Ahad, Oktober 26, 2014

Bukan lagi kawasan jin bertendang

Tanpa disedari, kawasan kelapa sawit di sepanjang jalan dari pekan Semenyih menuju ke persimpangan Bukit Mahkota telah dipinang oleh sebuah syarikat perumahan. Beberapa papan tanda telah didirikan bagi mengatakan bahawa kawasan ini telah dimiliki dan dilarang oleh sesiapa mencerobohinya. Dari tepi jalan, kita tak nampak apa-apa kerana pokok kelapa sawit itu kita rasakan menunggu hari untuk ditumbangkan. Rupanya di sebelah dalam kawasan, kerja pembinaan telah rancak dijalankan. Pokok telah banyak menyembah bumi. Tanah berbukit telah rata ditarah. Nampaknya kawasan hijau yang mengiringi perjalanan pergi pulang kerja saban hari akan berubah menjadi hutan batu.

Kita bukannya mempersoalkan pembinaan rumah atau pokok-pokok yang disodok. Bidang pertanian nampaknya tidak menguntungkan bagi sesetengah pihak oleh kerana harga komoditi yang tidak stabil (sedangkan harga makanan melambung tinggi) maka tanah yang ada ditukar status dari pertanian kepada status kediaman. Banyak syarikat perladangan turut mempunyai syarikat pembinaan yang kemudiannya kita lihat tanah perladangan itu dibina rumah-rumah mewah di atasnya.
(Buat rumah di luar bandar dengan harga yang melambung tinggi, siapakah nanti yang akan mampu membelinya?)

Bagi sesiapa yang nak beli rumah di sekitar Semenyih-Beranang-Mantin, silalah berjalan-jalan melihat projek perumahan yang rancak dibina. Semenyih bukan lagi kawasan jin bertendang. Lebih banyak susur keluar dari lebuh raya Lekas sedang dirancang bagi mengurangkan kesesakan di pekan Semenyih

Tiada ulasan: