Ahad, Februari 15, 2015

Dua kehidupan yang dikenang-kenang

Sudah masuk pagi Jumaat. Khamis ada dua kematian yang menyebabkan Malaysia tergamam.
Hasbullah Awang pada siang dan Tuan Guru Haji Nik Aziz Nik Mat pada 9.45 malam. Aku catatkan di dinding FB sebagai kenangan masa depan.

--

Hasbullah Awang yang sering menyapa pendengaranku dengan cukup indah ketika berkomentar secara langsung di siaran sukan pada waktu-waktu kecil ku kini telah pun pergi. Innalillah



Dan...

Saya tidak ada kenangan bersamanya. Tidak pernah bergambar bersama. Tidak pernah hadir dalam majlisnya. Tidak pernah berusaha mendekati perjuangannya.

Saya hanya mengenali beliau dari jauh. Dari Harakah yang selalu abah beli. Juga dari akhbar lain yang sering memaparkan berita-berita kecil tentangnya sebagai seorang ahli politik tetapi dari sisi negatif . Atau berita di kaca tv yang menunjukkan dia bercakap sekerat-sekerat, pada ucapan yang tidak habis bagi menunjukkan dia ...pembangkang sejati. Semakin dewasa semakin mengenali beliau dari teman yang datang dari Kelantan. Mereka berkongsi tentang kuliah pagi Jumaatnya yang sering dinantikan. Tentang tulisannya yang menjernihkan pemikiran. Tentang siri ceramahnya yang mengisi jiwa yang kekosongan.

Perjalanannya di dunia cukup payah bila memikul tugas seorang agamawan dan politikawan. Tetapi dia menunjukkan jalan sebaliknya. Pada sesetengah pihak, agama haruslah diasingkan dari jawatan. Tetapi beliau menunjukkan jalan sebaliknya. Tiada batasan untuk mendidik ummah meskipun bergelar pemimpin. Malah kepimpinan dan teladan yang ditunjukkan ketika berada atas cukup diteladani ramai. Benar, dia menunjukkan jalan yang patut kita contohi. Dari kehidupan serba sederhana di Kampung Pulau Melaka hingga kepada sopan bicaranya ketika bertemu rakyat dan para penuntut ilmu.

Perjuangannya di dunia telah selesai. Selamat berpulang Tuan Guru yang dikasihi. Moga cahaya yang kau bawa di dunia ini kan kekal menerangi insan yang masih bernafas di dunia ini.


Selamat berpulang sang murabbi!






Tiada ulasan: