaya boleh aku membebel seorang diri di sana. Dan blog ini, akan aku hormati kerana ia begitu menghormati ku

Sabtu, Jun 14, 2014

Selepas pulang

Syukurlah, lima hari di rantau orang akhirnya mendarat dengan selamatnya di tanah air. Chennai memberi banyak ruang pengalaman. Dan Piala Dunia sudah pun bermula. Akan aku tulis pengalaman Chennai dalam entri berikutnya. Kali ini akan serius menulis. Bukan seperti cerita kembara yang tergendala di Sabah, Hatyai, Jogja, Kota Kinabalu dan Makassar. 1000 Catatan Chennai? Ya, sedang diusahakan

Secara ringkas dari Chennai, kata orang belilah sari untuk buat baju raya. Ya, kain adalah salah satu tarikan bila mengembara tapi bukanlah minatku. Bolehlah sebagai buah tangan untuk emak dan adik-adikku. Aku lebih minat berjalan dan melihat-lihat suasana, merasa makanan tempatan, berinteraksi dengan masyarakat sana, singgah kedai buku, beli fridge magnet dan keychain. Ambil gambar dan merakam yang lebihnya dalam ingatan dan tulisan. Bukan berselfie dan ambil gambar melompat-lompat kegembiraan.

Kalau ada pun, itu bukan aku.

Ahad, Jun 08, 2014

Yang dicita-citakan menjadi nyata


Tatahias dalamnya tak perlu keterlaluan. Cukuplah rak dan buku

Kami bertemu pada suatu malam Ahad, 12 Disember 2010 di hadapan Masjid Putra. Saya tidak mengenalinya, dia tidak mengenali saya. Beliau menyertai kami selepas melihat perbualan kami dalam facebook. Saya - seperti biasa - hadir dengan idea yang anti-establishment, mengajak Syukri menjual buku dari but kereta. Kami berbual dalam FB dengan rancak, membincangkan jualan but yang sepatutnya begitu dan begini. Saya mencadangkan macam-macam yang tidak pernah dilihat wujud di Malaysia, kalau ada pun, jualanbarangan terpakai. Beliau melihat perbualan ini mencelah untuk turut serta setelah kami menetapkan waktu dan lokasi. Tanpa promosi galak atau sebenarnya masih dalam sifat mahu mencuba, kami bertemu malam itu. Syukri ada mencatatkan di dalam blognya itu.
Ini promosi kecil. FB belum menguasai minda masyarakat ketika itu

Hasrat saya ketika itu ialah jualan menerusi but kereta. Tak perlu bayar tapak, tak perlu pasang khemah. Impian saya ialah sesiapa boleh datang, tengok, belek dan baca. Ada kerusi atau tikar untuk membelek. Tanpa kos yang tinggi, harga buku boleh dikurangkan. Ini boleh menyuburkan semangat membaca lalu menyemarakkan pasaran buku. Wah, ideal sungguh bunyinya.

Malam itu, cuma ada tiga peniaga dan tiga kereta memperagakan buku. Dataran Putra berhadapan masjid Putra ketika itu sedang dibaik pulih jadi kehadiran pengunjung tidak seramai jangkaan. Pembeli buku ialah kami bertiga juga. Tapi pengalaman ini bermakna. Apabila sudah bermula, seharusnya ada susulan. Tapi ketiga-tiganya punya agenda hidup tersendiri. Lalu jualan but kereta tinggal sejarah. Tapi kini, dengan konsep Buku Jalanan atau jualan but kereta oleh warga buku indie, impian saya itu dizahirkan oleh orang lain. Sekurang-kurangnya ada yang membaca fikiran saya beberapa tahun sebelum itu (perasan pula).

Kemudian, dia yang saya kenali itu menjadi kenalan di luar laman maya. Setiap kali dia mengepos wajah buku di laman FB, hati digaru-garu. Saya benar-benar menghargainya sebagai seorang peniaga buku yang mulia kerana setiap kali dia menanda buku dilaman FB, beberapa hari kemudian dia membuang tanda tersebut. Kita tidak rasa terganggu dengan notifikasi dalam komen. Tak pernah saya lihat peniaga seperti ini. Selalunya bila FB saya ditanda, cepat-cepat saya buangkan kerana rimas dengan notifikasi dan komen yang tidak semenggah. Peniaganya pula memaksa-maksa kita membeli. Sepertinya mendapat dosa jika tidak membeli darinya. Tetapi beliau merasai kerimasan pengguna akaun FB, kiranya tidak berbuat demikian. Sedangkan penjual buku lain saya halang dari menanda dalam dinding FB. Malah ktika bertemu beliau, saya katakan, "tandalah sahaja dalam dinding itu. Semoga nanti terpancing keinginan teman-teman lain untuk membelinya".

Sejak dari itu, saya mula memesan buku satu demi satu. Mula-mula dihantar ke pejabat ketika dia dalam perjalanan menghantar dan mengambil isteri di pengajian. Kemudian di jemput ke rumah. Bermulalah perkenalan dengan isteri dan dua anaknya yang comel. Tak tahu apa mahu menggelarnya, saya memanggilnya Ustaz meski pun dia rimas dengan gelaran itu kerana katanya " ABU - aku bukan ustaz". Saya kian rajin mengunjungi rumahnya atau sekadar menziarahinya. Sesekali apabila telah rasa lama tidak bersilaturahmi, saya menziarahi bukan sekadar mahu membeli tetapi berbual seputar buku.

Banyak sekali bicara kami tentang buku. Pengetahuannya tentang buku bukan setakat isinya, tetapi penulis dan penerbitnya sekali. Kita akhirnya akan merasa menghargai buku bukan sekadar membeli buku tapi tahu siapa penulisnya, apakah si penulis itu jujur orangnya. Bagaimana sifat penerbitnya, bayar royalti atau tidak. Menindas penulisnyakah atau terjemahannya itu benar atau tidak. Penerbit Mesir dan penerbit Indonesia, banyak yang dia tahu tahap kejujuran dan perniagaan mereka. Kian lama saya menyedari membeli buku bukan sekadar membeli. Dari isi, penulis, penerbit dan perniagaan mereka itu menyumbang kepada ilmu yang kita tanggung nanti bila mentelaahnya.

Selalunya saya datang seorang diri. Kadang-kadang membawa kawan-kawan yang berbeza, yang kemudiannya datang sendiri bagi membeli lebih banyak buku. Perbualan kami bukan tentang buku. Banyak aspek kehidupan dapat saya pelajari darinya. Kalau kita lihat status FB-nya, banyak perkara yang disentuh secara keras tetapi lembut. Saya berkenalan dengan komuniti dinar-dirham, Dinihari Dinar dan sekitar konspirasi yang terancang dari pihak barat. Setidak-tidaknya, pengetahuan tentang sejarah dan politik semasa Indonesia dapat saya baca menerusi kaca mata yang lebih luas.

Namun begitu, paling bermakna ialah bila melihat cara ustaz dan ustazah mendidik dua orang anaknya. Dia membuang tv lima tahun yang lalu. Anaknya di ajar tentang dunia kehidupan, mendekati alam dan masyarakat. Bukan mengenali menerusi gajet, fb atau tv. Anak sulungnya diasuh supaya boleh mesra dengan pelanggan yang saban waktu datang ke rumah. Dalam usia semua itu, Ilkiya sudah boleh membaca al-Kahfi dengan lancar. Saya bertamyakan jadual anak sedari pagi. Semuanya diasuh dengan teliti, termasuklah makanan. Tidak ada makanan luar yang singgap ke perut anaknya. Semuanya dimasak sendiri. Bukan sebarang orang boleh melakukan ini.

Bertemu dengan insan yang memberi makna pada kita menjadikan kita merasa hidup kita perlu juga memberi. Saya pernah beberapa kali meminjam buku-bukunya untuk di jual ke mana-mana ruang yang saya sertai. Pernah juga ketika terserempak dalam seminar yang mana dia membuka meja jualan, saya mengambil giliran menjaga sebentar sementara dia ke tandas atau solat. Pernah sekali saya sukarela menghantarnya ke LCCT ketika dia pulang sendirian ke Jakarta. Seawal tiga pagi saya mengambil dia sekeluarga. Sebelum berlepas, diserahkan pula gulungan wang. Tak boleh menolak pula, saya jadi serba salah. Sukarela saya bukannya minta wang, tapi baik budi.

Status FB beliau yang bertarikh 3 Jun

Dia pernah memberitahu, sejak-sejak dia menanda saya dalam gambar buku-buku di FB, semakin ramai yang datang membeli, berkunjung ke rumahnya. Dari caranya berkata-kata, dia menghargai keadaan itu.
Hanya kerana dia menanda pada orang yang betul, maka dia mendapat kenikmatan dalam berniaga. Ramai kenalan FB saya adalah golongan penulis dan pembaca buku. Oleh itu, pasti status yang berkenaan buku mendapat perhatian mereka. kalau pun seperti katanya - belasan orang - seperti status di atas, saya bersyukur kerana itu nikmat rezeki buatnya. Saya tumpang gembira dengan apa yang beliau nikmati. Saya juga peniaga buku kecil-kecilan, jadi keperitan berniaga terasa juga kerana aliran tunai berniaga buku tidak sebanyak dan semudah berniaga kain atau baju. Siapa mampu beli buku setiap hari atau setiap minggu? Tapi pasti ada, pasti.

