Jumaat, Julai 18, 2014

Doa pada sepuluh terakhir

Bismi'Llah.

Terjaga jam 3 pagi, melihat telefon berkelip-kelip. Rakan-rakan WA dalam group alma mater sudah bergegar dengan berita hancurnya MH17 di Ukraine seawal jam 1 pagi. Aku segera membaca twitter dan membaca kemaskini berita dari luar negeri. Ditembak oleh puak pemisah, ditembak jatuh, sepihan bersepahan di darat Rusia, mayat bergelimpangan, Obama mahu campur tangan, kotak hitam ditemui oleh puak pemisah - ini semua rencam berita dan mengundang banyak provokasi.

Saya tinggalkan dahulu telefon. Tugas penting sekarang ialah enghadap Tuhan pada sepuluh terakhir bagi mendapatkan ketenangan. Apa yang berlaku, apa yang akan terjadi, apa yang diramalkan semua sukar diramal. Ketika itu juga saya memutuskan untuk membuka kembali FB yang telah say atutup tepat seminggu yang lalu. Namun kali ini tujuan utama ialah atas tujuan kerja kerana saya menyedari sukarnya perhubungan di pejabat dan pihak berkenaan dengan kerja-kerja perumian dan tugas hakikiku di pejabat. Itu sahaja. Itu sahaja.

Kelajuan internet  sangat baik pagi ini. Astroawani.com membawakan berita terkini dan dapatlah saya melihat wajah serpihan MH17 yang berkecai dan hancur di daratan Rusia. Dalam penerbangan itu terdapat 295 penumpang termasuk 15 krew, ketika itu api sudah dipadamkan, asap memenuhi ruang dan barang milik penumpang yang masih elok dikumpulkan di suatu sudut. Beberapa pasport juga dihimpunkan sekali, termasuklah pasport Malaysia.

Jam 4 pagi, siaran langsung sidang akhbar bersama PM diadakan. Ternyata ini satu kejutan besar sesudah kehilangan MH370 yang masih belum ditemui lagi. presiden Obama sudah menelefon PM dan ini, kata PM 'tragic day in tragic year for Malaysia'

Ketika itu saya terbayang-bayang ketika dalam penerbangan ke Tokyo dengan MH88 dan pulang dari Tokyo  dengan MH89. Melihat wajah krew penerbangan ketika dalam MH89 dari Tokyo dua minggu yang lalu, saya terbayangkan teman mereka dalam .Entah apa perasaan mereka ketika itu. Wajah mereka saya perhatikan dan teliti seorang-seorang. Namun masing-masing tetap bertugas seperti biasa. Kini MH17 pula menjadi sasaran.


Dalam masa yang sama, Israel pula mengambil ksempatan. Berita terkini mengatakan 'Israel starts ground offensive in Gaza'.


Celakalah Israel!


Sepuluh hari terakhir ini, maa untuk kita berdoa. Teruskan berdoa. Itu sahaja senjata kita.




Tiada ulasan: