Ahad, November 09, 2014

Kamus dan bahasa


Tarikh kamus ini dibeli ialah pada 14 September 1996, kira-kira dua bulan selepas mendaftar di matrikulasi Lembah Pantai. Sesekali sahaja guna kamus, kerana lebih banyak tanya kawan akan makna perkataan. Malas nak menyelak pun satu hal. Tapi kali ini akan lebih banyak menyelak Kamus al-Kauthar ini.


Menyiapkan kritikan terhadap biografi yang memerlukan rujukan dari beberapa sumber dalam bahasa asing perlu mengakrabi kamus bagi mendapatkan makna yang tepat, bukan sekadar meneka-neka. Scholar ialah insan yang menguasai pelbagai bahasa, malah orientalis belajar bahasa terlebih dahulu sebelum memahami adat dan budaya sesuatu bangsa.

Kita, di mana kita letakkan diri kita? Bahasa Inggeris pun, belajar sejak dari tadika tapi bila habis SPM masih merangkak-rangkak. Ini mengingatkan aku pada seminar Jawi yang aku hadiri awal tahun ini. Dalam pengajaran di sekolah, subjek Jawi terkepung oleh subjek lain yang kononnya lebih moden. Untuk mendapatkan jumlah jam mengajar yang mencukupi untuk Jawi memerlukan guru dan pakar Jawi bertelagah dengan pegawai dari Kementerian. Hujah mereka, tulisan Jawi tidak membawa ke mana, sekadar belajar benda yang lama. Lalu dijawab oleh guru Jawi, bahasa Inggeris yang dipelajari dari sekolah rendah itu pun tidak mampu memandaikan pelajar untuk berbahasa Inggeris. Jadi eloklah dikurangkan jam mengajar. Pihak yang satu lagi kelu lidah untuk membahas.

Inilah yang terjadi bila tidak menggunakan otak pada tempat sepatutnya. Ada akal tapi tak diendahkan kepentingannya. 

#orientalisme #bahasaarab

Tiada ulasan: