Khamis, Julai 24, 2014

Sebuah manuskrip, iron gall dan mata lalat [1]


Saya menerima tetamu di pejabat seawal pagi lagi. Semalam Tuan Haji ini sudah menelefon bertanyakan lokasi pejabat. Jadi kedatangannya hari ini tidak mendatangkan kesulitan padanya, tiba-tiba sahaja sudah terpacul depan pintu. Beliau membawa senaskhah manuskrip lama dengan iluminasi yang menarik. Katanya buku ini beliau pinjam dari ... ayat seterusnya tidak boleh disambung. Masih berstatus rahsia. Dari mana dia mendapatnya dan bagaimana beliau meminjamnya biarlah rahsia.  Tapi yang penting dengan cara yang betul dan bertujuan baik.

Kami mempersilakan beliau duduk sambil menanti manuskrip tersebut diimbas. Sementara membunuh waktu, saya melayannya berbual-bual. Manuskrip yang dibawanya adalah kitab puji-pujian kepada rasul yang ditulis dalam Jawi dan Arab. Dua halaman pertamanya mempunyai iluminasi yang cantik. Segera saya teringat kepada Annabel Teh Gallop yang gigih mengkaji iluminasi dan surat-surat lama.

Tuan Haji pun bercerita tentang kitab ini. Dia meminjamnya dan akan dipulangkan apabila kembali ke kampung pada raya nanti. Sebab itulah dia membuat salinan. "Saya nak baca. Saya suka baca kitab seperti ini. Apayah lagi kitab yang beriluminasi," katanya. Berminat pula saya dengan kesungguhan Tuan Haji, maka ringanlah mulut bertanya pelbagai perkara. "Tuan Haji sudah bersara?" soal saya. "Ya, sudah." Tapi dia tak cakap bersara dari jawatan apa. Mungkin soalan silap. Saya berbual lagi, katanya membaca manuskrip sudah menjadi minatnya sejak dahulu, sejak dia sekolah di sekolah pondok. jadi sedikit demi sedikit dapatlah saya mengagak, beliau bukanlah pesara kerajaan.  Susuk tubuhnya dan cara beliau bebricara tidak menampakkan beliau adalah bekas kakitangan kerajaan.

Oleh kerana tidak berpuas hati, saya cuba bertanya lagi, "Tuan Haji pesara kerajaankah?" Kali ini baru dia menjawab dengan betul dan tepat. "Tidak, saya bukan pesara kerajaan. Saya pencen dari Petronas." Saya mengangguk-angguk, tapi dia menyambung ceritanya lebih panjang. "Saya asalnya bekerja dengan kerajaan, di Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, MITI. Apabila Petronas di tubuhkan pada 1975, saya antara 11 orang kakitangan MITI yang diserap masuk ke Petronas. Kebetulan, di MITI saya bekerja bahagian minyak dan gas. Jadi, saya menjadi orang awal yang bersama Petronas." Saya jadi tertarik dengan kata-kata beliau, rajin pula beliau melayan dan bercerita. "Saya bekerja di Petronas sehinggalah saya bersara sepuluh tahun lepas." Dia membelek-belek kitab yang dibawanya."

"Petronas beri pencen?" Hairan juga saya. Ada pencen, atau kerana dia adalah kakitangan awal.

"Bukan pencen. Ada kawan saya dapat RM1.2 juta sebagai bayaran persaraan." Terbeliak mataku mendengarnya. Satu jumlah yang sangat besar.

"Tapi begitulah kita, bila tak penah dapat duit banyak dan tidak pandai merancang, macam-macam yang dibelanjakan. Pergi melancong ke sana ke mari. Makan sedap-sedap. Beli jam harganya sampai RM300,000." Beliau senyum dan menggegelng. "Kemudian beberapa hari lepas, ada yang telefon saya nak pinjam duit. Jam RM300,000 bila dijual balik cuma dapat RM100,000." Saya pun menggeleng sama. Jam paling mahal yang pernah saya beli cumalah RM150. Itu pun rasa menyesal sekejap. Sekadar jam, tapi ada ada gunanya. Paparan jam, tarikh dan hari amat penting bagi saya.

Beliau kemudian menyambung cerita. Berapa banyak wang persaraan yang diterima tidak pula dinyatakan. Tetapi saya yakin dalam bilangan juta-juta juga. Tuan Haji membuat perancangan rapi terhadap wangnya. Dia tidak 'menjolikan' atau rambang mata dengan duit yang banyak sebaliknya  berbelanja dengan berhemah. "Duit dapat banyak pun, akan habis satu hari nanti. Sebaliknya jika kita laburkan ke dalam hartanah, akan berambah meningkat nilainya."

Salah seorang anaknya bekerja di bahagian tanah dan tahu soal undang-undang tanah. Mereka anak beranak membeli tanah yang sesuai dan memecahkannya kepada lot-lot kecil yang sesuai untuk dibuat banglo. Beliau menyebutkan sebidang tanah di pinggir Cyberjaya-Putrajaya-Dengkil yang telah berjaya dijalankan dan mendapat pulangan yang lumayan. "Wang keuntungan itu kami buat pusingan untuk beli tanah di kawasan lain. Jadi duit itu akan berganda-ganda banyaknya. Cukuplah untuk membiayai kehidupan selepas bersara," kata beliau dengan tenang dan tersusun. "Tetapi kita, banyak mana pun duit tak bawa ke kubur pun. Bila dah masuk usia emas begini, saya banyakkan membaca buku agama seperti ini, dengar ceramah, masuk kelas-kelas agama."

Kami memasang telinga dan mendengar. Nasihat yang baik untuk orang muda seperti kami. Gagal merancang bererti merancang untuk gagal. Baik yang disemai, baiklah yang dituai. Perbualan kami bersambung, entri ini juga saya sambungkan di posting berikutnya. Terlalu panjang pula nanti


Tiada ulasan: