Sabtu, November 01, 2014

Jalan pulang versi Kassim Ahmad

Kassim Ahmad kita tahu pernah dan masih kekal dengan pemikiran anti-hadis. Buku ini dengan judul penuh Mencari Jalan Pulang: Daripada Sosialisme Kepada Islam merupakan mini auto-biografi yang ditulisnya bagi mencatat perjalanan kehidupan sejak kecil. Saya katakan mini kerana ada beberapa perkara penting tidak diceritakan dengan jelas atau ditinggalkan. Antara yang dapat saya kesan ialah penahanannya dalam ISA (walaupun dia minta kta rujuk pada bukunya sebelum ini yang bercerita hal penahanan) dan Jemaah al-Qur'an Malaysia yang tidak tahu apa sebab ditubuhkan dan kini senyap.

Kassim memang kuat dengan idea sosialis. Idea ini lahir dari perasaan dan fikirannya terhadap kehidupan yang dirasakan ada berat sebelahnya. Dia cuba melahirkan fikiran yang lain dari kebiasaan dan mula mempersoalkan pelbagai perkara dan mencari jawapan yang sebaiknya. Bermula dengan Hang Tuah yang dianggap lemah dan lesu, Kassim mengangkat Hang Tuah sebagai hero baharu.

Meski pun dia telah meninggalkan perjangann sosialis dalam parti, pemikiran Kassim masih tidak berganjak terhadap pandangan bersifat menentang.  Ada beberapa perkara yang saya ambil dari buku ini untuk kita lihat bagaimana pengaruh sosialis yang bersifat penentangan masih ada dalam diri Kassim.
  1. Kegoncangan dunia sekarang satu metafora. Ia diibaratkan seperti dilambung oleh ribut-taufan dan ombak yang besar dan, dalam proses ini, sistem-sistem dan tokoh-tokoh yang palsu akan dihapuskan dan digantikan dengan sistem-sistem dan tokoh-tokoh yang lebih baik. Quran telah menyatakan perkara ini dalam sebuah ayat yang sangat hebat. Bunyinya: Pada hari itu kami akan menggulung langit seperti sebuah buku. Kemudian, sepertimana Kami memulakan penciptaan yang pertama, Kami akan memulakan suatu penciptaan yang baru. Ini suatu janji yang akan kami tunaikan. (21:104) - halaman 139. Ini seperti mengajak kita meninggalkan hadis dan memulakan ciptaan lain, yang lebih baru
  2. Mengapakah kebanyakan ahli hukum dan ahli tafsir kita mengabaikan dua kumpulan ayat yang berbeza ini? Saya fikir keran akita sudah diajar menganggapkan ahli-ahli hukum besar kita sebagai kudus dan tidak boleh dikritik. Saya masih ingat kata-kata seorang Sheikh 'ul Islam dari mesir yang melawat Malaysia banyak tahun dulu; kata beliau, "Siapakah kita disamping imam-imam besar itu?" Sikap demikianlah yang membuat kita taksub kepada mereka, lalu kesilapan-kesilapan mereka, kerana keadaan sejarah emreka (dan jangan lupa tiada manusia yang sempurna!), kita teruskan hingga ke hari ini. Pelajaran yng pahit bagi kita ialah: senantiasa jangan lupa mengkritik kesalahan. Bukankah ini suatu ajaran Islam yang utama - menyerukan kebaikan dan melarang kejahatan? - halaman 183
  3. Kassim turut bercerita tentang dajjal yang padanya seperti suatu mitos tetapi sebenarnya adalah sesuatu yang wujud disekelilingnya. Kiamat disebut dalam Quran, tetapi yang lain tiada terdapat dalamQuran. Mereka disebut dalam cerita-cerita hadis (merujuk epada Imam Mahdi, dajjal, yakjuj, makjuj dan turunnya Nabi Isa).
Tentang hadis, asalnya dia membaca buku Dr Rashad Khalifa yang berjudul The Computer Speaks: God's Message to the World. Dia menulis ulasan dalam kolumnya di akhbar Watan. Ulasan itu dibalas dengan kritikan pembaca. Bagi menjawa kritikan ini, Kassim menulis lima buah artikel lagi tetapi editor tidak mahu menyiarkan. Kata Kassim, sikap ediotr ini menggambarkan sikap mansyarakat feudal: tidak ada kebebasan untuk berdebat. Bolekah kita cari kebenaran tanpa debat? (Hal 189). Ini diikuti dengan Seminar Hadis yang dianjutkan oleh UKM yang dibatalkan oleh MAIS sehari sebelum acara. Apabila tidak mendapat dua peluang ini, maka dia pun menerbitkan lima artikel itu dalam bentuk buku dengan judul Hadis: Satu penilaian Semula. Kassim kemudian dapat bertemu Dr Rashad Khalifa dan Dr Hasan Hanafi diluar negeri

Isu hadis ini turut melibatkan ABIM. Anwar Ibrahm yang awalnya seperti menyokong kemudian membangkangnya. Kassim melihat ini sebagai satu muslihat Anwar dan muslihatnya terhadap politik.

Meski pun begitu, ada perkara yang boleh membuatkan kita berfikir panjang. Menurutnya, agama baka yang kita anuti ini menyebabkan kita tidak berfikir. Quran kita baca dengan penuh tertib dan berlagu, sedap didengar malah kita hafal. Malangnya kita tidak faham maksudnya, tidak boleh mempraktikkannya pun. Jadi saya beranggapan, Kassim menggunakan premis ini untuk membaca, meneliti, menilai dan membuat tafsiran semula terhadap Quran. Malangnya dia mengenepikan hadis. Bukankah hadis itu pelengkap Quran untuk kita  faham akan kandungannya?

Saya fikir, Kassim tak perlu sentuh soal agama. Biarlah dia dengan kepakarannya dalam hal kemasyarakatan dan politik. Hal agama, bila dibaca sahaja tanpa pemahaman menyeluruh, maka fikiran kita akan mula mempersoalkan pelbagai perkara. Pelbagai soalan juga akan timbul. Jadi bila soalan itu ditanya dan tidak ditemui jawapan, mulalah datang kecewa pada agamawan. Hal agama perlu dipelajari dengan bimbingan guru. Kita tak boleh mengambil mudah dan berkata, Nabi sendiri tidak punya guru. Nabi seorang maksum, terpelihara dari kesilapan, ilmunya datang terus dari Tuhan dan dibimbing oleh malaikat yang sentiasa melindungi. Kita ini siapa untuk berbuat begitu?

Sedangkan Imam Shafie, Imam Malik dan imam yang lain berkelana dari satu wilayah ke satu wilayah, dari seorang guru ke guru yang lain untuk menuntut ilmu. Masakan kita semudah itu duduk dihadapan laptop menekan butang Google atau menyelak halaman buku demi buku. Ilmu tidak semudah itu untuk kita dapat, jika kita mahu benar-benar faham.

Kassim menginsafi perjuangan yang cuba dibuat bersama Parti Sosialis Rakyat Malaysia sehingga meletakkan semua jawatannya dan cuba berpatah balik mencari jalan pulang - seolah-olah jalan kebenaran untuknya. Namun jalan yang dicari itu nampaknya atas tafsirannya sendiri, yang masih cuba memakai kacamata sosialis sehingga Qur'an, hadis dan agama diterjemah atas pemahamannya meski pun ada perkaa yang kita boleh setuju dengannya. Saya tidak menganggp beliau menemui jalan yang dicari, dia masih berada satu jalan yang berbeza dari apa yang kita fahami

Tiada ulasan: