Isnin, Jun 16, 2014

Sampah dan ketakutan

Mahalakshmi Street, Chennai dari hadapan hotel penginapan

Melihat Chennai yang bersepah sampah, aku teringat beberapa pengalaman perjalanan dibeberapa tempat. ketika di Hatyai, aku tidak melihat walau satu pun sampah. Di stesen keretapi Hatyai contohnya, tong sampah tiada tetapi tiada pula sampah. Aku membayangkan di Malaysia, ada tong sampah pun masih ada sampah. Di Jogja, ya, memang aku puji kerana orang Jawa memang bukanlah pengotor sifatnya. Jalannya tiada sampah meski pun kawasannya nampak kumuh dan kotor. Cubalah kau cari sampah jika boleh. Mereka ada pekerja yang dibayar untuk sentiasa membersihkan. Begitu juga kawasan tertentu di Jakarta. Rumah-rumah kecil dan padat tidak pun dihuni sampah. Bersih dan kemas. Berbeza dengan bandaraya besar itu yang sudah bercampur-campur penghuninya. Sampah ada di mana-mana meskipun tidak seserius Chennai. Di Singapura, juga tiada sampah. Jalannya bersih. Kawasan perumahan bersih. Rumah sampah pun tidak berbau sampah. Tong sampah sentiasa ada untuk kemudahan. Perokok cukup disiplin memasukkan puntung ke tong sampah. Merokok pun di sebelah tong sampah. Hatta pokok pun takut menggugurkan daun. Namun apa berlaku? Selepas melepasi Tambak Johor perangai mereka berubah. Sampah dibuang merata. mereka didisiplinkan oleh undang-undang rupanya, bukan oleh sikap. Jika tidak, masakan Mas Selamat Kastari yang melarikan diri dari penjara Singapura dan ditangkap di Pontian beberapa bulan kemudian menyeberangi Tambak Johor dengan hanya berenang dan menjadikan tong dan botol yang ditemui di tebing sungai sebagai pelampung. Jai yang seeloknya, kita didisiplinkan oleh sampah atau oleh diri sendiri?


Tiada ulasan: