Ahad, September 07, 2014

Langkah pertama


Ahad 7 September. Maka bermulalah perjalananku sebagai seorang pelajar. Satu gelaran yang telah lama aku nantikan dan aku cari-cari. Tempoh dua belas tahun selepas tamat pengajian ijazah sarjana muda merupakan satu waktu yang panjang. Dalam tempoh itu, aku melalui pelbagai pengalaman kehidupan yang kian mematangkan kedewasaanku. Pelbagai ruang aku terokai. Pelbagai bidang aku telusuri. Satu demi satu aku memerhati dengan ketidakpastian. Aku masih tak punya jawapan.

Kenapa harus sambung belajar, itu mungkin soalan sesetengah orang. Apatah lagi pada usia yang telah lewat. Ramai yang menyambung selepas habis ijazah pertama. Ada yang bekerja setahun dua sebelum memulakan pengajian. Aku tak dapat berbuat demikian. Selepas habis belajar, matlamat pertama aku adalah mencari kerja dan mengurangkan tanggungan abah dan emak di kampung. Adik-adik kalau boleh biarlah dilepaskan seorang demi seorang, dan apabila tanggungan mula berkurangan, bolehlah aku merencana perjalanan. Tetapi realitinya tidak begitu. Semakin mendaki tangga kerjaya, aku terbeban dengan tugas, melupakan keinginan pada pengajian dan aku mencari arah lain. Aku menyedari kebolehan menulis, maka aku berjinak-jinak dalam bidang itu. Dalam karya yang tidak seberapa, setiap yang tersiar meraih anugerah. hingga pada suatu masa aku jadi takut menulis, kerana ada yang menegur 'kalau kau tulis, pasti menang'. Aku takut dianugerahi dan tenggelam dalam anugerah.

Aku mahu menyambung pelajaran kerana aku mahu belajar. Mahu menadah ilmu bersama guru, mahu mendapatkan ilmu yang betul. Setelah merasakan hidupku stabil, tanggungan untuk adik-adik pun dah berkurangan dan pendapatan yang cukup lumayan, aku merasakan diriku cukup bersedia. Aku mencari dan bertanya kepada yang arif, apa yang ada dan sesuai. Namun aku tidak tahu apa keinginanku yang sebenar. Aku mahu keluar dari bidang ekonomi yang merupakan pengajian pertamaku di UIA. Pilihan lain ialah, sarjana kesusasteraan. Tetapi aku melihat bidang ini tersekat dan tidak cukup luas ruang lingkupnya hingga ada berseloroh 'sarjana kesusasteraan atau pengajian Melayu bila keluar nanti cuma jadi pengkritk, bukannya penulis'. Keinginan memperdalamkan diri dalam bidang penulisan rupanya tidak memerlukan kelulusan. Sebaliknya kesungguhan menulis. Itulah yang aku dapat dari pengalaman sendiri. Pilihan lain ialah sejarah yang menjadi minatku sejak dulu. Tetapi aku memerlukan bimbingan khusus dalam sejarah supaya dapat belajar dari awal kerana ini bidang yang aku baca dan teliti, bukannya betul-betul dapat dari pengajian formal. Aku tidak mahu nanti akan tersalah baca, tersilap guru, terkhilaf pandangan.

Dalam tempoh mencari yang tidak ada kesudahannya, aku bertukar kerja. Di sini, semuanya serba baru. Aku dikelilingi suasana kerja yang baru, bidang yang baru diterokai, kesungguhan menerokai bidang ilmu, ruang-ruang yang luas dibuka bagi meningkatkan keupayaan diri dan teman-teman yang sentiasa mencabar untuk meluaskan pembacaan. Aku melalui pengalaman yang menarik dalam bidang baharu yang aku terokai. Dari situ, aku dapat melihat satu budaya yang cukup baik untuk diteladani. Ini sekaligus menjadikan aku merasa terpanggil untuk berada dalam kelompok ini. Mengapa harus aku lepaskan sesuatu yang berharga yang selama ini aku nantikan?

Aku merasa tidak perlu menunggu lagi. Sebelum mencecah 40, aku harus mulakan langkah. Doa-doa yang aku tuturkan, aku harap inilah jawapannya. Aku tetap juga berharap Tuhan bersamaku dalam perjalanan kesarjanaan ini. Niatku adalah mencari ilmu yang benar bersama guru yang benar. Aku mahu menuntut ilmu dari sumbernya yang benar. Besar hasratku sejak dahulu untuk membaca hasil karya Ibn Sina, al-Ghazali, al-Farabi, Ibn Khaldun, Aristotle, Plato, Immanuel Kant, Marx dll dengan dipimpin dan dibimbing. Semoga aku mendapat yang terbaik dari pada guru yang ikhlas jujur.

Aku tidak menunggu lama bila melihat tempoh pendaftaran dibuka. Aku tak menunggu sesiapa. Aku terus daftar dengan sedikit panduan yang yang aku kenali. Ketika itu duit pun bukannya ada. Maka aku mendaftar dan membayar yuran dengan apa yang ada di tangan. Ketika ini, aku serahkan segala-galanya kepada yang Maha Kuasa. Dia lebih mengetahui segala-galanya. Dan Dialah yang mengaturkan rezekiku selama empat puluh lapan bulan nanti. Kerana, ya, kerana aku sangat sempit bila memperkatakan soal kewangan. Pendapatan yang lumayan yang aku nikmati dahulu adalah dahulu. Di sini, skripnya berbeza. Tetapi digantikan dengan banyak pengalaman yang mahal sifatnya. Allah Maha Adil, bukan?

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Perjalanan pun bermula. Selamat tinggal kepada waktu-waktu yang lapang. 

Let's rock the world. 

Beberapa nasihat penting hari ini: 
1. Even you are on on time you are also late because you are suppose to come earlier. 

2. Study has two sides: the one who give you knowledge and the one who received from you 

3. Better to remain student, because you will learn and never stop learning. 

Biarlah nampak poyo tapi kau tahu, 12 tahun mencari apa yang terbaik dan hari ini berjaya mendapat jawapannya. Jadi kau rasa apa?

Tiada ulasan: