Rabu, April 29, 2015

Seorang editor

Selain mempunyai pengetahuan dalam bahasa dan tatabahasa (dalam kes saya, tidaklah setinggi mana pun penguasaannya), editor juga harus mempunyai pakej sikap-sikap tertentu bagi memastikan hasil suntingannya cukup baik dan bermutu. Bukan mudah nak memotong, membetul, mengubah dan mengolah ayat penulis lain. Apatah lagi oleh penulis yang sudah mempunyai nama besar dalam dunia kepengarangan. Jadi editor perlu ada sikap kejam, berani, keras hati, hati batu, garang, buat tak tahu ...dan keras bagi 'menconteng manuskrip' penulis.


Contoh klasik dalam dunia penyuntingan tanah air ialah antara Dato' Dr Anwar Ridhwan yang menyunting karya Sasterawan Negara Arena Wati sewaktu berkhidmat sebagai penyunting di DBP. Hasilnya, Dato' Dr Anwar menjejaki langkah Arena Wati menjadi Sasterawan Negara berbelas tahun kemudian.


*Ingat senang ke nak ubah ayat? Lapar kita dibuatnya!

Selasa, April 28, 2015

Seperti Rumi, Sa'di, Attar, Hafiz dan Iqbal

Buat pertama kalinya berjaya menghabiskan buku yang dibeli dari PBAKL sebaik sahaja tiba di rumah. Amat jarang dapat tenggelam dalam asyik dan keindahan puisi tetapi Dondang Pembukaan membawa diri mengecapi puncak nikmat. Di dalamnya kita melihat tamsilan yang bersirat makna, hanya difaham apabila melihat dengan kacamata hikmah.


Malah tidak jauh untuk menilai Dondang Pembukaan. Daftar kandungannya sudah menunjukkan betapa ia disusun dengan ketelitian, bukan kesengajaan. Seperti membaca Rumi, Sa'di, Attar, Hafiz dan Iqbal, itulah Dondang Pembukaan yang menghidangkan hakikat kefahaman yang boleh dicapai dengan ilmu. Tahniah Lutfi. Inilah bentuk puisi yang lama ku cari-cari. Jawapannya kutemukan di ranah sendiri. Bukannya pada Rumi, Sa'di, Attar, Hafiz dan Iqbal.


Dondang Pembukaan adalah dimensi baharu dunia puisi tanah air yang merupakan satu magis dari peradaban persuratan yang telah lama hilang


‪#‎dondangpembukaan‬

Sabtu, April 25, 2015

Tak cukup deria


Ketika sedang rancak berbual semalam (Jumaat), meja sebelah dihampiri oleh dua orang pelajar cacat penglihatan. Mereka duduk dan memesan makanan. Pakcik yang mengendalikan kafe nampaknya sudah mesra dengan mereka, mengambil pesanan dan berbual-bual dengan begitu gembira. Mereka kemudian bangun lalu dituntuni ke meja hadapan.


Saya memerhatikan mereka sejak itu - sejak mereka duduk memesan makanan, ketika makanan tiba lalu mereka menikmati sepinggan nasi pada tengahari yang panas. Tump...uan bukan lagi pada perbualan. Saya memerhatikan mereka meletakkan pinggan pada kedudukan yang betul, menyuap nasi, meraba-raba lauk, membetulkan posisi cawan dan memain-mainkan sudu. Tangan mereka sentiasa bergerak memastikan semua kedudukan adalah sama.


Fikiran turut melayang-layang kepada liputan Majalah Tiga terhadap kumpulan Caliph Buskers beberapa minggu sudah. Juga kepada teater Kena Main yang dipersembahkan di Istana Budaya tentang kehidupan penyanyi jalanan cacat penglihatan.


Mereka dalam dunia yang sama. Hilangnya deria penglihatan menjadikan mereka mengaktifkan deria yang lain secara maksimum bagi menjalani hidup sebagai manusia biasa, seolah-olah tiada kekurangan pada diri. Ini sesuatu yang kita - manusia normal serba lengkap - lupakan. Dengan adanya deria penglihatan dan cukup dengan kehadiran deria lain, kita menjadi kurang perasa dan pengamat. Kurang menghayati, kurang meneliti. Akhirnya kurang bersyukur

Jumaat, April 24, 2015

Kesongsangan

1) Lapan belas tahun yang lalu, bangunan inilah yang selalu ku perhatikan setiap pagi usai Subuh dari koridor tingkat enam asrama di Jalan Pantai Baru. Pembinaan bangunan ini dan disekitarnya terbantut dan terbengkalai agak lama oleh kegawatan ekonomi yang ketika itu perlahan-lahan mengetuk pintu ekonomi negara-negara Asia.


