Ahad, September 07, 2014

Langkah pertama


Ahad 7 September. Maka bermulalah perjalananku sebagai seorang pelajar. Satu gelaran yang telah lama aku nantikan dan aku cari-cari. Tempoh dua belas tahun selepas tamat pengajian ijazah sarjana muda merupakan satu waktu yang panjang. Dalam tempoh itu, aku melalui pelbagai pengalaman kehidupan yang kian mematangkan kedewasaanku. Pelbagai ruang aku terokai. Pelbagai bidang aku telusuri. Satu demi satu aku memerhati dengan ketidakpastian. Aku masih tak punya jawapan.

Kenapa harus sambung belajar, itu mungkin soalan sesetengah orang. Apatah lagi pada usia yang telah lewat. Ramai yang menyambung selepas habis ijazah pertama. Ada yang bekerja setahun dua sebelum memulakan pengajian. Aku tak dapat berbuat demikian. Selepas habis belajar, matlamat pertama aku adalah mencari kerja dan mengurangkan tanggungan abah dan emak di kampung. Adik-adik kalau boleh biarlah dilepaskan seorang demi seorang, dan apabila tanggungan mula berkurangan, bolehlah aku merencana perjalanan. Tetapi realitinya tidak begitu. Semakin mendaki tangga kerjaya, aku terbeban dengan tugas, melupakan keinginan pada pengajian dan aku mencari arah lain. Aku menyedari kebolehan menulis, maka aku berjinak-jinak dalam bidang itu. Dalam karya yang tidak seberapa, setiap yang tersiar meraih anugerah. hingga pada suatu masa aku jadi takut menulis, kerana ada yang menegur 'kalau kau tulis, pasti menang'. Aku takut dianugerahi dan tenggelam dalam anugerah.

Aku mahu menyambung pelajaran kerana aku mahu belajar. Mahu menadah ilmu bersama guru, mahu mendapatkan ilmu yang betul. Setelah merasakan hidupku stabil, tanggungan untuk adik-adik pun dah berkurangan dan pendapatan yang cukup lumayan, aku merasakan diriku cukup bersedia. Aku mencari dan bertanya kepada yang arif, apa yang ada dan sesuai. Namun aku tidak tahu apa keinginanku yang sebenar. Aku mahu keluar dari bidang ekonomi yang merupakan pengajian pertamaku di UIA. Pilihan lain ialah, sarjana kesusasteraan. Tetapi aku melihat bidang ini tersekat dan tidak cukup luas ruang lingkupnya hingga ada berseloroh 'sarjana kesusasteraan atau pengajian Melayu bila keluar nanti cuma jadi pengkritk, bukannya penulis'. Keinginan memperdalamkan diri dalam bidang penulisan rupanya tidak memerlukan kelulusan. Sebaliknya kesungguhan menulis. Itulah yang aku dapat dari pengalaman sendiri. Pilihan lain ialah sejarah yang menjadi minatku sejak dulu. Tetapi aku memerlukan bimbingan khusus dalam sejarah supaya dapat belajar dari awal kerana ini bidang yang aku baca dan teliti, bukannya betul-betul dapat dari pengajian formal. Aku tidak mahu nanti akan tersalah baca, tersilap guru, terkhilaf pandangan.

Dalam tempoh mencari yang tidak ada kesudahannya, aku bertukar kerja. Di sini, semuanya serba baru. Aku dikelilingi suasana kerja yang baru, bidang yang baru diterokai, kesungguhan menerokai bidang ilmu, ruang-ruang yang luas dibuka bagi meningkatkan keupayaan diri dan teman-teman yang sentiasa mencabar untuk meluaskan pembacaan. Aku melalui pengalaman yang menarik dalam bidang baharu yang aku terokai. Dari situ, aku dapat melihat satu budaya yang cukup baik untuk diteladani. Ini sekaligus menjadikan aku merasa terpanggil untuk berada dalam kelompok ini. Mengapa harus aku lepaskan sesuatu yang berharga yang selama ini aku nantikan?

Aku merasa tidak perlu menunggu lagi. Sebelum mencecah 40, aku harus mulakan langkah. Doa-doa yang aku tuturkan, aku harap inilah jawapannya. Aku tetap juga berharap Tuhan bersamaku dalam perjalanan kesarjanaan ini. Niatku adalah mencari ilmu yang benar bersama guru yang benar. Aku mahu menuntut ilmu dari sumbernya yang benar. Besar hasratku sejak dahulu untuk membaca hasil karya Ibn Sina, al-Ghazali, al-Farabi, Ibn Khaldun, Aristotle, Plato, Immanuel Kant, Marx dll dengan dipimpin dan dibimbing. Semoga aku mendapat yang terbaik dari pada guru yang ikhlas jujur.

Aku tidak menunggu lama bila melihat tempoh pendaftaran dibuka. Aku tak menunggu sesiapa. Aku terus daftar dengan sedikit panduan yang yang aku kenali. Ketika itu duit pun bukannya ada. Maka aku mendaftar dan membayar yuran dengan apa yang ada di tangan. Ketika ini, aku serahkan segala-galanya kepada yang Maha Kuasa. Dia lebih mengetahui segala-galanya. Dan Dialah yang mengaturkan rezekiku selama empat puluh lapan bulan nanti. Kerana, ya, kerana aku sangat sempit bila memperkatakan soal kewangan. Pendapatan yang lumayan yang aku nikmati dahulu adalah dahulu. Di sini, skripnya berbeza. Tetapi digantikan dengan banyak pengalaman yang mahal sifatnya. Allah Maha Adil, bukan?

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Perjalanan pun bermula. Selamat tinggal kepada waktu-waktu yang lapang. 

Let's rock the world. 

Beberapa nasihat penting hari ini: 
1. Even you are on on time you are also late because you are suppose to come earlier. 

2. Study has two sides: the one who give you knowledge and the one who received from you 

3. Better to remain student, because you will learn and never stop learning. 

Biarlah nampak poyo tapi kau tahu, 12 tahun mencari apa yang terbaik dan hari ini berjaya mendapat jawapannya. Jadi kau rasa apa?

Jumaat, September 05, 2014

[Puisi] somewhere i have never travelled, gladly beyond : e.e. cummings


somewhere i have never travelled, gladly beyond           

somewhere i have never travelled, gladly beyond
any experience,your eyes have their silence:
in your most frail gesture are things which enclose me,
or which i cannot touch because they are too near

your slightest look easily will unclose me
though i have closed myself as fingers,
you open always petal by petal myself as Spring opens
(touching skilfully,mysteriously) her first rose

or if your wish be to close me, i and
my life will shut very beautifully ,suddenly,
as when the heart of this flower imagines
the snow carefully everywhere descending;

nothing which we are to perceive in this world equals
the power of your intense fragility:whose texture
compels me with the color of its countries,
rendering death and forever with each breathing

(i do not know what it is about you that closes
and opens; only something in me understands
the voice of your eyes is deeper than all roses)
nobody, not even the rain, has such small hands             

Khamis, September 04, 2014

Jalan ke manuskrip yang masih tiada


Wacana Manuskrip Melayu: Katalog Baharu Manuskrip Dunia Melayu Dalam Koleksi British (A New Catalogue of Manuscripts from the Malay World in British Collections) hari ini bersama Dato' Dr Annabel Teh Gallop, Lead Curator, Southeast Asia, The British Library. Penguasaan bahasa Melayunya sedap didengar, perkongsian ilmunya sangat bermanfaat dan pengetahuan beliau dalam manuskrip Melayu bukan calang-calang hebatnya. Sangat gembira dapat bertemu beliau dan mendengar dapatan dari hasil kajian yang baharu disiapkan. Semoga nanti kan dapat berkunjung ke BL dan menuntut ilmu darinya. 

Bukan pertama kali mendengar nama Dr Annabel, malah blog dan tulisan beliau dalam laman web British Library yang memaparkan hasil kajian dan koleksi Melayu Nusantara yang terdapat di British Library sering menjadi rujukanku. Banyak bahan dan makalah beliau telah ku muatturun dari pelbagai laman web, kertas kerja beliau ku kumpulkan malah ku simpan sebagai satu koleksi bacaan bagi proses transliterasi yang ku lakukan terhadap manuskrip. 

Jadi apabila hari ini mendengar beliau berada di UKM bagi Wacana Manuskrip Melayu, ini sememangnya peluang yang sangat berharga. Membawa bersama misi KM-AJM iaitu memperkenalkan kami kepada beliau, perkongsian dan penemuan baharu dari TBL ini cukup hebat. Tulisan beliau mengenai wacana ini telah pun terdapat dalam laman web TBL dan boleh di baca di sini.

Dr Zawiyah selaku Pengerusi sempat menceritakan latar belakang beliau yang dikenali sejak puluhan tahun yang lalu ketika Dr Annabel masih baru di TBL tetapi mempunyai semangat yang kuat dalam mengkaji manuskrip Melayu. Beliau fasih berbahasa Melayu yang baik, tersusun, sopan dan teratur dan boleh juga membaca Jawi dengan baik. 

Hal seperti inilah yang sering membuatkan aku merasa teruja untuk menuntut ilmu dengan orang-orang hebat, berdampingan dengan ilmu yang ada pada mereka dan menimba pengalaman dalam merentasi lautan keilmuan. Bukanlah sekadar menumpang nama dan teruja dengan gahnya nama, tetapi menjadi seperti apa yang ada padanya dan menekuni khazanah yang kita tiada. Kita juga patut malu tidak punya pakar yang betul-betul boleh membahaskan manuskrip dengan baik seperti beliau.

Jauh disudut hatiku, aku mahu. Ya aku mahu ke sana. Menjadi pakar atau berdampingan dengan ilmu, itu adalah nikmat kesarjanaan yang tertinggi. Langkahan pertama ialah Ahad nanti. Insha-Allah, menekuni ilmu dengan penuh takzim.

