Isnin, Julai 28, 2014

Sebuah manuskrip, iron gall dan mata lalat [4]

Membaca manuskrip sudah menjadi minat Tuan Haji sejak beliau bersara. Katanya, dahulu kitab-kitab bertulisan Jawi ini dibaca disekolahnya, sekolah pondok. Beliau berasal dari Terengganu dan mempunyai kerabat dari istana. Tidak hairanlah namanya bermula dengan 'Nik'. Sempat juga dia menceritakan asal usul bagaimana beliau mendapat Nik.

Tentang manuskrip, katanya setiap kali hari raya, kerajaan Siam membenarkan pintu sempadan dibuka untuk kemudahan rakyat kedua-dua negara keluar masuk bagi melawat saudara mara. "Ketika ini, kawalan sempadan dilonggarkan dan kita boleh keluar masuk tanpa pemeriksaan yang ketat. Dalam tempoh seminggu, kita boleh masuk ke Patani bagi beraya. Kerajaan sana membenarkan kerana mereka tahu masih ramai rakyat Malaysia mempunyai saudara di Patani. Tetapi ada syaratnya. Kita tak boleh bawa duit dalam jumlah yang banyak. Mereka akan tuduh kita beri sumbangan pada 'pengganas' Patani pula," kata Tuan Haji panjang lebar. Beliau selalu keluar masuk ke sana, khususnya ke madrasah dan sekolah pondok. "Selalunya saya cari kitab-kitab lama yang masih ada. Kitab ini mereka susun elok-elok menanti penjual kerana mereka tahu kita mencarinya."

Tapi timbul pula masalah lain, kata Tuan Haji. "Mereka tidak tetapkan harga berapa yang perlu dibayar. Jadi inilah masalah saya paling besar."

"Selalunya berapa mereka kira?"

"Dalam RM300 ke RM500. Selalunya mereka suruh kita masukkan ke dalam tabung masjid dan sedekah dengan ikhlas. Tentang ikhlas itulah yang susah, Nak mengukur keikhlasan dengan ringgit ni susah sedikit."

Kitab-kitab inilah yang dibawanya pulang untuk disimpan dan dijadikan koleksi peribadi. Mana yang boleh dibacanya dia akan menelaahnya sendiri. Tapi, Tuan Haji pun tahu, belajar memerlukan guru. Ketika inilah dia memerlukan orang yang boleh membaca Jawi dan mengajar serta menelaah kitab.

Ketika itu gambar sudah pun siap diproses. Salinan cakera diserahkan pada beliau. Empat jam berbual dengannya terasa bermanfaat dengan pelbagai maklumat baharu yang cukup berguna buat saya. Buku-buku yang saya keluarkan ketiga ditunjukkan kepadanya termasuklah koleksi Khazanah Fathaniyah saya ketepikan. Beliau sudah bersiap sedia untuk pulang.

Saya menantikan carian manuskripnya ketika cuti Aidilfitri nanti. Beliau berjanji untuk mengkhabarkan perkembangan manuskrip yang dicarinya. Semoga perkenalan ini akan memulakan satu perjalanan yang menyegarkan terhadap manuskrip dan tulisan Jawi.

Azan zuhur berkumandang tepat ketika beliau melangkah keluar dari pejabat dan saya merasa kenyang dengan pelbagai perkongsian pada minggu-minggu akhir Ramadhan ini.


Baca juga:
Sebuah manuskrip, iron gall dan mata lalat [1]
Sebuah manuskrip, iron gall dan mata lalat [2]
Sebuah manuskrip, iron gall dan mata lalat [3]



Tiada ulasan: