Ahad, Jun 08, 2014

Yang dicita-citakan menjadi nyata


Tatahias dalamnya tak perlu keterlaluan. Cukuplah rak dan buku

Kami bertemu pada suatu malam Ahad, 12 Disember 2010 di hadapan Masjid Putra. Saya tidak mengenalinya, dia tidak mengenali saya. Beliau menyertai kami selepas melihat perbualan kami dalam facebook. Saya - seperti biasa - hadir dengan idea yang anti-establishment, mengajak Syukri menjual buku dari but kereta. Kami berbual dalam FB dengan rancak, membincangkan jualan but yang sepatutnya begitu dan begini. Saya mencadangkan macam-macam yang tidak pernah dilihat wujud di Malaysia, kalau ada pun, jualanbarangan terpakai. Beliau melihat perbualan ini mencelah untuk turut serta setelah kami menetapkan waktu dan lokasi. Tanpa promosi galak atau sebenarnya masih dalam sifat mahu mencuba, kami bertemu malam itu. Syukri ada mencatatkan di dalam blognya itu.
Ini promosi kecil. FB belum menguasai minda masyarakat ketika itu

Hasrat saya ketika itu ialah jualan menerusi but kereta. Tak perlu bayar tapak, tak perlu pasang khemah. Impian saya ialah sesiapa boleh datang, tengok, belek dan baca. Ada kerusi atau tikar untuk membelek. Tanpa kos yang tinggi, harga buku boleh dikurangkan. Ini boleh menyuburkan semangat membaca lalu menyemarakkan pasaran buku. Wah, ideal sungguh bunyinya.

Malam itu, cuma ada tiga peniaga dan tiga kereta memperagakan buku. Dataran Putra berhadapan masjid Putra ketika itu sedang dibaik pulih jadi kehadiran pengunjung tidak seramai jangkaan. Pembeli buku ialah kami bertiga juga. Tapi pengalaman ini bermakna. Apabila sudah bermula, seharusnya ada susulan. Tapi ketiga-tiganya punya agenda hidup tersendiri. Lalu jualan but kereta tinggal sejarah. Tapi kini, dengan konsep Buku Jalanan atau jualan but kereta oleh warga buku indie, impian saya itu dizahirkan oleh orang lain. Sekurang-kurangnya ada yang membaca fikiran saya beberapa tahun sebelum itu (perasan pula).

Kemudian, dia yang saya kenali itu menjadi kenalan di luar laman maya. Setiap kali dia mengepos wajah buku di laman FB, hati digaru-garu. Saya benar-benar menghargainya sebagai seorang peniaga buku yang mulia kerana setiap kali dia menanda buku dilaman FB, beberapa hari kemudian dia membuang tanda tersebut. Kita tidak rasa terganggu dengan notifikasi dalam komen. Tak pernah saya lihat peniaga seperti ini. Selalunya bila FB saya ditanda, cepat-cepat saya buangkan kerana rimas dengan notifikasi dan komen yang tidak semenggah. Peniaganya pula memaksa-maksa kita membeli. Sepertinya mendapat dosa jika tidak membeli darinya. Tetapi beliau merasai kerimasan pengguna akaun FB, kiranya tidak berbuat demikian. Sedangkan penjual buku lain saya halang dari menanda dalam dinding FB. Malah ktika bertemu beliau, saya katakan, "tandalah sahaja dalam dinding itu. Semoga nanti terpancing keinginan teman-teman lain untuk membelinya".

Sejak dari itu, saya mula memesan buku satu demi satu. Mula-mula dihantar ke pejabat ketika dia dalam perjalanan menghantar dan mengambil isteri di pengajian. Kemudian di jemput ke rumah. Bermulalah perkenalan dengan isteri dan dua anaknya yang comel. Tak tahu apa mahu menggelarnya, saya memanggilnya Ustaz meski pun dia rimas dengan gelaran itu kerana katanya " ABU - aku bukan ustaz". Saya kian rajin mengunjungi rumahnya atau sekadar menziarahinya. Sesekali apabila telah rasa lama tidak bersilaturahmi, saya menziarahi bukan sekadar mahu membeli tetapi berbual seputar buku.

Banyak sekali bicara kami tentang buku. Pengetahuannya tentang buku bukan setakat isinya, tetapi penulis dan penerbitnya sekali. Kita akhirnya akan merasa menghargai buku bukan sekadar membeli buku tapi tahu siapa penulisnya, apakah si penulis itu jujur orangnya. Bagaimana sifat penerbitnya, bayar royalti atau tidak. Menindas penulisnyakah atau terjemahannya itu benar atau tidak. Penerbit Mesir dan penerbit Indonesia, banyak yang dia tahu tahap kejujuran dan perniagaan mereka. Kian lama saya menyedari membeli buku bukan sekadar membeli. Dari isi, penulis, penerbit dan perniagaan mereka itu menyumbang kepada ilmu yang kita tanggung nanti bila mentelaahnya.

