Ahad, Ogos 03, 2014

Berniat dan berdoa

Ketika kecil dahulu, apabila selesai mendengar pengumuman tarikh bermulanya puasa, abah akan mengajar kami adik beradik niat berpuasa. Setiap hari, kami akan ulang-ulang niat berpuasa itu di hadapan abah. Seperti kami merasakan, puasa itu akan terbatal tanpa lafaz niat yang betul dan lengkap. Maka aku akan berhati-hati dalam melafazkannya, tidak tertinggal satu patah perkataan pun. Bagi memuaskan hati, aku akan ulang-ulang hingga betul-betul yakin.

Setiap tahun juga abah akan bawa jadual berbuka puasa dan imsak yang dia dapat dari masjid. Jadual itu diletakkan dalam almari bercermin dekat dengan dapur. Setiap hari, setiap waktu aku akan menatap jadual, memerhatikan waktu berbuka bagi setiap negeri dengan minit-minit yang berubah tatkala menuju ke penghujung puasa. Suasana kian mendebarkan bila menjelang petang. Bau makanan dari dapur yang emak masak, keadaan badan yang letih dan dahaga dan melihat adik makan di hadapan mata menjadikan diriku sering melirik ke arah jam. Dalam hati keras mengharap, segeralah maghrib!

Dihujung setiap jadual, tertera niat berpuasa dalam bahasa Arab. Niat itu menjadi panduan untukku membaca dengan betul, disamping menghafaz maknanya dalam bahasa Melayu. Malah, aku jadi takut membaca doa berbuka puasa bukan pada waktu berbuka kerana dikhuatiri akan membatalkan puasanya. Begitulah takutnya aku pada lafaz niat berpuasa dan doa berbuka. Seolah-olah ada larangan yang tidak tertulis di situ untuk aku mengikuti peraturan yang telah ditetapkan oleh Rabbul Izzati.

Setelah dewasa, aku jadi faham tujuan niat dan doa tersebut. Aku kian mengerti bahawa dengan membaca niat sekali sahaja untuk sebulan sudah memadai. Kerana yang pentingnya ialah niat, bukannya lafaz niat seperti yang perlu diucapkan ketika mendirikan solat. Namun begitu, bayangan aku dan adik-adik sama-sama membaca niat dan doa ketika kecil masih terbayang-bayang dalam kepala. Niat dan doa itu tetap berulang-ulang berbunyi dan bermain dalam kepalaku meski pun sudah dewasa dan tinggal berjauhan dari mereka.

Tiada ulasan: