Rabu, Disember 31, 2014

Selamat pergi 2014

Ini status terakhir bagi 2014.

Selamat tinggal 2014 yang punya pahit dan manis, derita dan tangis, duka dan pilu yang tidak kunjung henti sejak awal tahun hingga tenggelamnya mentari hari ini. Al-Fatihah kepada yang telah pergi. Usia kita pun semakin singkat dan umur kian meningkat.

2014 sempat menyeberang ke Singapura, Chennai, Makassar dan Tokyo. Entah apa pula yang ada sepanjang 2015 nanti.


#prayformh370 #prayformh17 #prayforpantaitimur #prayformalaysia





Ahad, Disember 28, 2014

"laut ngeri di bulan Disember"

https://www.youtube.com/watch?v=81-UPlcWad0

Nyanyian Pantai Timur
Kumpulan Harmoni

Wajah laut dan perahu tua
adalah rakan setia hidupku
aku yang sentiasa merindukan senyum
dan tawa anak isteriku

ombak laut Cina Selatan
adalah suara tangisanku
seorang nelayan kecil
memperjudikan hidup
bersama doa dibibir gersang

ikan dan camar lebih mengerti
tragedi hidup kami
dari mereka yang berjanji
dengan kata bak puisi

laut ngeri di bulan Disember
ada kalanya lebih simpati
kerna mengambil diri
dan melimpahkan rezeki
serentak pada hidup kami

ikan dan camar lebih mengerti
tragedi hidup kami
dari mereka yang berjanji
dengan kata bak puisi

laut ngeri dibulan Disember
ada kalanya lebih simpati
kerna mengambil diri dan
melimpahkan rezeki
serentak pada hidup kami

tiap Subuh pantai berselimut sepi
menanti berita kematian
dari saujana...lautan...

tiap Subuh pantai berselimut sepi
menanti berita kematian
dari saujana...lautan...

Jumaat, Disember 26, 2014

Sepatah kata - darurat

Aku salin ini dari FB (belum dapat kesahihan dari maklumat MKN)
----


Pentingnya Pengisytiharan Darurat Bencana Alam ialah supaya kerja pengurusan bencana dibiayai dan dikendalikan oleh Kerajaan Persekutuan


"BAHAGIAN VIII: PENGISYTIHARAN DARURAT BENCANA
PERKARA 25: PENGISYTIHARAN DARURAT BENCANA


42.(i). Pengisytiharan Darurat Bencana, apabila perlu, dibuat secara peraturan pentadbiran dan eksekutif YAB Perdana Menteri atas syor JPBP, tertakluk kepada undang-undang dan tatacara Kerajaan yang sedang berkuatkuasa.


(ii). Apabila diisytiharkan sebagai Darurat Bencana, pengurusan Bencana serta bantuan dan Pemulihan kepada mangsa-mangsa Bencana akan dikendali dan dibiayai oleh Kerajaan Persekutuan mengikut Kementerian/Jabatan yang berkaitan."
--
bertabahlah

Banjir hujung tahun

Banjir hujung tahun ini sangat dahsyat.
Jalan dinaiki air. Ada yang runtuh dilanggar arus deras.
Bukit yang disangka tinggi rupanya turut diterjah bah.
Air yang naik berdikit-dikit menjadi musuh yang dibenci sangat-sangat
Kampung menjadi laut, bumbung pun tidak kelihatan
Rumah sudah hilang dibawa arus
Yang tinggal hanyalah apa yang ada dibadan
Helikopter yang datang pun tak mampu mendarat
Bantuan tidak sampai kerana kerana kenderaan ditolak air
Seperti tsunami kata mereka, seperti bencana kata yang lain
Tapi darurat pun tak mampu diisytiharkan
Apa yang ada pada kita? Doa sahabat, doa
Dia yang menurunkan hujan, Dia juga yang berkuasa memberhentikan
Dia yang menaikkan arus, Dia juga yang berkuasa menurunkan
Dia yang menghidupkan, Dia juga yang mematikan.
Tuhan ada bersama kita, memerhatikan kita, menguji kita
Dialah tempat kita bersandar harapan.
Bukannya pada seorang Perdana Menteri


Hari ini juga ulangtahun 10 tahun tsunami Acheh
26 Dis 2004 - 26 Dis 2014.


Al-Fatihah kepada semua

Jumaat, Disember 19, 2014

Penjejak muda

Sejak bekerja di KM, secara perlahan-lahan aku mula berhadapan dengan manuskip. Mula-mula melihatnya, rasa terua. Bila memegangnya, walau pun salinan, rasa lain macam. Kemudian aku mula merumikan setiap patah perkataan satu semi satu. Aku mula memahami mengapa tulisannya sukar dibaca. Dahiku berkerut-kerut cuba menangkap aa yang cuba dimaksudkan si penulis. Dalam pada itu aku mula mencari maklumat tentang manuskrip. Aku banyakkan menggoogle sebagai permulaan, membaca jurnal dan makalah dan mula berjinak-jinak membaca syarahan yang lebih tebal. Kemudian aku mula menghadiri majlis ilmu seputar manuskrip dan sejarah. Jika sebelum ini hidupku terarah kepada sastera, kini aku kembangkan kefahaman itu kepada dunia yang tidak jauh lari dari kefahaman ku - sejarah. Dari situ aku mula mengumpul fakta yang terdapat pada perca-perca bacaanku sebagai seorang yang tidak dilatih secara formal dalam manuskrip dan sejarah - sama sifatnya dalam sastera. Jadi sebagai permulaan aku perl banyak membaca, menaakul, menafsir, melihat dan cuba-cuba bertanya dan tidak berusaha menjadi pandai. Sedikit demi sedikit aku faham mengapa ada kelainan versi pada Sejarah Melayu. Mengapa manuskrip bertebaran di 31 negara di dunia. Mengapa tak boleh bawa balilk. Apa peranan muzium, Arkib, DBO, PNM dan badan berkaitan manuskrip. Mengapa Hang Tuah dijadikan hero nasional. Mengapa Kassim Ahmad menangkat Jebat sebagai wira. Dan sejuta persoalan yang masih memerlukan jawapan.

Penataran Manuskrip Melayu boleh dikatakan ruang aku belajar secara formal tentang manuskrip dan sejarah, bertemu dengan sarjana yang arif dalam bidangnya, menimba ilmu perihal sejarah dan manuskrip dan memahami bersunguh-sungguh akan bidang yang mula aku cintai ini. Berbeza sekali dengan acara ini, aku duduk depan dan langsung tidak terlelap. Malah dalam demam pun aku gagahkan diri menghadirinya. Selepas satu mesyuarat pula aku terus berlari balik untuk menimba ilmu meski pun ketika sampai peserta tengah makan. Kelas yang sepatutnya ada pada Rabu dibatalkan dan pelajar diminta menghadiri acara ini. Nampak benar ruang terbuka luas untuk aku berada di dalamnya. Ya Tuhan, kau kuatkan semangatku dan cerahkan kefahaman ku agar dapat mencerap segala ilmu-ilmu dalam bidang ini.

Dalam mesyuarat yang aku hadiri di PNM, sang pegawai bercerita tentang manuskrip dan pencariannya dari satu tempat ke satu tempat. Nak menangis rasanya dengar dia cerita. Kalau pun sebelum ini kita lalai dan leka, janganlah kita berterusan lalai dan leka. Inilah masanya untuk bangkit kembali. Institusi berkenaan kian sedar perihal manuskrip. orang muda diperlukan untuk mengkaji manuskrip. Tahun hadapan, akan banyak ada acara berkaitan manuskrip. Inilah ruang untuk aku beraksi.

Akhirnya, aku teringat kata sang pegawai PNM."Bangsa kita bukan bangsat dan miskin. Kita guna dakwat emas untuk menulis. Bayangkanlah sahaja kekayaan kita."

Khamis, Disember 18, 2014

Tiga hari

Selesai menghadiri Penataran Manuskrip Melayu selama tiga hari di DBP, di celah kesibukan kerja yang menunggu diselesaikan menjelang hujung tahun, mesyuarat luar dan demam yang tiba-tiba datang. Berpeluang menimba ilmu dalam bidang manuskrip lalu diperkenalkan pula dengan cabang ilmunya yang besar seperti filology, codicology, textology, paleography dan bermacam-macam lagi istilah yang ada. Syarahan yang disampaikan oleh sarjana yang ahli dalam manuskrip, sastera dan sejarah menampakkan betapa mudahnya kita terpesong dengan bacaan jika tidak faham konsep sebenar naskhah yang ada di alam Melayu. Ditambah pula dengan latihan membaca naskhah Sulalatus Salatin pelbagai edisi dan versi yang tertulis tulisan Jawi menunjukkan ragam baca yang pelbagai dan boleh membawa makna dan kesan yang berbeza. Akhirnya, berpeluang duduk bersama dengan sarjana yang berusia menghidangkan kita peluang yang menarik untuk orang muda agar sentiasa berhati-hati dalam berbicara, menjaga adab dan bahasa dan menghormati mereka bukan hanya kerana ilmu, tetapi pengalaman yang sering mematangkan usia. Banyak nasihat mereka bukan sekadar untuk pencarian ilmu, tetapi dalam menghadapi kehidupan ini juga.
'Baca teks berdasarkan kepada maknanya yang silam. Past significant, present meaning'