2) Usai pulang dari sebuah 'lapang sasar' dan melihat bagaimana 'butir-butir peluru' dihamburkan dari muncung senapang ke arah papan sasaran, kita akan se...gera dibawa melihat diri - di manakah kita nanti bila peluru itu dihalakan ke arah kita. Sama ada mahu menjadi peluru, papan sasar, si pembidik atau bersorak melihat dari jauh.


3) Melihat bangunan ini sebelum hujan turun petang tadi membawa ingatan diri yang sudah tercampak lama di kota yang ripuh dan rapuh. Hujan yang turun saban petang cepat membasahkan diri sebelum sempat menyarung baju hujan. Perjalanan pulang sengaja mengambil jalan yang sepi tetapi jauh bagi memberi ruang untuk kepala memikirkan perihal peluru-peluru yang terlepas dari muncung senapang tadi.


4) Hujan ini tidak lama, tapi cukup membasahkan. A rider, I am

Isnin, April 20, 2015

Jam empat pagi

My body will ask me to get up at 4 am without fail for the past 4 weeks (estimation as I am not sure exactly). I dont set the clock. My eyes will automatically open at 4 regardless i am tiring or not. I keep on thinking why this is happened. But I am sure will not get answer. It is HIM who gives me this opportunity. Therefore I can have more time to read books or wash clothes or do asssignment or writing or even cook for breakfast. This is ni'mah that everyone will not achieve. Thank you Allah for this opportunity.

This morning I wake up and stand in front of the mirror. I am facing another view - the heart of Kuala Lumpur. Selamat bersahur. Selamat datang Rajab

Sabtu, April 18, 2015

Sebuah kemusnahan

32/2015. Bagaimana Abuya Ashaari Mohammad membangunkan pergerakan Arqam dan mendoktrinkan pengikutnya sentiasa menarik perhatian ku. Khususnya dalam membangunkan perniagaan dan ekonomi, daya usaha Arqam tidak terbanding dengan apa yang kita ada sekarang. Usahkan kicap dan sos, mee dan beehon, sekolah Islam pun ada. Mereka juga punya upaya dalam mengasilkan lagu Islami lama sebelum nasyid pop dan lagu dakwah memenuhi selera pendengar. Juga kejuruteraan rakaman audio dan video yang hebat. Bas dua tingkat pun dah ada ketika kita masih naik bas berhenti-henti. Kalau tidak, tidaklah kita terhegeh-hegeh nak memboikot produk tapi tiada produk pengganti kerana yang buatnya bukan dari tangan Muslimin. Mereka sudah melabuhkan serban ke seberang. Banyak negara sudah dijelajahi. Banyak hati tertawan. Banyak insan terkesan. Tetapi akhirnya tersungkur oleh selera dunia. Sungai Penchala kini tinggal nama setelah disodok MK Holdings dan Penchala Link. Yang baik kita ambil, yang buruk kita ketepikan

Jumaat, April 17, 2015

Kekeliruan yang membunuh rasa

Semalam ada dua orang berkongsi pandangan akan seminar yang sama. Kedua-duanya dari sisi bertentangan. Satu menyokong satu menentang. Kalau tak cukup ilmu, boleh hanyut jika ditarik jauh ke dalam. Mungkin juga lemas. Zaman serba keliru ini, perdalamkan ilmu dahulu sebelum memutuskan untuk menyokong yang mana. Sebelum ini aku cenderung ke pihak yang lain. Setelah membaca dan mengkaji, dibetulkan pandangan dan meneliti, ada kesilapan dari apa yang aku fahami. Pandangan itu pun tidaklah seratus peratus betul, kita masih boleh menerima jika ada yang salah. Yang silap ialah kita terasa terlalu maksum untuk menerima salah. Berlapang dadalah jika ditegur, bersedialah belajar jika salah, terimalah ilmu jika ia benar. Banyak hikmahnya jika kita mahu belajar dengan betul. Berkenaan gambar, dalam banyak pandangan Merah Silu, aku rasa ini boleh diterima

Khamis, April 16, 2015

Sebuah gambar lama

Saya ingat lagi ketika menyertai bengkel penulisan di KL beberapa tahun lepas, Dr Lim Swee Tin menyarankan peserta membaca iklan-iklan dari majalah lama kerana mempunyai susunan ayat yang baik dan jelas. Ini penting bagi penulis yang mahu menghasilkan puisi kerana iklan mempunyai struktur bahasa yang ringkas dan padat bagi menarik perhatian pembaca. Ia tidak jauh dari sifat puisi yang nampak ringkas tetapi padat.


Ketika mengkatalog beribu-ribu salinan gambar, saya tertarik pa...da iklan Grundig ini yang tersiar dalam majalah Mastika, Ogos 1957. Syarikat Grundig membuat ucapan kemerdekaan kepada Tanah Melayu tetapi disertakan dengan iklannya yang amat baik dan menarik.


Iklannya berbunyi:
"Sebagaimana kemerdekaan membuktikan suatu kejayaan untuk rakyat Malaya, begitu juga nama Grundig yang turut melaksanakan suatu kejayaan berkenaan kesempurnaan tekniknya yang paling tinggi.


Dengarlah dari sebarang radio-radio dan radiogram Grundig yang termasyhur itu dan perhatikan bagaimana kecekapan kejuruteraannya yang menghairankan dan dapat memberikan kepada kamu pengeluaran suara yang paling akhir."


*Status gambar belum disunting, jadi tidak dapat dikongsikan dengan sebaiknya

Sisi sebuah sisi

mengapa Abdullah Munsyi menulis Hikayat Abdullah dan siapa di sebalik penulisannya ini, siapa yang menyuruhnya dan siapa yang mendanainya. Keadaannya tak ubah seperti sekarang bila kita menulis sesuatu yang menyindir dan mengutuk bangsa sendiri sedangkan kita bukan bertujuan untuk menegur sebaliknya bagi mengenyangkan perut sendiri. Kau menulis untuk siapa, dan kau menulis kerana apa? "Nun. Demi pena dan apa yang mereka tuliskan" ( Surah al-Qalam 68:1-2)

Rabu, April 15, 2015

Yang ditimba dan terlepas ke dalam perigi

Aku sedaya upaya tidak akan meninggalkan kelas walau macam mana keadaan sekali pun. Semester lepas, aku tinggalkan satu kelas Aqidah kerana dah berjaga dari jam 11 malam dan langsung tak tidur-tidur. Kerja gila yang aku buat hari ini ialah keluar rumah jam 7.10, sampai pejabat 7.30. Kemas dewan dan susun kerusi kemudian memecut ke kelas, tiba 8.44. Sempatlah menarik nafas. Aku minta izin keluar jam 11 supaya dapat berkejar ke pejabat untuk acara yang melibatkan tetamu luar. Tiba jam 11.55 dan dapat mendengar ceramah Ahmad Keelar yang membuka mata. Cuma aku tak boleh nak fokus kerana terlalu lapar sedangkan aku sejenis manusia yang ambil heavy breakfast. Duh, dengan jadual padat begini, manakan smepat makan? Kemudian buat kerja hinggalah makam, tiba di rumah jam 10.30. Ketika itu barulah aku terasa penat, kaki bergegar dan mata bertukar merah biji saga.

### Dalam kelas Qur'an and Hadith tadi, perbincangan adalah tertumpu kepada isu kontemporari dalam kajian Qur'an. Kelas Dr Syam paling aku seronok ikuti kerana beliau sangat teliti sehinggakan setiap perkataan yang kita gunakan ditegurnya. Beliau membantu aku menyusun fakta yang bersepah dalam kepala, mengajak memandang dari pelbagai arah, membetulkan sudut pandang yang terpisah-pisah, mengatur idea dan maklumat dengan baik, menyusun kronologi maklumat dengan kemas supaya dapat menyediakan hujah yang tidak mampu dibalas pihak lawan. Beliau mengajakku memilih perkataan paling tepat bila menulis dan menyedarkanku hakikat maksud setiap perkataan yang kita gunakan. Oleh itu modernis, sekularis, liberalis, feminis, literalis walaupun datang dari acuan yang sama tetapi menghasilkan bentuk yang berbeza. Sayang sekali tak dapat bersama satu jam lagi kerana beliau akan bagi beberapa lagi poin penting sebagai peluru tambahan menentang puak-puak yang tak faham atau pura-pura tak faham agama 

## Dan, tujuan ku di sini ialah menimba sedalam-dalamnya ilmu, bukan sekadar menyiapkan tesis. Masih jelas misi mereka - kami mahu melahirkan scholar, bukannya graduan. Apakah kau faham???

Isnin, April 13, 2015

Melawat

Muzium Diraja Seri Menanti Kuala Pilah, Negeri Sembilan.


Muzium ini ditutup kerana dalam proses pemuliharaan kerana tiang serinya sudah reput. Menurut pengawal, tiang seri itu menyangga bangunan asas sehingga ke tingkat empat. Walau bagaimanapun, pengunjung masih boleh masuk untuk melihat-lihat dari luar (dan mengambil gambar). Setakat ini kerja pemuliharaan masih belum dijalankan sejak ditutup pada tahun lalu dan muzium ini yang merupakan istana asal digunakan pada kali terakhir semasa pertabalan Yam Tuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz pada 2009.


*akhirnya berjaya juga singgah selepas berbelas tahun berulang alik melewati jalan yang sama

Ketidakadilan sebuah keadilan

"Do not against a leader by sword even if he is injustice." Aku terkedu bila mendengar ayat ini dibacakan dalam kelas. Ketika rehat, aku mendapatkan penjelasan lanjut dari teman sebelahku. Dia menerangkan maksud penuh ayat beserta nota kakinya yang mengambil rujukan dari hadis. Berhari-hari ayat mengganggu hidupku, tidurku, makanku, fikiranku. Aku teringat zaman-zaman pemberontakan, revolusi dan reformasi. Akhirnya aku merasakan perlu berbuat sesuatu. Sesuatu untuk membetulkan. Kawan, banyak permata yang tersembunyi dalam kitab-kitab lama. Kembalilah ke pangkal jalan

Rabu, April 08, 2015

Mainan baru

Set lengkap alat mainan untuk hobi baharu. Dua batang pen di atas tu beli sendiri, bersaiz 0.5 dan 0.1. Charchoal pencil jenis soft dan neutral. Pensil 'warna' choclate, terracotta dan white. Ball-point pen. Pensil Steadler 8B dan Faber Castell 8B walau pun saiz sama tapi mata pensilnya berlainan tona. Faber Castell 4B dan 2B. Ding Lao Shi HB. Sketching pencil 8B yang boleh diganti matanya dan punya tona yang berbeza dari pensil 8B tadi. Akhir sekali PVC Free eraser yang mudah dibawa untuk aktiviti outdoor. Inilah senjata penting. Dalam tempoh dua tahun ini, sketching adalah cara untuk aku mengurangkan ketat otak membaca buku. Sekarang berangan nak beli water colour yang portable pula 😋😋👌#akuseriusok #sketching #newhobby #pencilsketching

Rabu, April 01, 2015

Selepas satu April

Perjalanan pulang ku dari tempat kerja pada pukul enam petang akan membuntuti sebuah bas kilang yang menurunkan pekerja beruniform biru di pinggir jalan sebuah kampung, berhadapan dengan sebuah sekolah agama. Oleh kerana jalan kampung ini kecil, maka bas yang berhenti memakan sebahagian dari jalan. Kenderaan yang berada di belakang bas mahu tak mahu perlu menahan kesabaran sementara penumpangnya turun seorang demi seorang. Tetapi penunggang motosikal seperti ku boleh terus sahaja ke depan dan selalunya berada tidak jauh dari mereka yang turun dari bas, yang kesemuanya perempuan. Selalu ku perhati mereka turun dengan wajah ceria, menghabiskan ketawa yang tersisa dari dalam bas dengan muka memutih baru di sapukan bedak. Mereka saling melambai dan mengucapkan selamat tinggal lalu menyeberang jalan ke arah motor-motor yang sudah menanti. Ada yang dijemput oleh si suami bersama anak kecilnya. Ada dijemput oleh anaknya yang kaki masih belum dapat jejak ke tanah dengan betul.

Kita tahu berapa sangatlah gaji para pekerja kilang ini. Kita tahu mereka keluar awal pagi menunggu bas meninggalkan anak-anak yang kecil di rumah. Kita tahu kerisauan mereka bila berada di tempat kerja - makan pakai anak-anak mereka, sihat sakitnya mereka. Kita tahu mereka menanggung tanggungjawab bersama suami mencari pendapatan lebih bagi keperluan keluarga. Tetapi kita lihat mereka tidak putus gembira dengan rezeki yang ada, masih boleh bergurau meski pun telah penat bekerja disusuli dnegan tugasan berikutnya di rumah.

Kita tahu di tempat lain, ada yang masih di pejabat menyelesaikan urusan yang tidak pernah selesai. Ada yang tidak mampu menikmati erti gembira meski pun telah punya gaji berganda-ganda banyaknya dari pekerja kilang ini. Ada yang pulang dengan kemarahan, ada yang memijak orang lain demi memanjat tangga kerjaya.

Petang tadi ketika pulang aku tidak sempat menemui mereka kerana terlewat pulang. Aku tidak tahu apa yang mereka faham tentang GST tetapi mereka pasti terkejut jika RM10 yang dibawa untuk membeli lauk di kedai hari ini sudah tidak sama banyaknya dengan semalam. Apakah masih akan ada kegembiraan pada mereka bila turun dari bas selepas 1 April?