Ahad, Mac 22, 2015

Mencari mustajab




Prof Muhd Kamil Ibrahim dalam bukunya yang berjudul Bersyukur Saat Diuji bercerita tentang hakikat dan kuasa doa. Ketika berpeluang mengajar di Makkah, beliau berkesempatan mengerjakan umrah beberapa kali. Kemudian beliau menerima doa-doa yang dikirimkan oleh kenalan menerusi FB dan blog yang menurutnya 'kalau dikumpulkan, agak saya berpuluh-puluh lembaran kertas kajang yang meminta saya berdoa di Madinah terutamanya secara spesifik di Raudah, Masjid Nabawi terutamanya dalam konteks memohon Allah memberikan kejayaan kepada anak-anak mereka'

Saya teringat seorang rakan yang baru pulang dari umrahnya beberapa minggu yang lalu. Ketika kawan-kawan mengirimkan mesej peribadi berupa doa-doa yang minta dilafazkan di tempat yang mustajab di Tanah Suci, dia tanpa segan silu berkata 'aku nak doakan kau semua dapat pergi umrah supaya boleh berdoa sendiri depan Kaabah, bukannya kirim doa pada aku'. Kedengarannya memang lucu tetapi dia serius. Saya yang membaca mesejnya mula bersangka buruk. Ada nada angkuh, berlagak dan mementingkan diri sendiri di situ. Ini umrah pertamanya meski pun sudah banyak negara dia jelajahi. Tambahan pula suasana Makkah yang masih sibuk dengan pembinaan, banyak perkara yang merunsingkan. Kadang kala sempat saya berbual sendirian dengannnya, memang itulah perkara yang dirisaukan. Tetapi dia seorang positif dan mempunyai tahap keyakinan yang sangat-sangat tinggi. Dia yakin Allah membantunya di sana, lalu dia pun berdoa sejak di tanah air agar dipermudahkan urusan.

Tetapi selepas dia mengeluarkan kata-kata pedasnya itu, tak putus-putus juga kawan mengirimkan doa. Mungkin mereka tak faham atau buat-buat tak faham. Saya yang bersangka buruk awalnya cuba menjernihkan fikiran, tidak membalas kata-katanya, mendiamkan diri beberapa hari dan mencari kebenaran disebalik kata-katanya. Saya melihat diri. Ketika mengerjakan umrah dahulu seingat saya beberapa orang sahaja yang mengirimkan doa. Itu pun sebab saya tidak menghebahkan pemergian. Kalaulah - ya, kalaulah - saya menerima banyak kiriman, jenuh juga nak membaca semua doa mereka. Sedangkan yang penting ialah urusan kita dengan Tuhan. Amal ibadat yang perlu ditambah-tambahkan. Berhadapan dengan dugaan-dugaan yang tidak terjangkaukan oleh akal fikiran. Dugaan jemaah lain dan cuaca yang sering menjadi kerisauan. Inikan pula berusaha menyampaikan doa mereka. Memang saya berniat buruk pada sahabat saya ini ketika itu. 

Dia mengulang lagi pesanannya dengan lebih halus. Katanya, 'kalau kamu semua berdoa dengan betul, doa sendirilah yang lebih mustajab. Tuhan kan Maha Mendengar. Dia tak akan membiarkan kita dalam kesusahan. Kalau kita berdoa, pasti kita dapat'. Bila mendengar ayatnya yang berikut ini, barulah saya faham tujuan dia berkata demikian. Bukanlah bermaksud dia tidak mahu menyampaikan doa-doa yang dia terima, tetapi sebagai nasihat kepada kita agar meminta sendiri kepada Tuhan. Kita tahu keadaan diri kita bagaimana. Kalau kita susah dan minta kesenangan, kitalah tahu tahap susah senangnya diri kita. Apabila berdoa, kita akan meminta dengan sesungguhnya. Ini berbeza jika disampaikan kepada orang lain. Meski pun di tempat yang mustajab. 

Prof Kamil berkata lagi, 'doa ibu bapa paling mustajab. Anak kita, harapan kita, hati kita, biarlah kita yang berdoa bersungguh-sungguh buat mereka'. Jadi betullah kata sahabat itu, doa sendirilah yang paling hebat kerana kita sendiri yang meminta, bukan menerusi perantara. Malah yang paling hebat ialah ujian yang akan kita lalui untuk menjadi anak soleh. Selepas ibu bapa meninggal, ujian kehidupan berpindah kepada anak-anak untuk menentukan ibu bapa mendapat hubungan dari anaknya iaitu doa anak yang soleh. Berapa ramai dari kita yang berusaha menjadi anak yang soleh lalu berdoa untuk kesejahteraan ibu bapanya yang telah tiada di dunia? Adakah kita anak yang soleh? Adakah kita selalu mendoakan mereka?

Begitulah kuatnya kuasa doa. Apatah lagi ketika diuji, kekuatan kita untuk terus berdiri adalah dengan doa. Berhubung terus dengan Tuhan dan bergantung sepenuh kepadanya dengan seikhlas hati tanpa bersangka buruk dengan Allah. Jadi kepada para sahabat yang berkongsi cerita tentang cabaran hidup mereka kala ini, berdoalah. Semoga terbuka keizinan dari ibu bapa untuk melanjutkan pelajaranmu keluar negeri, semoga selesai masalah rumahtangga, semoga pengajian berjaya ditamatkan dengan berjaya, semoga dimudahkan urusan menulis tesis dan semoga perniagaan berjaya mengharungi cabaran yang tidak menentu. Berdoalah, berdoalah. 


Tiada ulasan: