Jumaat, Oktober 31, 2014

Kata Dr Burhanuddin

Pada 1954, Dr Burhanuddin al-Helmy berucap di hadapan 800 orang pemuda dalam Jawatankuasa Kursus Pemuda UMBO Pontian, Johor. Inti pati ucapan beliau adalah berkisar tentang agama dan politik. Agama menurut beliau adalah berdasarkan wahyu dan tidak boleh ditukar atau diubah-ubah. Politik pula katanya perkara yang berdasarkan kepada akal dan kebijaksanaan, oleh itu ia tidak kekal malah berubah-ubah dan bertukar mengikut keadaan tempat dan zaman. Menurutnya lagi, ‘maka bila kita... membahaskan soal agama dan politik, tidaklah dapat sekali-kali agama itu disesuaikan dengan politik, tetapi politik itulah yang mesti disesuaikan dengan ketetapan agama’. Jelas sekali cara beliau memahamkan para pemuda di hadapannya walau pun tidak berada pada lantai perjuangan yang sama dengan mereka, seolah-olah bermakna perbezaan ideologi bukanlah halangan memberikan kefahaman tentang agama.

'Seperti api ditetapkan untuk membakar, matahari bersinar beredar dan bercahaya di atas cakerawalanya maka demikian jugalah agama Islam itu memakai peraturan yang tetap dan lengkap menurut kaedah khas dan umum. Untuk pegangan dan ikutan manusia seluruhnya begitulah bentuk Islam.’

Kita pula tidak pernah sedar dan belajar darinya

Isnin, Oktober 27, 2014

Quasi-bersejarah vs mithology

Bila kita membincangkan hal ehwal yang berkaitan dengan kehidupan intelektual, kita perlu memperhatikan bukan hanya maklumat-maklumat yang kelihatannya bersejarah sahaja, iaitu yang berkaitan dengan peristiwa-peristiwa atau orang-orang yang semestinya pernah wujud dalam realiti, namin kita juga perlu mengkaji bahan-bahan yang quasi-bersejarah iaitu mitos-mitos yang tidak boleh dianggap sebagai informasi yang betul-betul bersejarah. Mitos (mythology) adalah satu bahagian yang penting dalam kehidupan intelektual. Mitos mencerminkan pemandangan awam, pandangan-pandangan orang biasa, cara pemikiran tradisional yang biasanya tidak boleh diubah secara segera atau secara sengaja.

Dr Tatiana Denisova, Islam dan Mitos Mengenai Asal-Usul Raja-Raja Melayu dalam Adab dan Peradaban, hal 630.

Setelah satu perbincangan panjang pada petang yang lebat, akhirnya saya mengerti apa yang menjadi sukar dalam memikirkan hal tesis. Meski pun sudah tahu fokus, kajian yang ingin dilakukan masih kurang jelas. Maka yang kurang jelas itu sebenarnya adalah kurangnya kefahaman terhadap subjek kajian. Background research yang kurang dan background reading yang tidak mencukupi menyebabkan persoalan masih belum muncul.

Jadi selama ini saya fikirkan yang kefahaman yang ada dengan minat terhadap sejarah sudah membantu untuk memulakan kajian terhadap subjek. Rupanya tidak. Pandangan masih kabur dan kelam, tidak jumpa cahaya dan terowong yang saya lalui ini masih gelap. Sejak Sabtu yang lalu, beberap abuku seputar sejarah saya tekuni dengan mendalam untuk memahami subjek kajian. Rabu nanti sudah ditetapkan pertemuan dengan Dr Tatiana, sekurang-kurangnya dapatlah menyalakan beberapa lampu agar terowong yang sedang saya lalui ini menunjukkan jalan keluar.

Awal tahun ini, beberapa teman terdekat meminta saya bercerita tentang sejarah atas dasar ingin tahu dan memahami isu. Atas kefahaman terhadap apa yang saya baca, maka pada suatu pagi yang nyaman di tepi tasik di bawah pohon nan rendang, dengan makanan yang mengenyangkan, kami pun memulakan apa yang dipanggil 'Usrah Sejarah'. Bila mendengar kembali rakaman tersebut, banyak perkara yang perlu saya ulang dan ulas. Mujurlah tiada fakta yang salah. Namun ahli usrahnya sudah bertebaran dan mungkin kerana sudah cukup faham, mereka tidak lagi minta agar usrah ini diulangi

Ahad, Oktober 26, 2014

Bukan lagi kawasan jin bertendang

Tanpa disedari, kawasan kelapa sawit di sepanjang jalan dari pekan Semenyih menuju ke persimpangan Bukit Mahkota telah dipinang oleh sebuah syarikat perumahan. Beberapa papan tanda telah didirikan bagi mengatakan bahawa kawasan ini telah dimiliki dan dilarang oleh sesiapa mencerobohinya. Dari tepi jalan, kita tak nampak apa-apa kerana pokok kelapa sawit itu kita rasakan menunggu hari untuk ditumbangkan. Rupanya di sebelah dalam kawasan, kerja pembinaan telah rancak dijalankan. Pokok telah banyak menyembah bumi. Tanah berbukit telah rata ditarah. Nampaknya kawasan hijau yang mengiringi perjalanan pergi pulang kerja saban hari akan berubah menjadi hutan batu.

Kita bukannya mempersoalkan pembinaan rumah atau pokok-pokok yang disodok. Bidang pertanian nampaknya tidak menguntungkan bagi sesetengah pihak oleh kerana harga komoditi yang tidak stabil (sedangkan harga makanan melambung tinggi) maka tanah yang ada ditukar status dari pertanian kepada status kediaman. Banyak syarikat perladangan turut mempunyai syarikat pembinaan yang kemudiannya kita lihat tanah perladangan itu dibina rumah-rumah mewah di atasnya.
(Buat rumah di luar bandar dengan harga yang melambung tinggi, siapakah nanti yang akan mampu membelinya?)

Bagi sesiapa yang nak beli rumah di sekitar Semenyih-Beranang-Mantin, silalah berjalan-jalan melihat projek perumahan yang rancak dibina. Semenyih bukan lagi kawasan jin bertendang. Lebih banyak susur keluar dari lebuh raya Lekas sedang dirancang bagi mengurangkan kesesakan di pekan Semenyih

Isnin, Oktober 20, 2014

Penindasan akademik



Pagi tadi aku dijemput menghadiri pertemuan transliterator dengan ATMA UKM. Sebelum, yahun lepas, ini aku terlibat dengan projek perumian kitab tib dengan ATMA di bawah seliaan Dr Harun Mat Piah. Atas penglibatan tersebut, aku dijemput lagi untuk sama menyertainya. Aku bawa Hanan bersama agar dapat bersama-sama dan peramaikan warga KM dalam usaha ini.

Dalam ucapan awalnya, Dr Harun berkali-kali menyatakan bahawa negara kita ketiadaan pelapis dalam bidnag filologi. Malah di Malaysia sendiri, filologi bukanlah satu bidang utama, bahkan menjadi sub bidang bagi sastera dan sejarah. Ketiadaan pelapis ini disebabkan pakar yang sedia ada telah pun bersara, dengan mengambil beberapa nama seperti Dr Abu Hassan Sham yang kini sibuk berkebun dan Dr Siti Hawa Salleh yang terkenal dengan kajian Hikayat Merong Mahawangsa. Kelompongan ini menyebabkan bidang manuskrip tidak ditekuni dengan betul oleh orang yang sepatutnya. Atau mungkin juga, pada fikiranku, tiada nilai ekonomi untuk mnenyertai bidang ini. Tidak boleh menjamin gaji besar dan tidak popular. Tenggelam dengan buku, manuskrip yang buruk dan busuk - siapa mahu?

Ketiadaan pelapis filologi ini dan kata-kata Dr Harun terus terngiang-ngiang dalam kepalaku. Tiada pelapis, tiada pelapis. Allah, bantulah aku mengisi kelompongan itu. Aku mahu menjadi pakar filologi, paling tidak pun, menekuni manuskrip-manuskrip yang terdapat di dalamnya khazanah ilmu kita yang terpendam. Bagai mutiara yang tersimpan di dasar laut.

Perbincangan seterusnya oleh Pengarah ATMA yang baharu - entah apa namanya - menampakkan sinar pada ATMA yang seperti hidup segan mati tak mahu. Dr Shukri Yeoh Abdullah yang baru menjadi Ketua Bahagian Manuskrip pula nampaknya mahu fokus pada tiga benda - hukum kanun, manuskrip dan filologi. DBP menerusi Pn Kamariah pula bersedia menyediakan ruang dan peluang, meski pun ketiadaan pakar - dengan keupayaan yang ada, misalnya seminar dan bengkel yang bersesuaian untuk melatih dan membimbing anak muda.

Dr Zawiyah, bekas Pengarah ATMA pula berharap agar ada sarjana pekerja yang berkebolehan seperti Dr Annabel yang bukan sahaja bekerja di BL tetapi mengkaji manuskrip dan menulis tentangnya. Bukan seperti penjawat awam kita yang bekerja kerana kerja, akibatnya manuskrip di muzium, perpustakaan dan arkib cuma menjadi bahan tontonan. Tidak tahu apa yang harus dilakukan dengannnya kerana ketiadaan ilmu menekuninya (atau malas?).

Perbincangan selepas itu berkisar birokrasi dalam pentadbiran UKM bagi menerbitkan buku, pertindihan dan percanggahan kuasa antara PNM-Muzium-arkib dalam hal pengkalogan, kewangan UKM yang dipotong dan mendesak serta permasalahan akademik yang tidak selesai - yang semuanya ku anggap adalah penindasan akademik yang meruncingkan.

Bila melihat bagaimana mereka berusaha mencari wang untuk mendanai projek dan penyelidikan, aku teringat Sabtu lalu ketika kami bertemu. Perbincangan tertumpu pada geran penyelidikan yang melampau di UM tetapi kerap disalahgunakan dan menghasilkan keputusan yang tidak memuaskan. Juga oleh syarat yang tidak masuk akal.  Akhirnya, sesuatu yang baik itu jatuh pada tangan yang salah, maka kemudian, dunia akademik kita tak boleh bangkit dengan baik. Seperti pokok yang tidak disiram, lama-lama kan layu dan mati. 

Inilah penindasan akademik sebenar, dan aku berada sebelah kaki di dalamnya. Tidak akan aku mengalah, malah akan aku lalui dengan darah muda yang akan memberontak. Bukan tidak pernah aku buat, malah akan aku bawa sesiapa yang ada di sekelilingku yang mahu sama memberontak. Pemberontakan ke atas penindasan akademik. Berani?

Dan sekarang, aku sedang membaca Mencari Jalan Pulang oleh Kassim Ahmad. Ketika usianya 17 tahun, dia di masukkan ke hospital,oleh kerana demam kuning. Pelbagai bentuk penindasan dilihatnya berlaku di hospital. Penindasan ini pada fikirannya tidak wajar dan harus dibanteras. Lalu dia bersumpah dan berjanji pada diri pada diri untuk menjadi seorang pengarang, yang akan mendedahkan segala kepalsuan ini kepada dunia (ms 51).

Tetapi aku belum berani bersumpah. Aku cuma mampu berjanji.

Sabtu, Oktober 18, 2014

HMM 1

Aku petik satu bahagian dari tulisan Cik Srikandi yang penting. Nanti akan aku baca dan kaji Hikayat Merong Mahawangsa. Sekarang aku tumpukan bacaan kepada sejarah Melayu dan nusantara, institusi kesultanan dan raja-raja Melayu untuk mendapatkan maklumat yang lengkap berkenaan institusi kesultanan Melayu-Islam. Buat masa ini, aku berminat mengetahui lebih lanjut tentang sejarah Nusantara sejak dari ia wujud di alam Melayu. Skopnya akan aku kecilkan nanti

Orang Melayu semenanjung sebenarnya telah lama berada di tanah besar dan bukannya berasal dari Sumatera.Sebahagian besarnya berada di Indochina dan Segenting Kra,melalui negarakota-negarakota mereka (city-states).Orang Melayu yang menubuhkan Langkasuka bukanlah Melayu Sumatera.Langkasuka ada kaitan dengan Funan,dan orang Melayu semenanjung pada zaman purba punya hubungan dengan Khmer,Pyu,Mon,Burma,Dai-Viet dan Tai;satu hubungan istimewa yang tidak dipunyai oleh Melayu Sumatera mahupun Borneo.Sebab itu prasasti-prasasti yang mencatatkan salasilah raja-raja Melayu Indochina ditemui sejauh Vietnam (Prasasti Dong-doung, contohnya), apatah lagi di Kemboja.Sebab itu jika ada orang gila yang mengatakan kepada kita bahawa Melayu berasal dari Sumatera,jangan layan.Sebab kita tahu bahawa Langkasuka dan Tambralinga yang wujud sezaman dengan Funan iaitu lebih kurang 1 Masehi beratus-ratus tahun lamanya sebelum kemunculan Sriwijaya dan Melaka yang seringkali dikaitkan dengan Melayu Sumatera.

Kini para pengkaji telahpun mengesan sejarah awal Sriwijaya di utara semenanjung.


Sumber:  http://halamansrikandi.blogspot.com/2011/06/siam-lancang-dalam-hmmrealiti-atau.html

Jumaat, Oktober 17, 2014

Membetulkan yang salah

Aku bukanlah baru mengetahui kewujudan Cik Srikandi. Penah dulu dengar tentang Mistisfile dan Alter Terahsia, tetapi kerana perlu bayar, kena daftar, maka aku jadi tak berminat nak ikut segala tulisannya. Cuma setahun kebelakangan ini, bila tahu kewujudannya dalam FB (aku lewat tahu rupanya), maka aku selongkar setiap apa yang ditulisnya. Dari FB, aku ke semua blognya. Secara peribadi, aku berminat dengan segala tulisan beliau. Dia lengkap fakta dan berani menepis segala fakta yang tidak benar. Dia mempunyai maklumat yang lengkap hingga kita tak rasa silap dan boleh pula membetulkan maklumat orang lain dengan sebaiknya. Kita tak tahu siapa dia, dia menjaga identiti dengan cukup ketat. Maka ini cukup bagus kerana tidak akan ada orang mampu membaca dia dengan prejudis, dan percaya sesungguhnya dengan kajian yang cuba dilakukan sendiri. Dia menulis sambil mengusik hingga tidak terasa kita telah membaca satu tulisan yang panjang. Sambil dia tidak lupa menyelitkan nasihat agar Melayu sentiasa ingat tentang asal diri Melayu.

Ini mengingatkan juga aku pada Dr Hafidzi Mohd Noor. Beliau pensyarah botani di UPM, pejuang NGO Palestin dan self-taught historian. Ketika menghadiri dua seminar sejarahnya dahulu, aku merasa kagum dengan keupayaannya mencantumkan fakta yang dibaca menerusi kajian orientalis dan sumber tempatan. Ini tidak semua orang oleh buat, apatah lagi mengusahakan sendiri tulisan tanpa perlu dana atau geran. Dengan minat, segala-galanya boleh.

Menerusi dua insan ini, aku serap semangatnya dalam mengharungi perjalanan kesarjanaanku dalam dua tahun mendatang. Masih memikirkan skop kajian dan fokus tesis, tetapi aku sudah nampak apa yang perlu dikaji. Sejarah kita ada silapnya dan masih tidak terlewat untuk idperbetulkan. Kita ada banyak sumber yang belum dikaji dan aku mahu menggalas tugas itu. Doakan ku, sahabat.





Selasa, Oktober 07, 2014

Ada soalan?

Sebelum ini, amat membingungkan bila aku diberitahu yang 'kamu tidak digalakkan bertanya soalan, sebaliknya simpan soalan itu untuk dijawab sendiri.'

Nampak tak logik. Kalau tak faham, kenalah tanya soalan. Kalau tak boleh tanya, memang tak faham-fahamlah jawabnya.

Namun aku tahu, pasti ada sebab mengapa. Jawapan kepada kenapa tidak diberikan, kerana nak bertanya kenapa tidak boleh bertanya soalan pun tak boleh / tak tertanya. Lama-lama, aku jumpa jawapannya sendiri. Maksudnya, kita boleh cari jawapan kepada soalan itu jika kita mahu dan rasakan perlu, jika ia penting dan jawapannya kita memang perlu tahu.

Hidup dalam generasi Y - generasi yang banyak bertanya (WHY), bila dilihat-lihat bukanlah dengan niat bertanya. Selalu kita dengar soalannya sangat tak relevan dengan topik, jauh tersasar dari fokus perbincangan, menampakkan si penyoal tidak faham pun dengan apa yang bincangkan ketika itu. Lebih teruk, soalan ditanya bertujuan melekehkan dan merendahkan ilmu orang yang ditanya, dengan tujuan mendatangkan malu dan menduga betapa dalamnya ilmunya. Bayangkanlah jika yang ditanya itu adalah seorang guru besar, ilmuan yang sudah berdamping dengan buku bertahun-tahun, hafal semua ayat dalam Qur'an dan hadis dibicarakan dan dibahas dengan dengan baik. Siapakah kita - si ikan bilis yang cuma menduga lautan dalam? Sedangkan sebelum itu kita sudahpun lemas dalam lautan ilmu sang guru. Maka adilkah bertanya?

Terkini, ketika cuti Aidil Adha, dalam rancangan Salam Baitullah (yang disiarkan ketika setiap musim haji), pengacara membacakan satu soalan yang dikemukakan dari FB. Soalan itu berkenaan dugaan syaitan terhadap manusia. Ustaz memanjangkan soalan, katanya, pernah dia mendapat soalan yang lebih jauh dan menyimpang. Bunyi soalan itu, jika syaitan menyesatkan manusia, kenapa kita tidak bersama-sama bersolat hajat mohon kepada Allah agar syaitan bertaubat dan tidak menyesatkan manusia. Sebegitu jauh perginya, soalan yang tidak perlu ditanyakan jika faham betul-betul hal agama, yang ini sangat asas.

Mereka tak tahu, jadi perlu bertanya. Memanglah kalau tak tahu kena bertanya, tetapi bertujuan memahamkan, bukannya mempersoalkan atau semakin membingungkan diri. Hal ini sama juga dengan tuduhan bahawa nak mengajar kena guna bahasa yang mudah difahami oleh semua orang. Satu fakta yang selalu kita terlupa aau buat-buat lupa ialah ilmu itu tinggi sifatnya, maka kita harus meninggikan diri kita untuk mencapai takah ilmu, bukannya merendahkan tahap ilmu supaya boleh difaham hatta oleh bayi sekali pun.

Oleh itu, sebelum bertanya, fikirlah dahulu soalan kita. Tulis dahulu soalan tersebut di atas kertas, baca dan renung dengan teliti. Jawapannya akan kita dapat bila kita mencari dan merenungi. Dapatan dari renungan itulah yang sepatutnya dikongsikan dengan sang guru, yang jika dia tidak setuju atau salah, dia boleh membetulkannya. Secara tidak langsung, dia menjawab persoalan-persoalan yang masih tergantung tanpa jawapan. Kita pun akan berfikir dan membetulkan semula fakta yang bertaburna dalam kepala dengan fakta yang baru dihuraikan. Dengan cara ini, barulah boleh mencakap HIGHER ORDER THINKING. Menggunakan otak dan akal dengan semaksimum mungkin.

Tak setuju? Tak setuju tak apa, fikirlah dahulu sebelum bertanya dan mempersoalkan.

Sabtu, Oktober 04, 2014

K-Pop Sukan Asia Incheon 2014

Jumlah kutipan pingat negara selepas tamat 16 hari Sukan Asia 2014

Dalam upacara penutup Sukan Asia Incheon 2014 petang tadi, wajah-wajah ala-K-pop beraksi dalam slot khas 'One Asia United Through Taekwando'. Meski pun kita dah tahu taekwando datang dari Korea, mereka tetap tak tinggal mempersembahkan kehebatan seni mempertahankan diri ini kerana mereka tahu, satu Asia melihat mereka. Kita berharap, inilah yang sepatutnya ada bagi memperkenalkan sesuatu milik kita, silat misalnya, bukan sekadar acara 'tarian ala-citrawarna Dataran Merdeka' yang di dalamnya tidak pun pekat dengan keasliannya.

Kita juga berharap ada pembaharuan menyeluruh dalam bidang sukan, yang persembahannya merudum jika dilihat pada Sukan Komanwel dan Sukan Asia. Team talent search patut masuk ke ceruk pedalaman dan kawasan kampung mencari anak muda yang berbakat tapi tidak dicungkil bakatnya oleh pihak sekolah. Menjadi atlit negara mungkin boleh menjadi motivasi untuk keluar dari ruang kemiskinan dan membawa mereka berkeliling seluruh dunia menyertai pertandingan demi pertandingan.

Dahulu, bakat Amirul Hamizan Ibrahim, ahli angkat berat, dikenalpasti selepas dia dan rakan-rakan dilihat mengangkat tong-tong ikan yang berat di pangkalan Rompin. Dia dilatih dengan betul dan menjadi jaguh angkat berat. Ramai lagi kita pasti ada tersorok - seperti yang berjalan kaki ke sekolah, yang menunggang basikal setiap hari, yang masuk kebun mengangkat getah, yang gigih membanting padi, yang menangkap ikan di lautan, yang turun naik bukit masuk ke hutan. Kita perlu faham tren sekarang, anak-anak bandar lebih gemar dengan sukan indoor yang tidak menggelapkan kulit, tak berpeluh dipanah mentari dan lebih selamat dari risiko outdoor yang tidak pasti. Anak-anak kampung ini boleh mengimbangi kekurangan itu.

Ini juga angan-angan saya waktu kecil dahulu - kalaulah talent search jumpa bakat saya dan kawan-kawan waktu sekolah - mungkin dah jadi atlit negara. Itu mungkin angan-angan sahaja. Angan-angan yang sudah terbunuh

*perenggan akhir tu tak usah percaya sangat