Kerana itu, bila berkunjung ke rumahnya, meskipun tidak membeli, pasti dia akan memberi buku secara percuma. Atau pun memberi diskaun yang menarik. Malah TFTN pun diberinya dua kotak buku bacaan kanak-kanak. Status FB di atas adalah yang terkini, ditanda pada 3 Jun, yang pertama kali dia menanda saya sebegitu rupa. Tidak pernah dia terang-terangan menanda seperti itu. Saya bersyukur kerana dilimpahkan rezeki buatnya.

Dia punya impian buka toko buku. Dan saya tanpa segan juga ada impian yang sama. Dalam perbualan kami, selalu keluar impian ini. Saya tak tahu bila akan menjadi kenyataan. Kafe buku yang ada menjadi pusat rujukan, bacaan, aktiviti dan jualan berkenaan buku. Pelan lantai sudah pun ada, cadangan tatahias dalaman pun sudah direka. Menu, acara, aktiviti dan promosi sudah terbayang dalam kepala. Bila akan menjadi nyata? Duit rupanya menjadi tuhan kecil.

Dua minggu lepas dia membuka toko bukunya, Raudah al-Miqyas yang selama ini beroperasi di rumah. Saya menziarahinya pada minggu kedua. Senyum sehingga ke telinga bila melihatkan impian seorang kenalan menjadi nyata. Dia merancang untuk melakukank aktiviti menarik di tokonya. Itu semua memang mengujakan saya. Rancangan Kafe buku yang dahulunya tersadai dalam kepala, saya cuba hidupkan semula. Impian saya, bila pula?

Deretan buku yang mengasyikkan

Sabtu, Jun 07, 2014

Jalanan

Jalan Enam Kaki, Beranang

Hari nampaknya mendung, tapi tidak akan hujan. Ada bintang di langit biru. Mendung itu hanyalah mendung kabus yang sejak petang lagi mulai merapungi bukit dan pucuk-puck kayu. Jengkerik dan cacing mulai bernyanyi senja. Riang-riang di tei hutan mula senyap. Tadi bunyinya rancak dingkah riuh rendah budak-budak. Sekarang budak-budak yang kecil semuanya  sudah di rumah, dilarang bermain di halaman. Hantu syaitan berkeliaran waktu senja di dalam hutan ini. Barangkali hantu syaitan itu sama banyaknya dengan nyamuk dan agas, kata Minah kepada budak-budak.

Rimba Harapan, Keris Mas. DBP. 1988. Halaman 98

Jumaat, Jun 06, 2014

Medan kesabaran

Pekan Semenyih pada lima Jun dua ribu empat belas

Inilah medan kesabaran. Bukan mudah mengawal perasaan dalam kesesakan di jalanan dan keletihan selepas pulang bekerja. Simpang siur kenderaan, jalan tanpa lampu isyarat, ihsan pemandu meminta laluan, kenderaan yang dipandu tanpa peraturan, resah gelisah menanti giliran, sombong dan degil enggan memberi ruang. Tidak salah memberi kerana kita juga akan meminta

Isnin, Jun 02, 2014

Menghormati dan dihormati

Selalu bila datang awal, saya terkunci di luar. Begitulah nasib jika kunci pejabat tidak boleh dibuat pendua. Duduk dahulu di tangga sambil membaca apa yang ada atau pergi ke mamak mengisi perut. 

Tadi ketika menunggu, saya memerhatikan dua pekerja pembersih ini. Kedua-duanya warga Indonesia. Mereka sedang menelefon anak seorang pekerja yang tidak hadir saya kira. Mereka berbual dalam bahasa Jawa yang pekat. Menariknya, si anak yang angkat telegon itu kedengaran ramah di hujung talian, bercakap dengan cukup meriah bersama pekerja yang boleh dipanggil datuknya. Perbualan mereka jelas kedengaran, bergema di ruang yang sepi ini.

Dua pekerja ini juga kelihatan mesra, sering menyapa jika berpapasan. Saya teringat kepada para pekerja yang pernah menjadi sahabat ketika bekerja di beberapa tempat dahulu. Mereka menghormati kita dan tidak salah untuk kita menghormati mereka. Keramahan mereka sering terbawa-bawa hingga keluar pejabat dan mejadi rakan di celah-celah kehidupan kita.

Terkagum seketika dengan keramahan anak itu. Begitulah antara sifat orang Jawa jika mahu tahu :)