Rabu, September 03, 2014

Bicara sarjana dalam setengah jam



1)
Tengah hari tadi berkesempatan menghadiri Scholarly Dialogue with Shaykh Hamza Yusuf Hanson yang diadakan secara tertutup di CASIS-UTM. Dialog dijadualkan pada jam 1 petang dari jadual asal yang dilewatkan atas permintaan SHY sendiri. Saya datang awal, sebaik pendaftaran dibuka pada jam 11.30 pagi. Tak tahu mengapa datang terlalu awal. Teruja atau gementar?

Sebelum dialog bermula, para jemputan dihidangkan dengan makan tengahari yang enak. Tepat sahaja pukul 1,  Prof Dr Wan Mohd Nor Wan Daud pun memulakan ucapan alu-aluannya sambil meminta sesi ini tidak direkodkan. Ini adalah pesanan biasa kerana tidak mahu rakaman itu diedarkan kepada pihak yang tidak hadir yang nanti boleh mendatangkan kekeliruan. Malah SHY sempat memaklumkan perihal yang sama juga, kerana beliau sendiri bukanlah seorang yang gemar wajahnya dipaparkan di mana-mana tanpa iinsan tersebut menghadiri majlis sebenar. Kedua-duanya memberikan sebab yang sama - tidak mahu nanti disalah ertikan. Saya menjeling pada alat perakam yang telah siap merakam suara mereka. Niat saya jelas - rakaman ini nanti bukan untuk disebar-sebarkan. Untuk diri sendiri juga.

SHY bercakap cuma setengah jam. Satu jam berikutnya dibuka kepada jemputan untuk bertanyakan soalan. Dalam setengah jam itu, SHY menyentuh pelbagai isu dengan ringkas tetapi padat. Dari soal commerce,  hijab, fair vs free market, tolerance, social ill vs social problem, banking & monetary system, language, education, transgender dan role of government. Bayangkanlah, dalam setengah jam beliau bercakap tentang semua perkara ini. Sangat membuka!

Dengan apa yang beliau sampaikan berkenaan ekonomi khususnya berkaitan commerce, fair vs free market, banking & monetary system, terdetik dalam hati - sudah sampai masanya untuk saya belajar kembali ekonomi. EKONOMI yang menjadi makananku selama enam tahun yang ditinggalkan kerana kecewa kerana ekonomi Islam rupanya adalah plastik dan komestik. Ia Islam yang ditampal di luarnya tetapi konvensional di dalamnya. Haruslah kali ini saya menekuninya dengan lebih teliti dan mendalam. Pastinya dengan guru yang betul.

Setidak-tidaknya, SHY ada juga sebutkan tadi - community should educate their own. Anak gagak mana boleh diajar oleh ibu tiung. Nanti lain jadinya

2)
Tiba di rumah, saya terus memasak untuk adik yang demam. Sebelum Maghrib, laptop saya hidupkan bersama talian internet. Sebenarnya saya ini bukanlah seorang follower pada mana-mana scholar. Asalkan dia seorang penyampai yang bagus dan pengisian yang memberi ubat kepada masyarakat, maka dialah yang akan saya teladani. Maklumat ku tentang SHY sangat sedikit. Tetapi bukunya, Purification of the Heart memang superb.

Apabila membaca latarbelakan beliau di sini, memang sepatutnya beliau seorang renowned scholar. Renowned bukan kerana populariti tetapi kerana ilmunya. Latar belakang keluarga dan kembalinya ke agama fitrah ini. Kemudian belajar agama dan bahasa Arab di pelbagai negara Arab selama sepuluh tahun lalu pulang ke tanah airnya. Beliau belajar dan mengajar sambil menubuhkan Zaytuna College.

Tragedi 9/11 membuka dimensi baru buat dirinya, menjadikan beliau banyak keluar kepada komuniti dan menyampaikan syarahan terbuka tentang Islam dan kefahaman terhadap Islam kerana Barat masih dan tetap skeptikal terhadap Islam. Beliau muncul dalam rancangannya sendiri, siri dialog dan penulisan buku yang banyak menyentuh tanggungjawab dalam memahami Islam dan toleransi kepada masyarakat barat. maka sangat sesuai beliau menyampaikan amanat tersebut kerana SHY dari US dan pandangannya adalah bersesuaian dengan US itu sendiri. Malah selepas peristiwa 9/11, beliau antara yang dipanggil oleh Presiden Bush bagi mendapatkan pandangan tentang senario semasa ketika itu.

Banyak lagi perkara menarik diceritakan dalam biografi ini, dan percayalah, inilah cara penulisan biografi yang betul! Ternyata, saya betul-betul takjub dan jatuh hormat pada beliau dan ilmu yang ada padanya. Buku yang beliau terjemahkan kebanyakannya berupa puisi Arab dan usaha ini sangatlah dihargai kerana banyak puisi berunsur  sufi dan keagaman tiak ditafsirkan dengan baikd ari bahasa Arab. Tidak hairanlah dengan latar belakang yang cukup baik dalam bidang seni dan kecintaannya terhadap puisi sejak kecil, beliau boleh menghasilkan terjemahan yang baik terhadap satu-satu puisi.

Manalah tahu, ini satu bidang yang patut saya ceburi nanti!