Selalunya saya datang seorang diri. Kadang-kadang membawa kawan-kawan yang berbeza, yang kemudiannya datang sendiri bagi membeli lebih banyak buku. Perbualan kami bukan tentang buku. Banyak aspek kehidupan dapat saya pelajari darinya. Kalau kita lihat status FB-nya, banyak perkara yang disentuh secara keras tetapi lembut. Saya berkenalan dengan komuniti dinar-dirham, Dinihari Dinar dan sekitar konspirasi yang terancang dari pihak barat. Setidak-tidaknya, pengetahuan tentang sejarah dan politik semasa Indonesia dapat saya baca menerusi kaca mata yang lebih luas.

Namun begitu, paling bermakna ialah bila melihat cara ustaz dan ustazah mendidik dua orang anaknya. Dia membuang tv lima tahun yang lalu. Anaknya di ajar tentang dunia kehidupan, mendekati alam dan masyarakat. Bukan mengenali menerusi gajet, fb atau tv. Anak sulungnya diasuh supaya boleh mesra dengan pelanggan yang saban waktu datang ke rumah. Dalam usia semua itu, Ilkiya sudah boleh membaca al-Kahfi dengan lancar. Saya bertamyakan jadual anak sedari pagi. Semuanya diasuh dengan teliti, termasuklah makanan. Tidak ada makanan luar yang singgap ke perut anaknya. Semuanya dimasak sendiri. Bukan sebarang orang boleh melakukan ini.

Bertemu dengan insan yang memberi makna pada kita menjadikan kita merasa hidup kita perlu juga memberi. Saya pernah beberapa kali meminjam buku-bukunya untuk di jual ke mana-mana ruang yang saya sertai. Pernah juga ketika terserempak dalam seminar yang mana dia membuka meja jualan, saya mengambil giliran menjaga sebentar sementara dia ke tandas atau solat. Pernah sekali saya sukarela menghantarnya ke LCCT ketika dia pulang sendirian ke Jakarta. Seawal tiga pagi saya mengambil dia sekeluarga. Sebelum berlepas, diserahkan pula gulungan wang. Tak boleh menolak pula, saya jadi serba salah. Sukarela saya bukannya minta wang, tapi baik budi.

Status FB beliau yang bertarikh 3 Jun

Dia pernah memberitahu, sejak-sejak dia menanda saya dalam gambar buku-buku di FB, semakin ramai yang datang membeli, berkunjung ke rumahnya. Dari caranya berkata-kata, dia menghargai keadaan itu.
Hanya kerana dia menanda pada orang yang betul, maka dia mendapat kenikmatan dalam berniaga. Ramai kenalan FB saya adalah golongan penulis dan pembaca buku. Oleh itu, pasti status yang berkenaan buku mendapat perhatian mereka. kalau pun seperti katanya - belasan orang - seperti status di atas, saya bersyukur kerana itu nikmat rezeki buatnya. Saya tumpang gembira dengan apa yang beliau nikmati. Saya juga peniaga buku kecil-kecilan, jadi keperitan berniaga terasa juga kerana aliran tunai berniaga buku tidak sebanyak dan semudah berniaga kain atau baju. Siapa mampu beli buku setiap hari atau setiap minggu? Tapi pasti ada, pasti.

Kerana itu, bila berkunjung ke rumahnya, meskipun tidak membeli, pasti dia akan memberi buku secara percuma. Atau pun memberi diskaun yang menarik. Malah TFTN pun diberinya dua kotak buku bacaan kanak-kanak. Status FB di atas adalah yang terkini, ditanda pada 3 Jun, yang pertama kali dia menanda saya sebegitu rupa. Tidak pernah dia terang-terangan menanda seperti itu. Saya bersyukur kerana dilimpahkan rezeki buatnya.

Dia punya impian buka toko buku. Dan saya tanpa segan juga ada impian yang sama. Dalam perbualan kami, selalu keluar impian ini. Saya tak tahu bila akan menjadi kenyataan. Kafe buku yang ada menjadi pusat rujukan, bacaan, aktiviti dan jualan berkenaan buku. Pelan lantai sudah pun ada, cadangan tatahias dalaman pun sudah direka. Menu, acara, aktiviti dan promosi sudah terbayang dalam kepala. Bila akan menjadi nyata? Duit rupanya menjadi tuhan kecil.

Dua minggu lepas dia membuka toko bukunya, Raudah al-Miqyas yang selama ini beroperasi di rumah. Saya menziarahinya pada minggu kedua. Senyum sehingga ke telinga bila melihatkan impian seorang kenalan menjadi nyata. Dia merancang untuk melakukank aktiviti menarik di tokonya. Itu semua memang mengujakan saya. Rancangan Kafe buku yang dahulunya tersadai dalam kepala, saya cuba hidupkan semula. Impian saya, bila pula?

Deretan buku yang mengasyikkan

Tiada ulasan: