Ahad, Ogos 31, 2014

Dalam hutang

Jika kita memandu keluar dari lebuhraya Lekas di persimpangan Semenyih dan terus ke Seremban melalui jalan lama Semenyih-Beranang-Mantin, tidak kurang dari sepuluh projek pembinaan sedang dijalankan di kiri kanan jalan. Bukanlah pembinaan perumahan sahaja yang ada tetapi juga rumah kedai. Jika diteliti papan iklan, tiada rumah berharga bawah RM250,000. Bayangkanlah harga rumah di luar bandar seperti Semenyih, Beranang dan Mantin yang sudah melonjak-lonjak tinggi meskipun di sekelilingnya hanyalah estet, kampung Melayu dan hutan banat. Itu belum termasuk rumah sekitar Pajam dan Nilai (yang penuh dengan warga asing) tetapi dilabelkan dengan harga yang tidak masuk akal. Kebanyakan pembeli tidak mempunyai pilihan kecuali membeli rumah yang jauh dari kota dan tempat kerja kerana inilah harga yang mampu dimiliki walaupun kebanyakan mereka keluar rumah seawal 5.30 pagi menuju ke tempat kerja bagi mengelakkan (dan mengurangkan) kesesakan. Ramai bercita-cita menetap di Bangi/Putrajaya/Kajang/Shah Alam tetapi harga rumah di sana mencecah RM800k ke lebih RM1 juta.

Di projek pembinaan ini, rumah yang dibina pun tidak banyak bersaiz 20'x70' bagi rumah teres dua tingkat yang biasa dibeli untuk mereka berpendapatan sederhana. Pemaju banyak membina rumah bersaiz besar (mewah), misalnya bersaiz 30'x80', atau dengan enam bilik atau banglo dengan harga yang tak usahlah dibicarakan. Dari kawasan bandar atau pekan seperi Bangi, Cheras, Kajang, Putrajaya, Shah Alam, ramai sudah tertolak ke luar bandar di kawasan estet, kampung dan hutan banat di Semenyih, Beranang, Mantin, Pajam, Nilai.

Persoalan yang saya timbulkan ialah 1) Kenapa harga rumah di kawasan luar bandar ini mahal sedangkan kita tahu tana asalnya ialah estet, tanah kampung atau tanah pertanian? 2) Pemaju membina banyak banglo, semi-D dan rumah kedai tanpa mengambil kira rumah teres dua tingkat 3) Apa akan jadi harga rumah selepas ini jika semua masih terus tertolak hingga ke dalam hutan?
Berdasarkan kepada pengalaman sendiri, masih ramai yang mengeluh kerana masih belum mampu memiliki rumah. Apakah tidak ada satu mekanisma yang mengawal atau menetapkan harga rumah supaya tidak terus naik melambung-lambung (walaupun ada disebut-sebut dalam pembentangan bajet yang lalu). Melihat kepada tangga gaji graduan sekarang, dengan tanggungjawab melangsaikan hutang PTPTN dan membayar ansuran kereta (kerana ketidakkecekapan pengangkutan awam maka terpaksa beli kereta), maka tidak hairanlah ramai merasakan cita-cita membeli rumah sebagai satu mimpi apatah lagi jika gaji (atau suami isteri) tidak mencecah RM5,000 dan ke atas. Bagaimana pula jika bukan graduan? Untuk mencapai tangga gaji itu, perlukan entah berapa tahun, itu pun jika tidak bertukar kerja atau syarikat membuat kenaikan setiap tahun.

Jika dapat membeli rumah pada awal 30-an, setidak-tidaknya pada usia 60 sudah selesai membayar pinjaman rumah. Jika tak sempat selesai, maka terpaksalah yang lain menanggungnya. Jika tidak, sehingga mati kita akan jadi hamba hutang. Kereta pula selepas habis dibayar - katakanlah sembilan tahun - mula buat perangai dan minta ditukar.

Tak tahulah bila kita akan merdeka.

#merdekadarihutang #turunkanhargarumah #turunkanhargakereta

Tiada ulasan: