Isnin, Mac 09, 2015

Yang tidak nampak di pandangan

Teringat-ingat pengalaman berkayak dari Pulau Singa Besar (Langkawi) ke Kuala Perlis selama enam jam. Kenangan 1999 itu adalah detik yang paling tidak dilupakan sepanjang hidup.

Berkayak antara cara membina keyakinan terhadap apa yang ada di hadapan. Bayangkanlah di lautan yang luas, kita hanya nampak satu titik kabur nun jauh di hadapan yang menjadi panduan berkayak. Kita tahu itulah destinasi berdasarkan kepada peta dan arah. Menuju ke destinasi itulah yang mendatangkan cabaran. Atas keyakinan itulah kita memulakan perjalanan. Andai kata kita tidak yakin dengan destinasi, pastinya arah dan matlamat kita menjadi huru hara. Itu belum lagi dengan hujan atau gelombang ombak di tengah-tengah lautan...

Jadi, nilailah dengan usaha kita terhadap ilmu. Kita tak tahu, tapi perlu belajar untuk menjadi tahu. Kita takut dengan apa yang kita pelajari kerana semua itu perkara baru. Kita takut tersilap, kita takut tersalah. Kita tidak pasti siapa guru kita. Adakah dia guru yang betul? Adakah dia menyampaikan ilmu yang betul? Adakah kita di jalan yang benar? Seperti berkayak, kita perlu merancang dan memastikan arah agar betul dan tepat. Kalau tidak, penat berkayak tapi tak sampai atau sesat. Begitu juga belajar. Harus merancang, perlu menyelidik. Perlu menyendiri, perlu memahami. Semua itu kita tidak nampak tapi kita akan diajar menerusi pengalaman.

Seperti berkayak, kita merasa puas bila tiba ke destinasi. Seperti ilmu, kita akan merasai nikmat bila mencicip ilmu yang betul. Sepanjang perjalanan itu kita akan temui pelbagai perkara. Tapi putus asa usah ada dalam hidup kita. Belajarlah, terus belajar. Belajarlah dengan guru yang betul.





Tiada ulasan: